Saturday 20 July 2013

.: cerpen : cinta Ramadhan :.

Angin petang itu sepoi-sepoi bahasa. Suasana sekitar tasik itu cukup menenangkan. Kicauan burung-burung saling bersahutan antara satu sama lain. Qassam merenung jauh ke hujung tasik yang berada di hadapannya, keseorangan. Dia sedang memikirkan sesuatu. Dia sedang memikirkan mengenai hubungannya dengan Rabi'ah.


Kali ini Qassam yakin ikatan pertunangannya dengan Rabi'ah akan berjalan dengan lancar, malah lebih lancar dari bulan-bulan sebelum Ramadhan. Kurang dari sebulan lagi, mereka akan melangsungkan majlis akad nikah mereka.

Jika di bulan-bulan sudah, Qassam tidak dapat menahan gelora jiwanya untuk menghubungi Rabi'ah walhal jelas sekali ikatan pertunangan mereka adalah sebuah ujian bagi hati-hati mereka. Perasaan ingin memiliki sangat meluap-luap dalam diri Qassam. Rabi'ah pula sangat memahami hati tunangnya itu. Dia tidak mampu mengelak untuk tidak menghubungi Qassam dan pantas sekali membalas segala mesej-mesej cinta Qassam padanya. Dia tahu, jika dia mengelak, hati Qassam pasti terluka. Dia mengerti, Qassam sensitif orangnya dan memerlukan perhatian yang lebih.

Rabi'ah pula seorang yang amat lembut hatinya. Mudah tersentuh dan sama-sama sensitif seperti Qassam. Namun, Rabi'ah lebih yakin akan perasaan hatinya terhadap Qassam berbanding Qassam yang sepertinya tidak seberapa yakin. Ketidakyakinan Qassam itulah yang menyebabkan dia merasakan perlu menghubungi Rabi'ah hampir setiap hari untuk menguatkan hati dan jiwanya. Dia menggunakan alasan ini untuk menghubungi Rabi'ah.

Ramadhan ini, Qassam dan Rabi'ah langsung tidak berhubungan antara satu sama lain. Mereka sudah menitip janji untuk lebih menjaga hati ketika bulan Ramadhan ini. Cadangan ini dikemukakan sendiri oleh Qassam kepada Rabi'ah, dan Rabi'ah menerima cadangan itu dengan senang hati. Rabi'ah bukan tidak mahu menegur tindakan Qassam yang asyik dan terlalu mengingatinya sehingga hampir setiap hari perlu berhubung, tetapi jiwa Rabi'ah yang lembut itu yang tidak sampai hati melihat Qassam makan hati dengan tegurannya. Dia sangat memahami Qassam.

*****



"Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk."


(Al-Isra': ayat 32)

" Aku tak boleh biarkan perasaan aku selalu macam ni. Aku tahu Rabi'ah pun tak suka aku selalu sangat contact dia. Macam mana ni Atha' ? ", tanya Qassam kepada sahabat baiknya, Atha'. Atha' selalu bersama Qassam walau kemana Qassam pergi. Mereka seumpama adik-beradik kandung yang sangat rapat. Ukhwah antara mereka yang terbina sejak zaman sekolah rendah itu tidak pernah luntur meskipun mereka sudah menginjak umur dewasa. Qassam hanya mempercayai Atha' sebagai sahabat baiknya, sebab itu apa-apa saja masalah Qassam yang mampu dikongsi, dia hanya akan berkongsi dengan Atha', tidak dengan kawan-kawan yang lain.

" Aku rasa kau kena tahan perasaan kau ni. Dah tak lama dah ni kau akan bernikah. Sabarlah sikit. Aku faham apa kau rasa walaupun aku tak pernah bernikah lagi. Aku tahu macam mana perasaan orang yang nak nikah ni. Abang-abang aku banyak bercerita mengenainya", balas Atha' tenang, sambil memegang bahu Qassam yang sedang bermuram durja. Mereka selalu meluangkan masa bersama jika Qassam atau Atha' ada permasalahan yang ingin dibincangkan. Tempat pertemuan mereka sudah ditetapkan sejak dulu, di depan tasik buatan yang terletak kira-kira 5 kilometer dari rumah Qassam. Mereka memilih lokasi itu kerana suasananya yang cukup tenang, jauh dari hiruk-pikuk kota.

