Wednesday 30 January 2013

.: waffle yang lazat :.

ramai yang meminati makanan ini, terbukti ia mendapat pasaran yang meluas di Kolej Kediaman 1 USIM. ana luncurkan entri ini khusus buat semua penghuni KK1 yang suka makan waffle, dan am buat yang berada diluar kampus USIM. =)

waffle memang lazat! apa resepinya?


maaf, resepi sebenar kita akan bincang ditempat lain ya. rahsia yang ana ingin kongsikan berkenaan kelazatan waffle adalah mengenai jenis-jenis elemen yang diperlukan bagi menjadikan sekeping waffle itu menjadi sedap dan lazat. kombinasi telur ayam, tepung khas cap Bagus, minyak masak dan air yang dicampur sedikit ais secara umumnya menjadikan waffle itu lazat, tapi adakah dengan mencampurkan kesemua elemen ini tanpa mengikut isipadu atau jumlah tertentu sudah memadai untuk menjadikan waffle itu lazat?

tidak sama sekali. =)

kelazatan waffle bergantung kepada jumlah tertentu elemen-elemen ini dimasukkan kedalam bancuhan. jika terlebih sedikit sahaja mana-mana elemen dalam sesuatu bancuhan, waffle jadi tak lazat. andai kata terkurang mana-mana, juga akan jadi tak sedap. bancuhan yang betul dan mengikut kuantiti yang sebenar adalah rahsia kelazatan waffle, plus zikir dan selawat, putaran lawan arah jam ketika bancuhan dibuat. lebih berkat, dengan izin Allah SWT.

ana pernah rasa waffle di pelbagai tempat dan rasa di kesemua tempat ana pergi ini berbeza-beza. juga perlu yakin, kelazatan sesuatu makanan itu juga atas izin Allah SWT. Allah SWT sahaja yang bagi sedap. =) bancuhan yang betul, namun tanpa izin Allah SWT, tetap tidak sedap! hakikat tetap hakikat. yakin dengan sebenar-benar yakin.

baik, sudah faham kan analogi waffle yang lazat? sekarang tukar analogi tersebut di tempat kita, sebagai manusia yang punya akal dan dimartabatkan kemuliaan kita oleh Allah SWT sebagai khalifah diatas muka bumi ini. elemen-elemen dalam diri ini , jika dikombinasi dengan cara yang betul, aplikasi pada tempat yang betul, penggunaan akal yang sewajarnya, maka akan terhasillah manusia yang digelar Ulul Albab ! penyatuan akal, hati dan jiwa pada kadar yang betul akan menjadikan seseorang manusia itu kuat dan penuh keyakinan kepada Allah SWT, dan apa-apa yang berlaku didepan mata, refleksinya tetap kepada Allah SWT. andai kurang dari segi pengaplikasian akal yang sewajarnya, maka akan terlihatlah kelemahan seseorang manusia itu walaupun hati dan jiwanya kental. jika kuat pada akal tetap hati dan jiwa pula lemah, maka manusia itu juga akan kelihatan lemah!

Allah SWT telah berfirman dengan maksud memberi semangat kepada kekuatan daya fikir manusia melalui akal :

“Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu. Dan bintang-bintang itu ditundukkan (untukmu) dengn perintah-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berakal.” (QS. An-Nahl: 12).
“Dan di bumi ini terdapat bagian-bagian yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanaman-tanaman dan pohon kurma yang bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yangdemikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berakal.” (QS. Ar-Ra’du: 4)
dan Allah SWT berfirman mengenai kesan bagi golongan yang tidak menggunakan akal sewajarnya :
“Dan mereka berkata: ‘Sekiranya kami mendengarkan atau menggunakan akal untuk memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala. (QS. Al-Mulk: 10)
namun, dalam kita menggunakan akal dengan sebaiknya itu,ada batas-batas yang Allah SWT gariskan didalam firmanNya :

“Dan mereka bertanya tentang ruh. Katakanlah: “Ruh itu termasuk urusan Rabb-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” (QS. Al-Isra: 85)
Nabi SAW juga pernah bersabda :
“Berfikirlah tentang makhluk-makhluk Allah dan jangan berfikir tentang Dzat Allah.” (HR.Ath-Thabarani, Al-lalikai dan Al-Baihaqi dari Ibnu Umar).
maka, apakah kurniaan akal ini sia-sia? Allah SWT tidak menjadikan akal ini sebagai alat untuk kita membezakan yang mana baik dan yang mana buruk sahaja, bahkan Allah SWT menyeru manusia agar menggunakan akal ditahap terbaik dan tertinggi sebagaimana terciptanya akal untuk makhluk bernama manusia ini. guna akal untuk melihat ciptaan Allah SWT serta mendalami hikmah dan hakikat kejadian. tetapi bukan untuk menimbulkan persoalan kenapa dan mengapa dijadikan, bahkan untuk melahirkan rasa takjub kita pada pentadbiran Allah SWT keatas seluruh alam ini. segala-galanya adalah sempurna, dari permulaan awal kehidupan sehingga saatnya kehancuran alam ini, semuanya dibawah bidang tadbir Allah Yang Maha Agung.
apabila akal digunakan sewajarnya, maka hati dan jiwa akan turut rancak mengikut rentak. semakin kita menyedari nikmat yang dikecapi bukan perkara yang sia-sia, menyedari hikmah setiap kejadian Allah SWT, menyedari kehidupan manusia adalah fana', maka secara automatik hati akan turut kecut dan gementar. gementar dengan kuasa Allah SWT yang begitu teliti dari sehalus zarah sehingga sebesar-besar alam semesta ini. pernahkah kita berfikir sebab musabab kejadian kuman-kuman kecil didalam setiap benda hidup? pernahkah kita berfikir kenapa lubang hidung manusia dijadikan menghadap kebawah, kepala manusia boleh dipusing kiri dan kanan, telinga yang menegak di kiri dan kanan kepala kita? guna akal, fikirlah. 
ingatlah, Allah SWT tidak kurniakan akal untuk mempersoalkan kejadiannya atau sekadar membezakan baik dan buruk, tetapi untuk difikirkan bagi melahirkan rasa takjub ,' ohh, ini rupanya hikmah kejadian itu dan ini'. supaya manusia menyedari, hakikat dunia adalah fana' dan kehidupan manusia seluruhnya akan berakhir di padang perhitungan di Mahsyar kelak.
jadi, kisah waffle mudah dibicarakan sebagai satu analogi yang dekat dengan manusia. hari-hari kita makan waffle, tapi adakah kita pernah terfikir bagaimana ia boleh menjadi sedap, pernahkah bertanya pada diri apa rahsia dan resepinya? atau kita hanya beli dan makan sahaja, sebagai alas perut. kalau sedap, sedaplah kalau tak sedap, sebaliknya? =) 
berfikirlah cara orang berakal dan jadilah manusia Ulul Albab! 

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

Sunday 27 January 2013

.:wanita melamar lelaki amalan terpuji:.


ADA si teruna yang lambat menyatakan hasrat menyunting pilihan hati lalu jatuh ke pihak lain. Begitu juga halnya dengan seorang wanita yang tertarik dengan lelaki yang dirasakan calon sesuai untuk dijadikan suami namun disebabkan dia hanya menunggu akhirnya turut terlepas peluang.

Tiada larangan dalam Islam jika wanita membuat lamaran terhadap lelaki yang layak menjadi pasangan hidupnya. Apa yang berlaku itu berkait rapat dengan soal lambat menzahirkan lamaran.

