Sunday 27 January 2013

.: warkah cinta buat adik-adik abang:.


salam sejahtera buat adik-adik yang amat abang sayangi,

terlebih dahulu, abang memohon sejuta kemaafan andai warkah ini membuatkan adik-adik abang resah gelisah. mungkin tersinggung, terkesima atau sebaliknya. abang menitip warkah ini kerana ingatan abang pada adik-adik, kerana sayang abang pada adik-adik terlalu tinggi. kerana abang ingin sekali melihat adik-adik abang berjaya dalam hidup, membanggakan kedua ibubapa seterusnya menggapai redha yang tiada bandingannya di dunia ini iaitu redha Allah. redha yang diburu orang-orang beriman, adik-adik.

wahai adik-adikku,
ingatlah, usia mudamu bukan masa untuk kalian bergurau senda, bukan jua masa untuk kalian mengejar dunia. ketahuilah adik-adik, kehidupan dunia hanya sementara, sebentar sahaja persinggahan kita didunia ini. Allah pernah berfirman dalam ayatNya, tiadalah kehidupan didunia ini melainkan hanya senda gurau dan tipu muslihat sahaja. abang tak ingat ayat yang mana, nanti adik-adik cuba buka tafsir Quran dan cari balik ayat ini. kalau abang tersilap, maafkan abang. abang hanya manusia biasa yang bila-bila masa sahaja akan melakukan kesilapan.

adik-adik, saban hari saban waktu, kalian semakin menginjak dewasa. dulu, ketika adik-adik dilahirkan, ketahuilah bahawa wajah ibu dan ayah adik-adiklah yang paling bersinar. ceria. tidak terkata. mereka bangga memiliki adik-adik sebagai anak mereka. ayah dan ibu berbincang untuk meletakkan nama untuk adik-adik. semestinya, nama yang baik-baik. kenapa? sebab ibu dan ayah adik-adik ingin melihat adik-adik membesar dengan baik. membesar dihadapan mata mereka dengan didikan dan asuhan yang teliti. supaya suatu  masa nanti, adik-adik menjadi kebanggaan mereka. adik-adik, sungguh pengorbanan ibu dan ayah tiada galang gantinya. dan ibu dan ayah tidak pernah meminta untuk dibalas segalanya. apa yang mereka mahukan hanyalah sebuah kejayaan dari adik-adik. 

wahai adik-adikku,
abang sangat sedih. abang lihat remaja yang sebaya adik-adik kini semakin rosak. ada yang hisap rokok, yang jadi mat rempit, yang hisap dadah, yang bergaul secara bebas. baru belasan tahun, seusia adik-adik sahaja, tetapi akhlak mereka cukup-cukup mendukacitakan. abang yakin, ibubapa mereka tidak mengharap mereka jadi seperti yang abang sebutkan tadi. adik-adik tahu apa punca mereka jadi begitu?

pengaruh kawan,adik-adik. abang nasihatkan adik-adik, carilah kawan yang baik-baik sahaja. supaya adik-adik ikut akhlak yang baik. yang jahat dan nakal itu, tetap kawan adik-adik tetapi mereka akan bawa adik-adik buat kerja jahat. kalau buat kerja jahat, maka mana tempatnya adik-adik? ya, adik-adik,neraka Allah. kalau adik-adik buat kerja jahat, maka automatik adik-adik dah jadi sahabat sepermainan syaitan. nauzubillahimin zaalik.

abang selalu nampak, remaja yang sebaya adik-adik kini lebih teruk berbanding generasi sebelumnya. mereka seumpama tidak diasuh dengan baik oleh ayah dan ibu, padahal ayah dan ibu dah bagi 'hadiah' terbaik untuk adik-adik sejak dari kecil lagi iaitu cinta dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. maka, apakah balasan yang adik-adik beri pada ayah dan ibu? adakah dengan noda dan dosa adik-adik? sanggupkah?

wahai adik-adikku,
abang tak kisah kalau adik-adik tidak menghormati abang sebagai 'abang' adik-adik. tetapi, hormatilah ayah dan ibu sungguh-sungguh.itu yang paling utama. sebab keberkatan hidup datangnya dari rasa hormat dan restu ayah dan ibu. hargai mereka selagimana mereka masih hidup. balas segala jasa mereka walaupun mereka tidak mengharap dibalas.juga, hormati cikgu-cikgu, kawan-kawan, orang yang lebih tua daripada kita. sebab ini contoh akhlak Nabi kita, adik-adik. Nabi kita, akhlak baginda sangat cantik. indah. suci. semua manusia suka akhlak Nabi. sebab itu dulu Islam,agama kita pernah naik. kita pernah menakluk dunia dengan Islam. tetapi kini, umat Islam semakin lemah dan lalai. siapa lagi yang boleh bangkitkan semangat Islam macam dulu? siapa lagi yang akan menjiwai semangat Sultan Salahuddin Al-Ayyubi? Sultan Muhammad Al-Fateh?

maka, abang yakinkan bahawa, generasi adik-adiklah yang bakal menggegarkan dunia dengan Islam semula. kalau adik-adik main-main, maka mudahlah musuh-musuh Islam takluk hati-hati kita, adik-adik. tinta ini walaupun ringkas sangat, tetapi abang amat berharap adik-adik lebih cakna akan perihal masa depan adik-adik. zaman dulu dan zaman adik-adik tidak akan sama. mehnah dunia di zaman adik-adik lebih kuat dan mencabar. tapi abang yakin, andai adik-adik ambil kata-kata abang di warkah ini, adik-adik akan mempunyai jiwa dan semangat umpama singa kelaparan. yang mahu membaham musuh-musuh Islam sampai lumat. subhanallah, tatkala itu yang berlaku, adik-adik, abang yakin generasi adik-adiklah yang layak digelar generasi yang terasing (Ghuraba'), generasi yang ditunggu seluruh umat Islam.

wahai adik-adikku, 
abang rasa cukuplah sampai disini tinta abang untuk warkah ini. bukah warkah sia-sia tetapi warkah penuh makna. abang luncurkan tulisan abang ini kepada semua adik-adik , tak kira yang abang pernah kenal atau abang tak kenal. adik-adik baca, adik-adik bagi kawan adik-adik baca pula. semoga apa yang abang cuba sampaikan, tersemat dalam jiwa adik-adik ya. salam mahabbah buat adik-adik.

ikhlas dari abangmu,
Muhammad Ubaydullah Khairuddin.

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

No comments:

Post a Comment