" Aku dah lama fikirkan perkara ni, tapi tak tahu la macam mana kan. Ramadhan kan nak dekat dah, jadinya aku plan taknak contact Rabi'ah langsung. Apa pendapat kau?", tanya Qassam sambil memandang dengan penuh minat kepada Atha'. Dia mengharapkan jawapan bernas keluar dari bibir sahabat baiknya itu. Dia selalu meminta pandangan Atha' kerana Atha' lebih memahami perasaan hatinya.

" Aku rasa idea kau tu sangat baik untuk hubungan kau dengan Rabi'ah. Kalaulah kau buat macam ni lama dulu, jauh lebih baik hubungan pertunangan kau dengan Rabi'ah tau", balas Atha' tersenyum.

" Ramadhan ni, kau kena azam, kena tinggalkan semua perkara yang kau buat sebelum Ramadhan. Kau kena tahan diri kau dari hubungi Rabi'ah. Jangan call dia, mesej dia, tegur dia di FB ke, jangan. Cubalah tahan untuk sebulan ni saja. Lagi pun, Syawal nanti kan kau dah nikah. Aku cuma nak tengok kau happy je Qas, tak lebih dari tu. Aku nak kau meniti hubungan pertunangan kau ni penuh bersyariat. Ianya tak lebih untuk menjaga hati kita yang lemah ni Qas. Allah akan lebih suka jika kau melayari bahtera cinta kau dalam keadaan terbatas selagimana belum halal bagimu untuk berbuat demikian", tambah Atha'.

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang berlaku ke atas anak-anak Adam. Mata itu zinanya pandangan, telinga itu zinanya mendengar, lidah itu zinanya ucapan, tangan itu zina melakukan kekerasan, kaki itu zinanya langkah, dan hati itu mengharap dan berkeinginan, dan mengiyakannya kemaluan ataupun mendustakannya."


(Hadis Riwayat Muslim)

Lama Qassam merenung. Dia mulai mengerti maksud yang ingin disampaikan sahabat baiknya itu.

" Ye Atha', aku faham sangat-sangat apa yang kau cakap tu. Aku tahu, inilah yang selama ini Rabi'ah nak aku buat. Aku tau sebab keluarga dia selalu cakap pasal ni kat aku. Keluarga dia sampaikan kat aku sebab Rabi'ah tak sampai hati nak tegur aku direct. Terima kasih Atha' atas cadangan dan nasihat kau yang amat bernas tu, terima kasih", balas Qassam tersenyum. Dia tahu persahabatannya dengan Atha' ini sangat bermakna apalagi Atha' tidak pernah lelah untuk memberinya nasihat walaupun nasihat itu sering berulang kali keluar dari bibirnya.

" Takde apelah, Qas. Aku cume menjalankan amanah aku sebagai sahabat je. Nak maghrib dah ni, jom balik", balas Atha' tersengih.

*****

" Rabi'ah, Qassam ada hubungi kamu lagi ke sekarang?", tanya Puan Kalthum, umminya Rabi'ah. Mereka sedang berada di dapur untuk menyediakan juadah berbuka puasa.

" Hmm, sekarang dah takde, ummi. Kami dah pakat untuk sama-sama menahan diri kami dari berhubungan lagi. Qassam sendiri yang mencadangkannya, ummi.", balas Rabi'ah penuh lembut sambil menyusun pinggan dan cawan diatas meja makan.

" Alhamdulillah. bukan apa, ummi risau tengok kalian berdua, sepertinya hanyut dalam cinta. Sepatutnya itu tak boleh terjadi. Tempoh pertunangan bukan tiket untuk kalian sering bersama walaupun dalam jarak yang jauh macam ni. Ummi harap kamu faham ya, tapi bila ummi dengar Qassam yang cadangkan macam tu, ummi lega", balas Puan Kalthum yang sedang memotong kepingan mertabak yang baru dibeli mereka di Bazaar tadi.

" Kenapa ummi lega bila Qassam yang cadangkan?", tanya Rabi'ah ingin tahu.

" Ye la, kan sebelum ni Qassam yang selalu memulakan contact dengan kamu. Tapi kali ni, ummi tengok sepertinya Qassam dah sedar silapnya, itu yang dia cadangkan agar kalian tidak berhubungan. Ini satu kejayaan buat diri Qassam, dan satu ketenangan buat kamu kan?", jawab Puan Kalthum sambil tersenyum memandang Rabi'ah.