Perigi mencari timba pula merujuk kepada wanita yang berusaha mencari lelaki untuk dijadikan teman hidup. Namun dalam masyarakat kita perkara berkenaan dianggap lari daripada adat dan budaya. Mungkin ‘tugas’ itu sukar dan mustahil kerana ia tidak pernah dilakukan dalam masyarakat kita.

Lihat saja sejarah Siti Khadijah yang bertindak ‘berani’ melamar Nabi Muhammad s.a.w. Beliau tidak berasa rendah diri walaupun jarak usianya dengan Rasulullah agak jauh. Bagaimana dengan wanita moden yang mahu mencontohi tindakan Siti Khadijah? Kita semua tahu, Siti Khadijah berketurunan bangsawan yang kaya-raya.

Bukan saja mempunyai perniagaan besar, tetapi beliau juga disegani kerana mempunyai kebijaksanaan dan sopan-santun tinggi.

Bagaimana jika wanita datang menyunting lelaki pilihannya dengan menggunakan orang perantaraan bagi menyampaikan hasratnya? Mungkin kaum wanita menganggap usaha mereka itu sebagai ‘terhegeh-hegeh’ dan sebab itulah ia gagal dilaksanakan. Diharap selepas ini kaum wanita terbuka hatinya untuk merubah budaya.

Wanita meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah. Selain Siti Khadijah meminang Rasulullah dan Saidina Umar juga pernah meminang Saidina Abu Bakar untuk puterinya Siti Habsah.

Jika mereka bertemu dengan lelaki yang layak menjadi pasangan maka ambillah peluang untuk memulakan lamaran. Jangan takut untuk mencuba dan berasa malu kerana jika ditolak sekalipun Allah pasti menjanjikan insan yang lebih baik untuk mereka.

Pernah pinangan Umar ditolak Saidina Abu Bakar tetapi penolakan itu dilakukan dengan cara paling terhormat. Namun selepas itu Umar mendapat calon yang lebih baik apabila Rasulullah memperisterikan Siti Habsah. Jelas Allah tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh melaksanakan syariat-Nya. Sayang sekali, malu kita tidak merujuk kepada syariat.



Sebuah hadis yang diriwayatkan Anas berkata:“Ada seorang wanita yang datang menawarkan diri kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah! Apakah kau memerlukan aku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar perkataan wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri dan rasa malu. “Sungguh memalukan dan betapa buruknya…!” Anas berkata kepada puterinya itu: “Dia lebih baik daripadamu! Wanita itu senang kepada Nabi dan menawarkan dirinya!” (Riwayat Bukhari)

Pendakwah dan Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn Bhd, Pahrol Mohamad Juoi, berkata malu dalam Islam mesti diukur atas dasar iman.

“Tidak seharusnya seorang wanita berasa malu untuk memulakan langkah untuk melamar lelaki yang dirasakan layak untuknya.“Malah, tiada tentangan dari sudut akidah, syariah dan akhlak Islamiah terhadap perkara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan yang digunakan perlu selaras dengan prinsip dan matlamat yang bertepatan dengan nilai agama.“Umpamanya, wanita perlu menggunakan orang tengah iaitu keluarga, sahabat dan orang yang boleh dipercayainya untuk tujuan melamar.

“Jika diterima, alhamdulillah dan jika ditolak sekalipun tidak mengapa. Allah tetap menilai percubaan itu sebagai amal soleh kerana mereka sudah melakukan sesuatu yang halal dan harus di sisi Islam,” katanya.

Pahrol berkata tidak timbul soal perigi mencari timba kerana dalam sejarah Islam ada pihak wanita yang meminang lelaki dan begitulah sebaliknya.“Kedua-dua cara berkenaan boleh dilaksanakan. Apabila ada wanita melamar lelaki yang dirasakan baik untuk dijadikan pasangan hidup ia adalah usaha yang sangat terpuji.


“Berjaya atau tidak, bukan soalnya kerana Allah menilai usaha berkenaan. Jangan sesekali berasa diri direndahkan. Mereka perlu berasa malu jika terbabit dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat dan tindakan haram lain untuk mendapatkan pasangan hidup,” katanya.

Beliau berkata pasangan hidup adalah teman yang akan bersama-sama membentuk keluarga dalam menjalani ibadat sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini.

“Ini misi besar dan berat. Bermula dari keluarga barulah terbentuknya sebuah masyarakat, negara dan ummah. Untuk membentuk keluarga ini perlu kepada lelaki kepada wanita.

“Wanita tidak seharusnya rasa ‘terhegeh-hegeh’ atau tidak laku. Wanita yang dikatakan tidak laku dan terhegeh-hegeh ialah mereka yang mendedah aurat, berkelakuan tidak senonoh dan bergaul bebas sehingga ke tahap hilang rasa malu, menggadai iman serta akhlak Islamiah.

“Bagaimana umpan begitulah ikan yang akan kita dapat. Jangan terkejut jika wanita yang mendedah aurat (seksi) akan mendapat lelaki hidung belang sebagai pasangannya,” katanya.

Berdasarkan sejarah yang masyhur, Pahrol berkata Siti Khadijah tertarik dengan keperibadian Nabi Muhammad yang mempunyai sifat jujur dan bijak ketika menjalankan perniagaan.

“Semua maklumat itu diperoleh daripada hambanya, Maisarah yang ditugaskan membantu serta mengiringi Rasulullah ketika berniaga.“Sepanjang bermusafir Maisarah melihat, merasai dan meyakini bahawa Nabi Muhammad memang seorang yang baik kemudian menyampaikan laporan kepada tuannya Siti Khadijah.

“Khadijah mempunyai ketajaman menilai sumber maklumat. Apabila maklumat yang diterima diyakini benar, Siti Khadijah bertindak memanggil bapa saudaranya dan saudaranya yang lain untuk menyatakan hasrat melamar Nabi Muhammad.

“Allah mengkabulkan hajatnya dan lamarannya diterima,” katanya.

Beliau menasihatkan perkara utama untuk mencari pasangan ialah menjaga akhlak dan keperibadian selain memastikan maklumat pasangan itu benar.

“Carilah saudara, rakan, ustaz atau sesiapa yang terdekat dengan lelaki pilihan kita. Setelah ada maklumat yang benar, dirikan solat istikharah untuk meminta Allah perteguhkan keputusan yang sudah ada atau meminta petunjuk membuat keputusan yang belum ada.

“Orang yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi turut juga meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.

“Selepas menetapkan keputusan, teguhkan azam dan terus bertawakal. Kemudian segerakan urusan lamaran dengan memilih wakil yang baik bagi urusan meminang dan seterusnya segerakan perkahwinan,” katanya.

Pahrol berkata bagi mereka yang sudah berusaha mencari pasangan, tetapi masih belum berjaya perlu bersangka baik kepada Allah.“Penangguhan itu satu ujian yang pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah hendak selamatkan mereka daripada mendapat suami yang jahat, pendera dan tidak bertanggungjawab.

“Jadi, berusahalah sambil menunggu ketentuan daripada Allah. Jangan membuat keputusan untuk tidak berkahwin sampai akhir hayat kerana ia bertentangan dengan syariat dan fitrah.“Golongan yang menentang peraturan Allah akan menderita jiwanya dan hidup dalam kesepian. Dalam apa saja keadaan, beribadatlah sehingga kita berasa letih untuk melakukan maksiat,” katanya.