" Ya ummi, Rabi'ah tenang sangat sekarang. Ummi doakan ye, moga majlis pernikahan Rabi'ah dengan Qassam berjalan lancar nanti", bicara Rabi'ah penuh pengharapan. Puan Kalthum tersenyum, mengangguk tanda mengiyakan permintaan Rabi'ah.

*****

Nafsu mereka kini lebih terdidik. Ramadhan ini benar-benar menyentuh jiwa mereka dalam-dalam. Hampir setiap malam, mereka bangun untuk solat malam bagi menghadirkan rasa cinta mereka kepada Allah SWT, Tuhan yang memberi cinta kepada Qassam dan Rabi'ah. Mereka yakin, tanpa meraih cinta Allah SWT, apalah ertinya cinta mereka berdua kerana cinta yang hakiki itu datangnya dari mencintai dengan sepenuh hati, hanya kepada Allah SWT dan RasulNya.


"Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu."


(As-Syams: ayat 9)

Qassam telah banyak menjinakkan nafsu dengan memperhebat hafalan Al-Qurannya, zikir, dan solat malam. Ternyata, dia benar-benar menemui kebahagiaan abadi bersama Allah SWT. Kebahagiaan yang tidak pernah dirasakan sebelum ini, membuatkan hati kecilnya menangis memberontak atas penyesalannya kerana tidak memanfaatkan bulan-bulan sebelum ini sepertimana berada di bulan Ramadhan ini. Dia benar-benar menyesal kerana kebahagiaan sementara yang dirasai sebelum ini, ketika melayari cinta bersama Rabi'ah sepertinya tidak ada isi, kosong dan lompong! Dia tahu iblis dan konco-konconya telah dibelenggu, maka di kesempatan inilah, dia memanfaatkan sebaiknya untuk melatih diri menjadi lebih kuat dan lebih tenang untuk beribadat.

" Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah tersalah menyalurkan rasa cintaku sebelum ini. Aku telah melebihkan rasa cintaku kepada makhlukMu, berbanding rasa cintaku kepadaMu. Aku memohon keampunanMu Ya Allah akan segala dosa-dosaku selama ini. Aku menyesali akan keterlanjuranku dengan Rabi'ah sebelum ini. Aku telah mengusik hatinya dengan kata-kata cintaku padanya. Tidak sewajarnya aku melakukan yang demikian, maka ampunilah aku. Lancarkanlah majlis akad nikah kami nanti Ya Allah. Perkenanlah permintaanku ini Ya Allah. Aaamin Ya Rabbal Aalamin ".

Airmata Qassam tidak terbendung lagi, ditikar sejadah itu lah ia menitik satu persatu. Tikar sejadah itu kini menjadi penyaksian akan tingginya kecintaan dia kepada Allah SWT saat itu. Diwaktu dinihari itu, dia merasakan amat dekat dengan Allah SWT, ketika insan lain sedang enak dibuai mimpi-mimpi indah sehingga ada yang terlanjur waktu sahur dan terkandas Subuh.

Rabi'ah turut bangun malam pada waktu yang hampir sama dengan bangunnnya Qassam. Solat malamnya sentiasa diiringi dengan solat sunat istikharah. Sejak hari pertama mengenali Qassam dan bertunang dengannya, Rabi'ah istiqamah menunaikan solat istikharah. Tidak ada hari yang dia tinggalkan melainkan keuzuran wanitanya hadir. Rabi'ah tidak pernah berhenti mengucapkan rasa syukurnya kepada Allah SWT kerana doanya selama ini termakbul, doanya agar Allah SWT menyentuh lembut hati Qassam dan membuatkan dia menyedari akan kesalahannya. Dia sangat yakin nusrah Allah pasti akan hadir untuk menyelamatkan rasa cinta antara mereka, lebih-lebih lagi rasa cinta Qassam padanya. Cadangan Qassam untuk tidak menghubunginya dalam bulan Ramadhan ini benar-benar membuatkan jiwanya tenang. Keakraban hubungannya dengan Allah SWT benar-benar membuatkan dirinya menjadi seorang yang sabar.