Beliau berkata gelaran seperti ‘andartu’ dan ‘andalusia’ tidak sewajarnya dilemparkan kerana hakikatnya mereka sedang diuji Allah.“Orang yang diuji sepatutnya dibantu, dikasihi dan didoakan. Masyarakat Islam sepatutnya memikirkan bagaimana kaedah untuk mencarikan jodoh buat mereka,” katanya.

Wallahualam..

Sumber : ikhwanmencarinurillahi.blogspot.com

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~


.:K-PoP : bukan budaya Islam:.


Isu gempar mengenai konsert besar-besaran 'K-Pop Storm Live' yang dijadual akan diadakan pada hari esok, 6 November 2012 di negara kita, sebenarnya telah mendapat tentangan dan bantahan dari orang ramai terutama dari kalangan masyarakat Islam di negara kita. K-Pop , singkatan kepada Korean Pop menjadi satu dominasi muzik baru yang mewujudkan satu obsesi dalam jiwa anak muda kini. konsep muzik yang dibawa berbentuk pop yang menggabungkan unsur tarian, elektronik, hip hop, tekno, rock dan R&B yang berasal dari Korea Selatan. aliran muziknya terus menerus menusuk jiwa anak-anak muda lantas mencetus minda mereka untuk meniru gaya kumpulan-kumpulan pop Korea ini dengan pelbagai aksi yang tidak munasabah. maka tak hairanlah, wujudnya satu kumpulan dari negara kita sendiri yang menggelar diri mereka K-Pop Malaysia. kumpulan ini terus mendapat kecaman dari pelbagai lapisan masyarakat atas nama 'K-Pop', lantas menukar nama kepada 'M-Pop', dan menyatakan kekesalan mereka kepada rakyat Malaysia kerana meniru perkataan 'K-Pop'. persoalannya, bukanlah nama menjadi fokus, tetapi pembawaan muzik itu sendiri yang menjadi isu yang seharusnya diberi pendedahan sewajarnya kepada seluruh masyarakat, terutama dari kalangan umat Islam di negara kita. realitinya, budaya ini jelas-jelas membawa budaya kafir dan melalaikan.

Sesiapa yang meniru satu kaum yang lain, maka dia dalam kalangan mereka." 
( Riwayat Abu Daud dan Ahmad )

kumpulan-kumpulan seperti Girls Generation, Super Junior, Big Bang, SNSD, Wonder Girls, Beast dan ramai lagi kini menjadi satu 'trend' yang perlu diikuti dan sesuai dengan peredaran zaman. pengaruh genre muzik ini begitu luarbiasa. nah! lihatlah apa yang terjadi pada satu kumpulan dari Malaysia yang kini sedang bergiat aktif mencipta nama menjadi satu kumpulan pop, yang seratus peratus meniru budaya Korea ini. mungkin ada sahabat-sahabat yang pernah mendengar nama kumpulan ini, Max 24:7. kumpulan ini terdiri daripada muda-mudi negara kita yang 'berhasrat' menaikkan nama Malaysia setaraf Korea dalam bidang ke'pop'an. lucu, akhirnya mereka dikecam hebat. penubuhan kumpulan ini sejak dari mula mendapat cemuhan masyarakat, namun sering juga diundang untuk mengadakan persembahan oleh sesetengah penganjur tempatan, dan ana andaikan penganjur itu bukanlah orang Islam.

maaf, ana tidak berniat untuk mengaibkan, tapi ana rasa kisah ini wajar diceritakan dan diambil pengajaran sebaiknya oleh masyarakat negara kita terutama anak-anak muda yang sedang membesar dan mudah terdedah dengan pengaruh dan budaya luar, yang hakikatnya tidak sesuai langsung dengan budaya negara Islam seperti Malaysia. salah seorang ahli kumpulan Max 24: 7 atau M-Pop ini adalah kawan ana sendiri. ini kisah benar yang akan ana luncurkan sebentar lagi. kawan ana ini satu sekolah dengan ana dulu dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 di salah sebuah sekolah agama di Malaysia. dia merupakan seorang pendebat bahasa melayu yang cukup handal dan acap kali memenangi pertandingan syarahan agama peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan. kehebatan dia dalam  bidang pidato juga tak dapat ana nafikan sehingga menaikkan nama sekolah ketika itu. siapa tak bangga punyai kawan seperti dia. selang setahun selepas tamat sesi persekolahan, ana mendengar khabar bahawa dia sedang menyertai dan menjalani latihan bersama satu kumpulan pop yang seratus-peratus meniru artis korea. saat itulah ana mula mengenali apa itu K-Pop dan apa yang membuatkan mereka ingin menjadi K-pop 'tiruan'. tika itu, hati ana berderai seakan sukar mempercayai kawan yang sebegitu hebat dalam syarahan 'agama', akhirnya terjerumus untuk meniru aksi puak-puak Korea. selepas itu,ana terus ikuti berita mengenainya dan kumpulannya, apa yang ana kagumi, dia tidak menukar nama panggilannya ketika di sekolah dulu dan masih menggunakan nama itu ketika berada dalam kumpulan ini. jika dulu berdebat, berpidato, bersyarah, kini menyanyi dan menjadi vokalis kumpulan itu. sahabat-sahabat boleh saksikan beberapa video mereka di laman media Youtube, taip saja ' Max 24:7 '.

apa yang ingin ana tekankan disini adalah mengenai pengaruh luarbiasa budaya ini, yang sememangnya bukanlah budaya masyarakat Malaysia, apatah lagi jika ingin dikaitkan dengan Islam itu sendiri. Islam tidak menghalang hiburan, asalkan ianya tidak melalaikan seseorang dan seharusnya hiburan itu membawa seseorang itu semakin dekat dengan Penciptanya. namun, jika hiburan berbentuk lalai seperti ini sewajibnya dihalang terus atau dilarang keras untuk memasuki negara Islam ini. jika saya di Brunei, pasti program seumpama ini tidak menjadi satu acara besar-besaran seolah-olah berada di negara, Korea itu sendiri. 

tak surut lagi isu mengenai konsert K-Pop yang diadakan bersempena program Himpunan Jutaan Belia 2012 yang berlangsung baru-baru ini,muncul pula isu konsert gilang-gemilang artis K-Pop Storm Live yang dikatakan menelan jumlah belanja yang sangat tinggi. isu Himpunan Sejuta Belia, pihak kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan menafikan tuduhan yang mengatakan kos membawa artis itu melibatkan duit rakyat. menterinya, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa kedatangan artis K-Pop  itu adalah tajaan daripada syarikat swasta. benarkah? sedangkan pihak kerajaan sendiri yang membenarkan program seumpama ini diadakan, mana mungkin tidak ada langsung tajaan dari kerajaan yang 'kaya' ini?

dalam konteks sebagai umat Islam, isu sebenar yang perlu dibincangkan di sini adalah pengisian program itu sendiri, bukanlah isu tajaan. apakah wajar program itu disogokkan dengan aktiviti-aktiviti  maksiat itu?bagaimana seorang pemimpin Islam seperti Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek yang mengetuai Kementerian Belia Dan Sukan boleh membenarkan unsur-unsur maksiat dipertontonkan kepada anak-anak muda negara kita yang majoritinya beragama Islam? apakah  sensitiviti beliau terhadap perkara-perkara mungkar seperti itu sudah hilang dari dirinya sendiri dan begitu juga dengan pegawai-pegawai serta kakitangan beliau yang lain? inilah kesalahan dan kekeliruan cara berfikir bagi seorang pemimpin umat Islam pada hari ini. suatu perkara yang perlu difikirkan secara jernih oleh pihak kerajaan yang ada pada hari ini adalah, apakah mereka masih beriman dengan ayat Allah SWT ini? 

“Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik”.                                                                                                                                                                                               
                                                                                                                                                                                                          [At-Taubah (9) : 67]. 

apakah hati-hati mereka telah lebur kepada sabda Rasulullah SAW: 

“Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah/mencegah dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju). Dan itu adalah selemah-lemah Iman".

                                                                                                                                                                                                                          [HR Muslim]

berlangsungnya  konsert K-Pop dalam program Himpunan Sejuta Belia itu  dan bakal berlangsungnya Konsert K-Pop Storm Live pada esok hari membuktikan bahawa pemimpin umat Islam yang berkuasa hari ini masih lagi diselaputi dengan pemikiran sekular yang menganggap Islam itu satu entiti yang lain, dan kehidupan harian mereka sebagai entiti yang lain. sedang hakikat, Islam dan kehidupan itu tidak boleh dipisahkan sama sekali. Wallahu'alam.

::Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

.: group discussion : antara keberkatan dan kemurkaan:.


 sesi pengajian di USIM kini sudah menjangkau pertengahan semester. dan sekarang, kebanyakan pelajar sedang menikmati waktu cuti midsem di kampung halaman masing-masing. hanya sebilangan daripada mereka masih di  kampus, terlibat dengan pelbagai program yang akan diadakan pada waktu cuti ini. beberapa minggu sebelum itu, para lecturer mula mengagihkan assignment kepada para pelajar, dan sudah tentu lambakan assignment tersebut, kebanyakannya diselesaikan secara grouping.

         maka, group-group mula dibentuk. lecturer cakap,' ok, saya nak mix grouping ye..', maka fahamlah para pelajar, greenlight kekal sudah diberikan untuk buat group bercampur muslimin dan muslimat. justeru, terpancar riak 'kegembiraan' diwajah kedua-dua belah pihak. mana tidaknya, apabila bercampur, nanti boleh la sembang-sembang, buat kerja sambil gelak-gelak, jumpa selalu, makan sama-sama, pergi librarycari bahan sama-sama, naik kereta sama-sama, pergi tempat nak shooting sama-sama.  huh! semua secara 'bersama-sama'. sangat 'seronok' kan ?!

        fenomena group discussion adalah perkara biasa bagi pelajar di IPT seluruh negara. kalau tidak ada assignment yang diselesaikan secara grouping , maka bukan 'standard ' pelajar universiti lah! ( oo. macam tu ya? ) . ok, mungkin betul di satu sudut, tetapi mari kita pandang dari sudut perspektif yang lain, dari segi keberkatan ilmu melalui cara group discussion. oh ya, saya tidak menyatakan bahawa group discussion ini tak boleh dilakukan, tetapi sejauh mana group discussion kita itu boleh membawa rahmat dan keberkatan ilmu dari Allah s.w.t, itulah yang perlu kita titikberatkan.

      pada pengamatan ana dan melalui sedikit pengalaman ana terdahulu, group discussion bercampur adalah yang terbaik. kerana apa? kerana melalui percampuran antara muslimin dan muslimat ini, idea-idea atau pandangan dari kedua-dua belah pihak boleh dikongsi bersama, skil komunikasi dan interaksi kita akan lebih berkesan dan efektif, tumpuan untuk menyiapkan tugasan akan lebih tersasar, dan of course, tugasan kita akan tampak lebih kemas kerana kebiasaannya pihak muslimat yang akan finalize tugasan tersebut sebelum dihantar ( upss! ). ya, ini antara kebaikan yang kita akan perolehi. tetapi, kini, kebaikan-kebaikan ini langsung lenyap sama sekali. group discussion yang boleh mendatangkan kemaslahatan buat semua pelajar,namun bertukar menjadi group discussion yang dimurkai oleh Allah s.w.t dan juga hilang keberkatan ilmu disitu. kerana, group discussion itu dipenuhi dengan cacar merba ikhtilat yang gagal dikawal dengan baik dan secara syar'ie, yang mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t. sebagai natijahnya. nauzubillahimin zaalik~


ana lebih mudah untuk menyenaraikan beberapa cara bagaimana group discussion itu boleh mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t dan hilang punca keberkatan ilmu,mungkin terkena salah satu kepada kita dan ana akan menyediakan solusinya selepas ini. antaranya :

1. group discussion tetapi hanya berDUA ?? seorang muslimin seorang muslimat? ini ' DATING ' namanya.
2. bilangan yang tidak sesuai  seperti seorang muslimat dengan dua atau tiga orang muslimin. not nice maatry this, nisbah sekurang-kurangnya, muslimat 3 : muslimin 1. bukan muslimin melebihi muslimat!
3. group discussion yang 80% daripada isi diskusi hanya sembang kosong dan gelak ketawa. kerjanya tak juga siap!
4. group discussion yang pada ketika itu, aurat si muslimatnya tidak tertutup dengan SEMPURNA. dengan S.E.M.P.U.R.N.A! aurat muslimin juga tidak terkecuali.
5. berlaku sentuhan antara muslimin dan muslimat ,secara sengaja nak tersentuh!
6. duduk bersebelahan muslimin muslimat terlalu rapat! kira, kalau condong sikit ke kiri atau ke kanan, kepala dah boleh sandar pada bahu orang sebelah. haish!
7. niat group discussion hanyalah untuk menatap wajah 'pasangan', yang mungkin ada sekali dalam groupitu!
8. waktu azan, masih meneruskan discussion [ yang muslimin buat muka tak tahu, muslimat tahu tapi tak tegur]
9. terlalu lama ber'group discussion ', meleret-leret, padahal kerja tak juga dapat disiapkan, nak kena sambung juga nanti.
10. selalu sangat keluar untuk makan angin,muslimin dan muslimat. katanya nak release tension lepasgroup discussion.

ini hanya sebahagian daripadanya sahaja, cukuplah sebagai tatapan sahabat-sahabat sebagai pengajaran. maka, inilah solusinya untuk membuatkan group discussion kita lebih efektif, diberkati ilmunya serta dirahmati oleh Allah s.w.t : 

1. lebih indah andai diniatkan group discussion itu kerana Allah s.w.t dan untuk kejayaan kita dunia akhirat.
2. nisbah bilangan muslimat dan muslimin yang ideal, 3 : 1 atau 5 : 2. pokoknya, muslimat melebihi muslimin.
3. jarak discussion muslimin muslimat yang lebih terjaga dan mengikut landasan syara'.
4. waktu azan, segera tamatkan segala discussion dan bersegera mengambil wudhu' dan bersolat. dan kemudian, sambung semula.
5. elakkan selalu keluar makan angin bersama melainkan sesama jantina, khuatir akan berlaku perkara yang lain. ( maksiat, khalwat, pergaulan bebas dsb).
6. aurat ditutup dengan SEMPURNA untuk menjaga keberkatan ilmu ketika group discussion.
7. ketua group ambil peranan untuk menghadkan masa berdiskusi supaya tidak meleret-leret sehingga berlaku sembang kosong.
8. tingkatkan prestasi kerja ketika discussion, 90 % kerja akan siap tanpa sebarang perbualan kosong!
9. afdhal, memulakan dengan doa dan diakhiri dengan doa Rabithah.


nah, solusi yang insyaallah akan membuatkan group discussion kita lebih telus, lancar, dan efektif. =) kita sangat memerlukan keberkatan sesuatu ilmu untuk membantu kita mencapai kejayaan hakiki bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat sana yang kekal abadi. sama-sama kita berjuang memburu redha Allah s.w.t dalam perjuangan kita menimba ilmu ini. akhir kalam, sesungguhnya ana luncurkan penulisan ini bukanlah ingin menyatakan bahawa ana lah yang terbaik, tetapi luncuran tinta ini buat peringatan bersama termasuk diri ini . wallahu'alam.