"Wahai orang beriman, jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah s.w.t. bersama orang yang sabar."

(Al-Baqarah: ayat 153)


Qassam dan Rabi'ah benar-benar mahu hati dan jiwa mereka terdidik sempurna dan selepas Ramadhan ini , mereka ingin menjadi pasangan yang paling bahagia hasil asuhan 'cinta Ramadhan' ini.

"Ya Allah, aku memohon cintaMu dan cinta orang yang mencintaiMu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cintaMu. Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk (ketika panas terik)."


(Hadis Riwayat Tirmizi)

*****

" Atha', aku rasa makin tenang sekarang. Tak tahu nak gambarkan macam mana ketenangan aku sekarang.", kata Qassam penuh semangat dihujung telefon bimbitnya.

" Betul ke Qas? Alhamdulillah, aku tumpang gembira untuk kau. Inilah ketenangan yang kau cari selama ni kan? ", tanya Atha' ingin penjelasan. Sayup saja kedengaran pertanyaan Atha'. Jarak rumah Qassam dan Atha' tidaklah sejauh mana, namun masalah itu datangnya dari telefon bimbit Qassam yang sudah terlalu lama digunakan. Banyak aplikasi telefon bimbitnya sudah rosak dan tidak lagi berfungsi.

" Benar Atha', inilah ketenangan abadi yang aku inginkan selama ni. Sejujurnya, sebelum ni aku rasa tak tenteram je hidup aku. Buat itu, rasa lain. Buat ini, rasa lain. Haru biru jadinya hidup aku. Memanglah rasa bahagia bila dapat mesej orang yang aku sayang, tapi jauh sudut hati, memang tak tenang sebenarnya. Aku malu nak cakap kat Rabi'ah pasal apa yang aku rasa selama ni ", balas Qassam panjang lebar.

" Sekarang baru kau rasa kan? Baguslah. Alhamdulillah, inilah kurniaan Allah buatmu, Qas. Dulu, Allah datangkan perasaan cinta yang mendalam terhadap Rabi'ah sebab nak uji kau, samada kau akan lebihkan rasa cinta kepadaNya atau kepada Rabi'ah. Ternyata, pilihan kau adalah kerana nafsu ingin memiliki Rabi'ah. Kau terlalu melayani cinta kau lebih dariNya, walhal Allah lah yang menganugerahkan rasa cinta itu kepada kau. Kini, kau dah mula sedar. Aku sebagai sahabatmu turut berbangga dengan perubahanmu, Qas. Tahniah, kau dah berjaya hadapi ujian ini", bicara Atha' yang sememangnya mahu melihat sahabatnya itu tenang dan bahagia.

" Alhamdulillah, aku dah mulai sedar, Atha'. Terima kasih banyak-banyak kat kau sebagai kau setia untuk sokong aku. Terima kasih sebab sudi bantu aku tika aku memerlukan bantuan seorang sahabat. Aku bangga punya sahabat seperti kau", kata Qassam sambil tersenyum.

" Oh ya, insyaallah, minggu depan jangan lupa ya. Kau tak datang, memang silaplah", tambah Qassam diiringi gelak tawa berdekah-dekahnya.

" Insyaallah Qas, aku semestinya akan hadir ke majlis akad nikahmu. Kawan baik aku kan, wajiblah keatas aku untuk hadir. Aku nak tengok depan mata kebahagiaan kau dan Rabi'ah", balas Atha' , turut ketawa berdekah-dekah.

Keakraban Qassam dan Atha' sememangnya sudah seperti adik-beradik kandung yang sukar terpisah. 

*****
" Ummi, dua hari lagi Rabi'ah bakal jadi milikan Qassam. Ummi doakan kelancaran majlisnya ya. Jujur, Rabi'ah takut sangat. Sedih pun ada. Rabi'ah bakal berpisah dengan ummi. Hmm..", kata Rabi'ah sambil menelek-nelek baju pengantinnya yang bakal disarungkan dua hari lagi.