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~


.:mencari sinar hati, menuju bahagia abadi:.

mungkin dari tajuk entri ana kali ini, orang yang membaca sepintas lalu akan fikir macam-macam. bila disebut hati dan bahagia, nampak satu entiti yang cukup sinonim bagi sesetengah orang atau lebih spesifik, orang-orang berdarah muda iaitu entiti cinta. ya, apa yang bakal ana nukilkan kali ini adalah tentang hakikat hati yang lebih cenderung untuk memberi dan mudah menerima. hati yang diberi ruh oleh Allah s.w.t  untuk membelai perasaan manusia seterusnya tanpa sedar,andai tidak terkawal, hati jua yang membawa manusia ke lembah kehinaan.  inilah hakikat hati yang rosak dan tidak terjaga. ana akan merungkaikan sedikit perihal hati,tetapi berdasarkan pandangan peribadi ana sahaja. dimana hatilah yang mendorong manusia melakukan sesuatu tindakan, dengan kecenderungan nafsu yang selalu mengiringi kehendak hati. 

    tafsiran hati dalam entri ana ini lebih berkisarkan pada cinta manusia. hah, kalau bab cintan-cintun, suka sangatlah orang-orang muda. pantang dibuat program-program berkaitan cinta, ana jamin audiens yang hadir pasti melebihi kerusi yang disediakan, lagi2 audiens muslimat. itu pasti. sebab ini pun termasuk dalam pengalaman ana sendiri. maaflah, andai coretan ana kali ini berbentuk peribadi, namun ana luncurkan buat perkongsian sahabat-sahabat yang ana sayangi dan semoga dirahmati oleh Allah s.w.t sekalian.

     apakah hati? ya, kalau dijawab secara saintifik, hati adalah satu ketulan daging yang wujud didalam jasad pejal manusia. dan juga jasad haiwan-haiwan ciptaan Allah s.w.t. namun, andai ditanya soal hati mengikut definisi falsafah, macam-macam tafsiran tentang hati akan keluar. setiap orang punyai pandangan berbeza-beza tentang hati. hati ada kehendak yang kuat, kehendak yang kadang sukar ditolak diri kita sendiri. kadang kita kata taknak, tapi hati mahu. lantas, kita tewas dengan kehendak hati, apatah lagi jika hati itu juga berlandaskan nafsu yang kuat membelenggu fikiran dan jiwa manusia.

      mata manusia suka melihat akan kecantikan, kekemasan, kerana itulah fitrah yang Allah s.w.t ciptakan keatas setiap makhluk-makhluknya.Allah s.w.t suka akan kecantikan dan Allah s.w.t itu juga Maha Cantik. analogi yang dinisbahkan pada manusia, kecantikan seorang wanita boleh menggugat jiwa seorang lelaki. begitu jua sebaliknya, kekacakan seorang lelaki boleh menggugat jiwa seorang wanita. nah, lihatlah sendiri fenomena korea yang melarat-larat dikalangan wanita, suka pada cerita-cerita korea dan aktor lelaki korea, kata mereka, kacak, comel, kiut dan sebagainya. ini buktinya mata manusia yang sukakan kecantikan. tapi hati mereka yang mahu, tetap gagal dicapai. hanya sekadar angan-angan dan mimpi untuk memiliki aktor-aktor itu. kadang, sampai buat koleksi album, semua gambar lelaki korea! 


saya cerita begini kerana inilah hakikat hati. hati yang mudah menerima sebarang bentuk halusinasi halus dan angan-angan. tetapi tidak mudah digapai. dan hati yang cenderung untuk memberi sebarang perasaan,seperti cinta, rindu, marah, kecewa dan sebagainya. hati yang tenang adalah hati yang mampu mengawal semua keadaan ini. tidak ekstrem dan tidak juga terlalu pasif.

    terus pada topik,iaitu cinta. cinta antara dua insan melibatkan dua hati. dan dari dua hati itu menjadi satu hati yang bersemi, maka keluarlah perkataan,' kita sehidup semati '. ' kita sehati sejiwa'. bermula dari sebuah perkenalan, kemudian persahabatan. lama menjalin persahabatan, ah, alangkah indah andai dilanjutkan lagi ke peringkat seterusnya iaitu cinta dan couple, namun gagal untuk ke peringkat seterusnya iaitu pernikahanini proses biasa bagi pasangan bercinta hari ini. percayalah kalau ana katakan, ini cinta murahan. cinta yang mudah digadai begitu sahaja. cinta yang sia-sia, tidak berhasil apa-apa.cinta sekerat jalan, fahamlah kita jalan yang sekerat bukanlah jalan yang sempurna. maka, adakah kita benar-benar sudah menggunakan hati dengan baik? salahguna cinta, maka automatik hati juga tidak digunakan sebaiknya. terus terang ana katakan, bukan salah untuk bercinta, tetapi cinta yang disalahguna itu membuatkan orang merasakan cinta itu bersalah.

    maka, bagaimana mahu merawat dan top-up hati yang salah digunakan? maka, tuntutan syariat Islamlah kunci segalanya. Islam menganjurkan umatnya menjaga hati dari segenap aspek kehidupan termasuk juga dalam bercinta. bagi orang lelaki, jika sudah jatuh hati pada seseorang wanita, elakkan dari terus approachwanita tersebut, bahkan seharusnya lelaki itu merisik khabar melalui teman-teman dan sahabat-sahabat terdekat wanita itu. ya, Islam menganjurkan menggunakan perantaraan bagi tujuan taaruf antara lelaki dan wanita. hikmahnya, hati antara dua insan akan lebih menjaga, tidaklah masing-masing saling meluahkan, lantas melayan kehendak hati, cenderung  memberi perasaan dan harapan pada pasangan, dan mudah menerima layanan nafsu. maka cinta Islamik yang diidamkan menjadi cinta yang kronik. tanpa perantara, pabila dua insan saling berhubung walaupun tidak berjumpa, tetapi hati mereka sedikit demi sedikit terhakis dengan dosa sendiri. sukar sebenarnya untuk menjaga hati. cukup sukar, tidak semudah bicara di bibir. dua insan yang berhubung ini kemudian akan melayani perasaan, maka rebahlah masing-masing dipangkuan manja syaitan yang senantiasa menanti peluang untuk merosakkan hati manusia. maka, tidak hairanlah, ada kisah hafiz hafizah yang terlanjur. hati yang dipahat dengan Al-Quran yang mulia pun mampu terhakis dek madu-madu syaitan yang dicalit pada hati mereka, seterusnya mendorong mereka melakukan kehinaan. apatah lagi hati kita yang ampuh dan poros ini. nauzubilllahimin zaalik. semoga Allah s.w.t mengampuni dosa kita semua.

       lembah cinta memang indah. masing-masing seolah berada di syurga abadi, tetapi sebenarnya sedang menempah tiket ke neraka.maka, sahabat-sahabat, usahlah bercinta andai tidak ada maksud untuk menikahi pasangan kalian. usahlah mula menitip kata cinta andai tidak terniat dihati untuk melanjutkannya dengan pernikahan yang suci, yang lebih diredhai Allah s.w.t. usahlah menguis kata manis pada pasangan andai tidak sedia untuk menerima pasangan itu sebagai pasangan abadi  yang kekal ke syurga kelak. ini tips yang mudah. tetapi,gagal difahami segelintir masyarakat. ana pernah hanyut dalam bercinta, tetapi senantiasa ada niat untuk menamatkan dengan pernikahan. tetapi tidak kesampaian kerana hati yang sudah terhakis dengan semaian dosa dan noda, setiap hari setiap detik setiap saat melayani perasaan masing-masing. ini pengajaran bagi ana dan sebagai perkongsian buat sahabat-sahabat. ana ada beberapa pengalaman, dan ana boleh kongsikan andai ada persoalan dari sahabat-sahabat, ana akan memberi solusi terbaik buat mereka yang mengalami permasalah seumpama ini. insyaallah.