" Rabi'ah, usahlah kamu risau. Takde ape yang perlu kamu risaukan. Ummi yakin Rabi'ah akan lebih bahagia dengan Qassam lepas ni sebab Rabi'ah kan dah temui cinta hakiki. Ramadhan yang lepas jadi saksi untuk cinta kamu. Allah dah susun semuanya untuk kamu. Allah masih sayangkan kamu dan Qassam, sebab itu Allah tetapkan hati kalian untuk kekal bersama sehingga ke dua hari lagi", balas Puan Kalthum yang sedang duduk di birai katil sambil memerhatikan Rabi'ah.

" Betul ummi, Rabi'ah bersyukur sangat-sangat. Allah tetapkan hati kami. Allah dah ikat hati kami agar lebih kuat. Sebelum Ramadhan dulu, Rabi'ah rasa tak tenang sangat, rasa tak yakin sebab selalu sangat berhubungan. Bila masuk Ramadhan, Rabi'ah mintak sungguh-sungguh pada Allah supaya Allah kuatkan cinta kami. Ternyata Allah beri keyakinan yang tinggi kepada Rabi'ah selepas Rabi'ah rasa ketenangan dalam hati ketika akrab dengan Allah di malam hari, ummi", kata Rabi'ah sambil memandang umminya. Airmatanya mula mengalir perlahan.

" Rabi'ah, Allah itu tetap akan mengotakan janjiNya kepada hamba-hambaNya yang Dia kehendaki. Kamu dah minta sungguh-sungguh pada Allah, malah kamu buktikan pula dengan rasa cinta yang menggunung terhadapNya, mana Allah tak beri serta-merta. Bersyukurlah pada Allah kerana Allah sapa jiwa kita dengan lembut agar kita tak lupa pada pemberian dan nikmatNya. Inilah penangan 'cinta Ramadhan'. Kalian sudah semakin yakin dan kuat untuk meneruskan segala perancangan dan memenuhi tuntutan sunnah Nabi kita. Ummi akan selalu doakan kalian", balas Puan Kalthum sambil mendekati Rabi'ah yang sudah menangis perlahan.

" Terima kasih ummi atas doa ummi selama ni..", jawab Rabi'ah perlahan sambil mengusap matanya yang sudah merah kerana tangisan yang datang dari hati yang tersentuh itu. Sungguh, Rabi'ah seorang yang berjiwa lembut dan mudah sangat tersentuh.

"Dan Tuhanmu berfirman, 'Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu."


(Ghafir: ayat 60)

*****

10 Syawal 1434H

" Aku terima nikahnya dengan Rabi'ah al-Adawiyah binti Mahmud dengan maskahwin sebanyak tiga ratus ringgit tunai ".

"Tidak terlihat antara dua orang yang saling mencintai (sesuatu yang sangat menyenangkan) seperti pernikahan."


(Sunan Ibnu Majah)



Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri daripada jenis kalian sendiri, supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya. Dan Dia jadikan di antara kalian rasa kasih dan sayang.

(Ar-Ruum: ayat 21)


kebahagiaan dan ketenangan abadi itu terlahir dari jiwa-jiwa yang mendamba cinta Ilahi.
semakin kuat rasa cinta itu, semakin tenang kehidupan manusia, semakin bahagia mula terasa.


cerpen nukilan : Muhammad Ubaydullah bin Khairuddin (ibnkhayr).




:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

Sunday 14 July 2013

.: Syria dan Palestin adalah jasad yang satu :.

Hubungan Diplomatik Mesir-Syria.

Baru-baru ini, seluruh dunia gempar dengan tindakan dan keputusan Dr. Morsi, Presiden Mesir untuk memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Syria. Ada negara-negara yang memuji tindakan berani dan bijak beliau, ada juga yang menyanggah dan mengeji tindakan Dr. Morsi itu.

Antara ucapan Dr. Morsi,

“Kepada Hizbullah, mestilah ia keluar dari Syria. Ini kata-kata serius. Tiada peluang dan tempat bagi Hizbullah di Syria. Hari ini kita (Mesir) telah membuat keputusan. Untuk memutuskan sepenuhnya hubungan dengan Syria. Hari ini kita (Mesir) telah membuat keputusan. Untuk memutuskan sepenuhnya hubungan dengan kerajaan Syria yang ada sekarang. Ditutup Kedutaan Syria di Kaherah. Ditutup kedutaan kerajaan Syria sekarang yang ada di Kaherah. Dan akan menarik balik wakil Kedutaan Mesir di Damsyik.”

Ada yang mempersoalkan tindakan Dr. Morsi memutuskan hubungan diplomatik dengan Syria tetapi masih mengekalkan hubungan dengan Israel.


 Jawapannya adalah seperti berikut:

Hubungan diplomatik di antara Mesir dan Syria tidak sama dengan perjanjian damai  'Camp David Accord' di antara Mesir dan Israel.

Adalah hak mana-mana negara yang berdaulat untuk mengadakan mana-mana hubungan diplomatik dengan negara lain, dan berhak pula untuk memutuskan atau menamatkan hubungan tersebut. Tidak ada pihak ketiga yang boleh memaksa atau menghalang untuk sesebuah negara menjalin atau memutuskan hubungan diplomatik dengan negara lain.

Hubungan yang wujud di antara Mesir dan Israel bukan hubungan diplomatik biasa tetapi hubungan yang terhasil dari sebuah perjanjian antarabangsa 'Camp David Accord' yang telah ditandatangani oleh Mesir (Anwar Sadat) dan Israel (Menachem Begin) pada tahun 1978 yang di'broker' atau dimudah cara (lebih tepat diawasi/dipantau) oleh US. Ia adalah satu perjanjian yang mengikat dan meletakkan Mesir sebagai sebuah negara yang tidak akan menggugat keselamatan Israel. Ia adalah satu perjanjian yang dikuatkuasakan oleh US dan dipantau oleh EU. Ia adalah produk sejarah ketika Mesir berada di bawah telunjuk dan menjadi proxy US di timur tengah dengan pakej ekonomi yang hanya menguatkan cengkaman pemerintahan totalitarian (dictatorship) sejak dari zaman Anwar Sadat sehingga tumbangnya Hosni Mubarak di tangan rakyat Mesir. Seandainya Dr. Morsi tidak bijak dan melakukan tindakan yang sama, memutuskan hubungan dengan Israel ketika ini bermakna Mesir telah mengisytiharkan perang dengan Israel dan keadaan jauh lebih teruk daripada apa yang berlaku di Syria dan Palestin.

Rumusan terjemahan Artikel II dari Camp David Accord adalah seperti berikut:

" Sempadan Mesir dan Israel adalah sempadan antarabangsa yang kekal dan diiktiraf. Pengistiharan ini tidak menyentuh persoalan negeri Gaza. Kedua pihak (Mesir & Israel) akan menghormati kedaulatan wilayah satu sama lain.."

Perjanjian Camp David ini dilihat amat berat sebelah dan ini boleh dibuktikan pada peruntukan berikut:

" Israel diberi hak untuk menggunakan terusan Suez dan pintu masuk di Teluk Suez, Laut Mediterranean, Selat Tiran dan Teluk Aqaba.."

Ketika Presiden Morsi memenangi Pilihanraya Presiden, antara kenyataan awal beliau ialah berkaitan dengan perjanjian damai Mesir dan Israel. Beliau dengan tegas mengatakan bahawa meskipun Mesir mengakui Perjanjian Camp David namun ia tidak bermakna Mesir baru bersetuju dengan syarat perjanjian yang merugikan Mesir dan Palestin. Beliau berikrar untuk melihat Mesir bebas dari belenggu yang mengikat batang lehernya. Namun ia tidak boleh diselesaikan hanya dengan membatalkan perjanjian tersebut secara sehala. Semoga dengan kesempatan-kesempatan politik dan perubahan sosio-politik timur tengah satu hari nanti akan melihat perjanjian damai Camp David dibatalkan atau syarat-syaratnya dipinda sehingga Mesir mempunyai hak untuk menentukan hala tuju hubungan Mesir -Israel termasuklah kemungkinan besar memutuskan hubungan diplomatik dengan entiti zionis tersebut secara mutlak.

Tidak Peduli Syria, Khianat Palestin.

Setelah menerangkan secara panjang lebar mengenai persoalan hubungan diplomatik Mesir-Syria dan Mesir-Israel, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor, Pengerusi Aqsa Syarif kemudiannya menekuni slide beliau, satu persatu slide yang agak tak penting dilajukan sehinggalah tiba ke slide yang menunjukkan gambar beberapa orang kanak-kanak Syria yang mati dibunuh.  

"gambar-gambar ni semua antum dah biasa tengok kan, tak perlu tunjuk lah kan".