  kini, hati ana tekad untuk menjadi satu hati yang hanya mendamba cinta suci insan yang di'reserve'kan oleh Allah s.w.t pada ana. yang lama sudah termaktub di Luh Mahfuz, itupun andai ada suratan itu, kerana kematian itu kita tidak jangka bila. Maha Suci Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui akan segala perihal makhluk-makhlukNya. insan yang mungkin kini sedang berdoa setiap kali selepas solatnya untuk ditemukan dengan ana. yang giat berqiammulail mendoakan kesejahteraan ana. yang menangis dalam doanya untuk melayakkan ana menjadi imam sepenuh masanya.subhanallah, sahabat-sahabat jangan cemburu pula ya. ^_^ dan yang penting, andai saatnya tiba nanti, ana akan lebih berhati-hati dalam menitip sinar hati dan memburu bahagia abadi, menurut tuntutan Islam, agama yang syumul, agama yang benar disisi Allah s.w.t, agar impian membina bayt al-muslim tercapai dalam redhaNya. dan agar ana dan bakal zaujah senantiasa thabat di jalan dakwah, insyaallah aminn. wallahu'alam.

p/s : coretan ini merupakan pandangan peribadi ana sahaja. sebarang komentar dan kritikan membina amat-amat diperlukan. ^_^. diskusi yang sihat amat digalakkan.

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~


.: warkah cinta buat adik-adik abang:.


salam sejahtera buat adik-adik yang amat abang sayangi,

terlebih dahulu, abang memohon sejuta kemaafan andai warkah ini membuatkan adik-adik abang resah gelisah. mungkin tersinggung, terkesima atau sebaliknya. abang menitip warkah ini kerana ingatan abang pada adik-adik, kerana sayang abang pada adik-adik terlalu tinggi. kerana abang ingin sekali melihat adik-adik abang berjaya dalam hidup, membanggakan kedua ibubapa seterusnya menggapai redha yang tiada bandingannya di dunia ini iaitu redha Allah. redha yang diburu orang-orang beriman, adik-adik.

wahai adik-adikku,
ingatlah, usia mudamu bukan masa untuk kalian bergurau senda, bukan jua masa untuk kalian mengejar dunia. ketahuilah adik-adik, kehidupan dunia hanya sementara, sebentar sahaja persinggahan kita didunia ini. Allah pernah berfirman dalam ayatNya, tiadalah kehidupan didunia ini melainkan hanya senda gurau dan tipu muslihat sahaja. abang tak ingat ayat yang mana, nanti adik-adik cuba buka tafsir Quran dan cari balik ayat ini. kalau abang tersilap, maafkan abang. abang hanya manusia biasa yang bila-bila masa sahaja akan melakukan kesilapan.

adik-adik, saban hari saban waktu, kalian semakin menginjak dewasa. dulu, ketika adik-adik dilahirkan, ketahuilah bahawa wajah ibu dan ayah adik-adiklah yang paling bersinar. ceria. tidak terkata. mereka bangga memiliki adik-adik sebagai anak mereka. ayah dan ibu berbincang untuk meletakkan nama untuk adik-adik. semestinya, nama yang baik-baik. kenapa? sebab ibu dan ayah adik-adik ingin melihat adik-adik membesar dengan baik. membesar dihadapan mata mereka dengan didikan dan asuhan yang teliti. supaya suatu  masa nanti, adik-adik menjadi kebanggaan mereka. adik-adik, sungguh pengorbanan ibu dan ayah tiada galang gantinya. dan ibu dan ayah tidak pernah meminta untuk dibalas segalanya. apa yang mereka mahukan hanyalah sebuah kejayaan dari adik-adik. 

wahai adik-adikku,
abang sangat sedih. abang lihat remaja yang sebaya adik-adik kini semakin rosak. ada yang hisap rokok, yang jadi mat rempit, yang hisap dadah, yang bergaul secara bebas. baru belasan tahun, seusia adik-adik sahaja, tetapi akhlak mereka cukup-cukup mendukacitakan. abang yakin, ibubapa mereka tidak mengharap mereka jadi seperti yang abang sebutkan tadi. adik-adik tahu apa punca mereka jadi begitu?

pengaruh kawan,adik-adik. abang nasihatkan adik-adik, carilah kawan yang baik-baik sahaja. supaya adik-adik ikut akhlak yang baik. yang jahat dan nakal itu, tetap kawan adik-adik tetapi mereka akan bawa adik-adik buat kerja jahat. kalau buat kerja jahat, maka mana tempatnya adik-adik? ya, adik-adik,neraka Allah. kalau adik-adik buat kerja jahat, maka automatik adik-adik dah jadi sahabat sepermainan syaitan. nauzubillahimin zaalik.

abang selalu nampak, remaja yang sebaya adik-adik kini lebih teruk berbanding generasi sebelumnya. mereka seumpama tidak diasuh dengan baik oleh ayah dan ibu, padahal ayah dan ibu dah bagi 'hadiah' terbaik untuk adik-adik sejak dari kecil lagi iaitu cinta dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. maka, apakah balasan yang adik-adik beri pada ayah dan ibu? adakah dengan noda dan dosa adik-adik? sanggupkah?

wahai adik-adikku,
abang tak kisah kalau adik-adik tidak menghormati abang sebagai 'abang' adik-adik. tetapi, hormatilah ayah dan ibu sungguh-sungguh.itu yang paling utama. sebab keberkatan hidup datangnya dari rasa hormat dan restu ayah dan ibu. hargai mereka selagimana mereka masih hidup. balas segala jasa mereka walaupun mereka tidak mengharap dibalas.juga, hormati cikgu-cikgu, kawan-kawan, orang yang lebih tua daripada kita. sebab ini contoh akhlak Nabi kita, adik-adik. Nabi kita, akhlak baginda sangat cantik. indah. suci. semua manusia suka akhlak Nabi. sebab itu dulu Islam,agama kita pernah naik. kita pernah menakluk dunia dengan Islam. tetapi kini, umat Islam semakin lemah dan lalai. siapa lagi yang boleh bangkitkan semangat Islam macam dulu? siapa lagi yang akan menjiwai semangat Sultan Salahuddin Al-Ayyubi? Sultan Muhammad Al-Fateh?

maka, abang yakinkan bahawa, generasi adik-adiklah yang bakal menggegarkan dunia dengan Islam semula. kalau adik-adik main-main, maka mudahlah musuh-musuh Islam takluk hati-hati kita, adik-adik. tinta ini walaupun ringkas sangat, tetapi abang amat berharap adik-adik lebih cakna akan perihal masa depan adik-adik. zaman dulu dan zaman adik-adik tidak akan sama. mehnah dunia di zaman adik-adik lebih kuat dan mencabar. tapi abang yakin, andai adik-adik ambil kata-kata abang di warkah ini, adik-adik akan mempunyai jiwa dan semangat umpama singa kelaparan. yang mahu membaham musuh-musuh Islam sampai lumat. subhanallah, tatkala itu yang berlaku, adik-adik, abang yakin generasi adik-adiklah yang layak digelar generasi yang terasing (Ghuraba'), generasi yang ditunggu seluruh umat Islam.

wahai adik-adikku, 
abang rasa cukuplah sampai disini tinta abang untuk warkah ini. bukah warkah sia-sia tetapi warkah penuh makna. abang luncurkan tulisan abang ini kepada semua adik-adik , tak kira yang abang pernah kenal atau abang tak kenal. adik-adik baca, adik-adik bagi kawan adik-adik baca pula. semoga apa yang abang cuba sampaikan, tersemat dalam jiwa adik-adik ya. salam mahabbah buat adik-adik.

ikhlas dari abangmu,
Muhammad Ubaydullah Khairuddin.

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

.:mampukah diri menggalas mimpi?:.


pernah terdetik dihati ana untuk menjadi seorang doktor perubatan di sebuah hospital. sana sini orang panggil ana dr. ubay. ya, itu dizaman sekolah, zaman tamhidi (matrikulasi USIM). ana simpan impian itu kemas-kemas dalam hati ini. namun, takdir Allah s.w.t mengatasi segalanya. rezeki ana bukan untuk menjadi seorang doktor perubatan mahupun figura yang dipanggil doktor dimana-mana hospital atau klinik.  ana kini sedang menempa ilmu dalam bidang kimia. teknologi kimia industri, fakulti sains dan teknologi USIM. mengapa ana pilih kos ini? sebab minat. minat yang hadir ketika ana dizaman tamhidi.anehnya, zaman sekolah, minat ini tidak hadir. antara salah satu faktornya adalah dari segi pengajaran lecturer yang mengajar subjek kimia ketika dizaman tamhidi, Puan Latifah yang ana ingat sampai bila-bila.

        sebelum ana berkecimpung dalam bidang kimia ini, ana punyai cita-cita yang cukup besar. jadi doktor, gaji yang besar, dipanggil doktor lagi. impian ana tak ubah macam mimpi mat jenin masa tu. namun,ana langsung tidak berfikir akan kemampuan diri sendiri. mampukah aku menggapai impian sendiri, atau sekadar angan-angan hampas yang sia-sia? ana beranggapan pekerjaan sebagai doktor perubatan itu mudah, bila ditanya pengalaman doktor-doktor,ternyata ianya bukan tugas yang mudah. bayangkan belajar 6 tahun, subjek-subjek pembacaan yang agak berat bagi sesetengah orang. banyak nak kena hafal. sedangkan ana bukan seorang penghafal yang baik,mudah sangat lupa.

       namun, bila ana tidak berjaya capai semua ni, ana tidak mengeluh. ana tidak menyesal sedikit pun, sebab ana sedar kemampuan ana membatasi impian ana. semakin ana kejar,semakin jauh impian ini pergi menjauhkan diri dari ana. dari situ,ana tahu menjadi doktor perubatan bukan rezeki ana. namun, ana tidak mengeluh, tidak menyesal sebab ana yakin ketentuan Allah s.w.t itu adalah yang terbaik buat diri ana seluruhnya. terima kasih Allah s.w.t.! sungguh,hamba hina ini menerima ketentuanMu dengan hati yang lapang, dada yang terbuka.

      dalam hidup, ada masa kita menghadapi saat getir yang kadang kita sendiri tidak mampu hadapi. kita cuba bangun namun pergerakan kita terbatas sama sekali. tangan diangkat, namun terjatuh kembali. sebab kita tak kuat,tak kuat untuk menerima ujian yang kita terima dari Allah s.w.t Rabbul 'Alamin. hati kita poros,tak teguh, lembik, sebab kita banyak guna hati untuk membuat sesuatu keputusan. akal yang ada,langsung disia-siakan. sebab itu bila kita ditimpa ujian, mudah sangat mengeluh. ' Ya Allah, mengapa aku yang selalu menjadi mangsa?'. ' ..ish.. hidup ini susah! baik aku mati lagi baik!'.kata-kata ini terlahir bila kita tidak gunakan akal dalam mentafsir hikmah sebuah ujian.

” Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendaklah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! ” Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata… itu memberi peluang pada syaitan ” . (Riwayat Muslim)­­

     jadi,bagaimana nak seimbangkan kedua-dua akal dan hati ini bila hadapi ujian kesulitan? maka,berfikirlah. berfikir guna akal. bukan kepala lutut. bila kita mendambakan sebuah impian, cuba fikir setakat mana mampunya kita untuk menggalas 'mimpi' itu. dengan berfikir, hati kita akan di'mindset'kan terlebih dahulu untuk menerima apa-apa sahaja halangan yang bakal kita tempuh nanti. bila akal dan hati disatukan, maka bila ujian hadir menghalangi jejak, kita tidak akan mudah putus asa dan mengeluh, sebab kita sudah tahu solusinya dan bagaimana kita nak menangani masalah itu. ^_^

     ana yakin sahabat-sahabat diluar sana juga punyai impian besar seumpama ana. ana doakan sahabat-sahabat berjaya kecapi semua impian itu, bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam saja. satu rahsia kejayaan adalah menyerahkan kembali segala kemampuan kita pada Khaliq Yang Mampu Segalanya. Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim. ya, ungkapan ini meleburkan rasa takbur dan ego seorang yang bernama makhluk. yakinlah janji Allah s.w.t itu pasti, jika kita tidak dapat mengecapi sesebuah impian itu, tidak bermakna kita sudah gagal seluruhnya, tapi sebenarnya kita masih kurang berjaya. perlu sedikit lagi usaha. usaha sungguh-sungguh, berdoa dan tawakkal hanya pada Allah s.w.t. ^_^
jadi, mampukah diri menggalas mimpi? berfikirlah dan anda akan temui jawapannya suatu saat nanti,insyaallah.

 :: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim::
~ be a professional for ad-deen : ibnkhayr ~

.: para ulama' bukan untuk dipuja-puja :.

umat Islam yang terlalu 'fanatik' dengan para ulama'.

ana bawakan isu ini untuk kita bincangkan bersama. ^_^

ana cuma ambil contoh ustaz 'popular' hari ini. lebih tampak jelas. ini sekadar contoh sahaja ya.Ustaz Azhar Idrus atau singkatannya UAI. 'fenomena Ustaz Azhar Idrus' ini perlu dipandang serius dari kacamata seorang Muslim Mukmin yang benar-benar menyatakan keimanannya pada Allah dan RasulNya . baik, mari kita teliti sedikit isu ini. selepas 31 Disember menjelang masuk 1 Januari 2012, ketika sambutan tahun baru Masihi, figura ustaz ini mula mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dengan kehadiran beratus ribu peminat dan pendengar soal jawab UAI malam itu. kita begitu kagum dengan UAI, seorang ustaz yang pandai dan kreatif dalam menyampaikan ilmu agamanya. berjaya menarik beribu-ribu orang, terutama anak-anak muda untuk mendengar ceramah beliau. hebat kan? ya, bagi kita, jiwa manusia, perkara ini memang hebat.

baik, sejak hari itu, UAI mendapat beratus-ratus jemputan untuk mengendalikan sesi soal jawab agama di seluruh negara. berturutan dengan itu, kita lihat saja di fb, pelbagai gaya dan reaksi UAI dapat kita lihat, menerusi 'share' yang dibuat oleh rakan-rakan di fb, baik kata-kata mahupun gambar UAI itu sendiri.

sebelum itu, minta kalian jangan fikir ana cuba protes UAI. tidak ya. ana juga adalah salah seorang peminat UAI.apa yang cuba ana bawa adalah 'sikap' umat Islam terhadap para asatizah yang punya ilmu agama yang tinggi ini. sikap apa? sikap 'kemaruk' dan 'fanatik' yang melampau.