Kami tersenyum. Dr. Hafidzi menyambung," dah takde dah kes buang bayi dilaporkan dalam media sekarang, adakah sudah tidak ada kes buang bayi di negara ni? bila kita dah jadi 'mangli', that's a very big problem, very very big problem".

Dr. Hafidzi menyatakan bahawa masyarakat sekarang sudah tidak peduli mengenai isu-isu yang agak serius dan kritikal sehingga mereka menjadi lali dan menganggap ianya hanya perkara biasa-biasa saja.

Beliau terus membuka slide seterusnya yang menceritakan perihal latarbelakang isu Syria.

Jumlah kematian yang disahkan sehingga ke hari ini adalah sebanyak 93,000 kematian manakala 38,000 lagi kematian tidak dapat disahkan [ sumber  : UN HRC - The UN Refugee Agency] . Jika 38,000 kematian itu dapat disahkan, bermakna jumlah keseluruhan kematian rakyat Syria terkini adalah sebanyak hampir 131,000 kematian.

Pelarian diluar Syria pula sudah hampir mencecah satu juta termasuk mereka yang kehilangan tempat tinggal dan menjadi pelarian dalam Syria. Jumlah kediaman penduduk Syria yang musnah adalah sekitar 3.2 juta.

'Gabungan Selamatkan Syria' yang terdiri daripada 30 pertubuhan bukan kerajaan telah mengadakan sidang akhbar petang semalam dan menyatakan mengenai satu usaha terbaru untuk mengajak orang ramai agar memboikot kurma Iran sebagai salah satu langkah memberi tekanan kepada kerajaan Iran yang menyokong tindakan rejim Basyar Assad dengan menghantar beribu-ribu tentera ke Syria. Kempen boikot kurma Iran ini diadakan bersempena menjelangnya bulan Ramadhan yang akan disambut oleh seluruh umat Islam bermula 9 Julai ini.


Syria adalah salah satu ciptaan kuasa kolonial barat. Akibat kuasa kolonial barat, bumi suci yang dahulunya dikenali dengan nama bumi Syam dipisah-pisahkan sehingga menjadi beberapa zon atau negara seperti Palestin, Lubnan, Mesir , Syria dan lain-lain. Jika kita ingin berbicara mengenai isu Syria, rujuklah terma yang benar dan tepat iaitu terma daripada Al-Quran dan Hadis Nabi SAW yang menyatakan bahawa seluruh negara-negara yang terpisah itu asalnya adalah satu negara yang digelar 'Syam' didalam Al-Quran dan Hadis. Jika kita melihat dari sudut ini, kita tidak akan nampak sebarang perbezaan diantara isu Palestin dan isu Syria kerana kedua-duanya adalah 'Biladus-Syam'.
Jika kita merujuk kepada terma kolonial barat, kita cenderung mengatakan isu Palestin dan isu Syria bukanlah isu yang sama walhal nyata didalam Al-Quran bahawa kedua-dua negara ini adalah bumi Syam yang satu.

" Maka, bagi sesiapa yang tidak ambil peduli mengenai isu Syria bermakna dia telah menghina dan mengkhianati Palestin, mana mungkin kita boleh memisahkan kedua-duanya", tegas Dr. Hafidzi.

Demografi Syria.

9 % Nusayriah (Syiah Alawiy), 10% Kristian , 3% Druze, 78% Muslim (Sunni).

Siapa Nusairiyah?

Nusairiyah merupakan agama baru yang lahir 200 tahun selepas wafatnya Rasulullah SAW – pengasasnya bernama Ahmad Nusairiy. Agama ini menggabungkan ajaran Islam, Kristian dan Pagan. Persamaannya dengan Syiah ialah turut mengkuduskan Ali r.a.  Ibnu Taimiyyah r.h. menganggap Nusairiyah lebih kafir dari Nasara dan Majusi manakala Ibnu Katsir merujuk mereka sebagai  ‘pagan' sahaja.

Tragedi Hama.