UAI dijulang namanya, diwar-warkan di kaca TV begitu megah. begitu juga di fb. dan juga di youtube,SELAIN siri ceramah beliau, contoh video ada di akhir artikel ini. kita lihat siapa yang mengangkat namanya kalau bukan peminat UAI itu sendiri. peminat ilmu agama lain dari peminat seorang figura. peminat ilmu agama tidak berlaku 'fanatik', tapi peminat seorang figura, terlalu 'fanatik'.


 “Ulama adalah pewaris para nabi.” 

(HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda radhiallahu 'anhu) 


pernah dengar kan hadis ini? 

benar,para ulama' dan asatizah itu adalah pewaris para Nabi, penyambung wasilah Nabi menyampaikan dakwah Islam. namun, sikap segelintir umat Islam yang 'fanatik' ini sangat-sangat perlu diambil cakna. kita dapat bezakan sikap yang 'fanatik' dan sikap yang biasa-biasa sahaja. 

baik, sikap 'fanatik' yang ana maksudkan adalah sikap terlalu dan terlampau menjulang nama seseorang ulama' atau asatizah itu sehingga ditahap seolah-olah 'memuja'  tanpa sedar dan menganggap ulama'atau asatizah itu sendiri terlalu 'keramat'. nauzubillahimin zaalik.

astaghfirullah~ . inilah yang perlu kita fikirkan bersama, dan perlu difikirkan solusinya supaya umat Islam tidak 'memuja' sehingga ke tahap itu , biarpun tidak terzahir dengan kata-kata secara lisan, namun PERBUATAN bolehmelambangkan segalanya.

sikap biasa-biasa adalah seperti, mengambil kata-kata para ulama' atau asatizah untuk dijadikan pedoman, nasihat, tunjuk ajar, tips, petua dan 'share' pada rakan-rakan di fb untuk tujuan perkongsian ilmu. yang penting isi agama dan dakwah yang cuba disampaikan itu. disamping mengenali ulama' itu tetapi tidaklah sampai tahap mengagung-agungkan. tak perlu untuk buang masa edit gambar,buat video yang 'osem' semata-mata nak kenalkan para ulama' atau asatizah itu.  jikalau kekasih Allah, Muhammad Habibullah wa Habibuna s.a.w masih hidup bersama kita, ana yakin baginda tidak akan suka dan tidak mahu gambar baginda ditayang umum dan ditampal dimana-mana sepertimana amalan golongan Syiah Imamiyah yang menggantung gambar-gambar para imam dua belas mereka di dinding-dinding rumah penganutnya. Allah Allah. moga Allah ampuni dosaku jua.

sama juga dengan isu UAI,bukan bermaksud ana 'anti' dengan UAI, tetapi janganlah sampai terlalu 'fanatik' dan 'ta'asub' dengan beliau. fanatik ngn kata-kata ulama' untuk dijadikan panduan hidup, itu yang dibolehkan.insyaallah dalam itu ada redhaNya. dan seandainya UAI dibawa berjumpa  Allah  dalam keadaan umat sedang memerlukannya,apa yang akan terjadi? ana khuatir ramai yang akan berubah menjadi tidak baik. disebabkan apa? disebabkan terlalu 'fanatik' dengan 'fizikal sementara' UAI,bukan dengan  kata-katanya. renungkan kembali, selama ini kita mungkin telah 'memuja' ulama' dan asatizah TANPA SEDAR.


 “Ulama adalah pewaris para nabi.” 

(HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda radhiallahu 'anhu)

sekali lagi hadis ini naik. jadi, kita seharusnya menjadikan para ulama' itu ditaraf dan darjat mereka, darjat yang tertinggi yang bukanlah sama, melebihi mahupun hampir kepada taraf dan darjat para Nabi Allah. moga Allah beri petunjuk kepada kita semua, dengan inayah dan rahmatNya,insyaallah.

justeru, ana ingin sarankan pada sahabat-sahabat fillah abadan abada untuk kita sama-sama cakna akan hal ini. hal seumpama 'pemujaan' ini seharusnya kita elakkan dan tangani secara berhemah dan berhikmah. UAI seorang ustaz yang hebat, punya ilmu agama yang tinggi, ada daya tarikan tersendiri dan mampu membuat hati-hati anak muda tertarik dengan agama. itu kelebihan beliau, cara beliau.dan ana suka dengan cara beliau. para asatizah lain juga punya manhaj dan metod menyampaikan ilmu dan agama yang berbeza-beza. namun, perlu kita teliti semula tindakan kita, kita angkat para ulama' dan asatizah ini, adakah kita nampak kehebatan Allah disebalik kehebatan mereka? jika jawapannya TIDAK, kita hanya semata-mata melihat 'kehebatan' dan 'kebesaran' makhluk sahaja !! Allah Allah Allah.

ulama' dan asatizah adalah sumber ilmu agama dan ilmu-ilmu lain yang dianugerahkan oleh Allah Azza Wajalla kepada kita semua, umat manusia khususnya umat Islam. kehebatan ilmu mereka yang diyakini sepenuhnya, yakinlah kehebatan mereka adalah dari Allah jua. pasakkan dalam hati kita, mereka juga tidak punya apa-apa, mereka tak mampu membawa kita ke syurga atau neraka, mereka tak mampu memberi syafaat kepada kita,mereka tak mampu berbuat apa-apa juga melainkan dengan KEKUASAAN  dan KEIZINAN dari Allah jua. tambahan,kita sendiri yang akan menentukan kemana arah yang akan kita tujui nanti, berdasarkan i'tiqad keimanan kita dan amal kita. mereka, para ulama' dan asatizah boleh memberi kita panduan yang lengkap tentang agama, memberi peringatan akan azab-azab Allah serta kenikmatan di akhirat Allah. namun, pandanglah mereka di darjat 'para ulama' pewaris Nabi', bukanlah hampir atau menyamai para 'Nabi' atau 'Rasul', jauh sekali 'malaikat'. Allahu Allah.

semoga peringatan ini diambil iktibar, sama-sama kita ingatkan sahabat-sahabat fillah kita agar mereka menjaga kata-kata mereka, menjaga keimanan mereka, agar tidak terpesong dek terzahirnya kehebatan makhluk ciptaan Allah. kalau kita katakan seseorang itu hebat, maka kehebatannya datang dari Allah yang hebat. kita terus nampak Allah disebalik kehebatan makhluk. inilah formulanya. 

mudah dan indah kan? insyaallah, sama-sama renungkan. wallahu'alam.

disini, ana sertakan contoh video yang sangat 'osem', cantik, pandai edit video tapi pengaplikasian ilmu video editting yang membesarkan makhluk.Allahu Allah. inilah yang ana maksudkan dengan 'ta'asub', yang berlaku kepada segelintir daripada kita. 



p/s : sebarang ulasan, komen mahupun kritikan, sila kemukakan, insyaallah kita bincangkan ^_^ - jujur, diri ini naif dan dhoif,tidak punya ilmu yang tinggi, tidak berada di pengkhususan agama, tidak hebat,namun berharap agar diri ini sentiasa nampak kehebatan Allah di hati,kerdilnya jiwa ini dihadapanNya kerana hanya makhluk hina yang dijadikan dari campuran tanah yang kotor dan titisan mani yang jijik.



:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~