Pada bulan Februari 1982, Hafez Assad, bapa kepada Basyar Assad telah bertindak membunuh 45,000 penduduk Syria di Hama dalam tempoh sebulan. Pembunuhan ini adalah  untuk menghapuskan pengaruh Gerakan Ikhwan Muslimin.  5 bulan sebelum Tragedi Hama, satu peristiwa pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di  Shabra dan Shatila telah berlaku pada bulan September 1981 melibatkan lebih 4000 pelarian Palestin dibunuh oleh Kristian Phalangist atas arahan Israel – Ariel Sharon. Peristiwa ini diketahui dunia, namun Tragedi Hama yang jauh lebih dahsyat dan melibatkan lebih banyak kematian langsung tidak diketahui dunia ketika itu. Ini menunjukkan bahawa kawalan Syria keatas medianya ketika itu amat ketat. Namun dengan teknologi yang wujud pada hari ini, segala berita mengenai kekejaman dan kezaliman rejim Basyar Assad tidak dapat disembunyikan lagi.

Kebangkitan Arab (Arab Spring) Pemangkin Kepada Kebangkitan Syria.

Kebangkitan Arab yang bermula di Tunisia, Mesir, Libya, Yemen telah memberi inspirasi kepada rakyat Syria untuk mengambil langkah serupa. Kebangkitan di Syria tercetus pada 15 Mac 2011 apabila sekumpulan kanak-kanak di Syria yang menulis perkataan " rakyat menuntut kerajaan turun" di dinding, telah ditangkap dan diseksa dengan kejam oleh tentera rejim. Apabila ibubapa kanak-kanak tersebut datang untuk menuntut anak-anak mereka agar dibebaskan, askar-askar rejim dengan biadap mengatakan," serahkan ibu-ibunya untuk kami rogol dan itulah anak-anak kamu sebagai ganti". Akibat daripada tindakan tersebut, tercetuslah kebangkitan rakyat Syria yang inginkan kebebasan namun rejim membalas dengan peluru.

Kezaliman yang berlaku di Syria jauh berbeza berbanding kezaliman yang berlaku di negara-negara bergolak yang lain. Kekejaman membunuh seperti mencampakkan  wanita-wanita dari bumbung bangunan seorang demi seorang adalah satu bentuk kekejaman yang langsung tak terlintas dek akal. Perbuatan-perbuatan lain seperti menembak masjid, menyepahkan Al-Quran dan memperlekehkan solat golongan Sunni antara kezaliman lain yang telah dilakukan oleh askar rejim . Mereka membunuh atas dasar kebencian dan hasad, bukan sekadar mempertahankan  rejim Basyar. Peperangan yang berlaku bukanlah peperangan untuk merebut wilayah tetapi peperangan diantara kaum dengan kaum, agama dengan agama.


Kebangkitan di Syria bukan sekadar menentang kezaliman pemerintah, tetapi ingin menumpaskan kebatilan dengan Al-Haq. Kezaliman yg dilakukan oleh rejim Basyar Assad sudah keterlaluan dan amat menghina Islam. Mereka juga memaksa rakyat Syria mengucap ‘Lailahailla Basyar…’ . Perkara ini ada kaitan dengan agama Basyar Assad dan keluarganya yang menganggap manusia dan Tuhan itu bergabung. Agama Nusairy adalah dianggap terkeluar dari Islam. Mereka juga bekerjasama dengan golongan Syiah yang lain (kerajaan Iran dan HizbusSyaitan Lubnan) bahkan ada laporan mengatakan bahawa HizbusSyaitan ini membunuh pelarian Syria dan  menghalau mereka keluar ketika mencari perlindungan di sempadan Lubnan.

Maruah Wanita Dinodai, Dimana Ar-Rijal Yang Dinanti?

Dr. Hafidzi menunjukkan dua gambar dari sedutan video seorang wanita Syria yang telah diheret oleh askar rejim dan merogol wanita tersebut di tengah-tengah jalan secara bergilir-gilir. Beliau tidak menayangkan video sebenar kerana amat 'mengganggu' dan tidak sanggup dilihat.

Buya Hamka pernah berkata ," umat yang membiarkan wanitanya diganggu, adalah umat yang sudah tidak ada kelelakian padanya. Kapankan batang tubuhnya, takbirkan 4 kali, usungkan ke kuburan dan kebumikan kerana umat ini tidak patut wujud didunia ini".

Dr. Hafidzi kemudiannya menceritakan kisah mengenai seorang wanita yang telah diganggu di zaman Khalifah Al-Mu'tasim Billah suatu ketika dahulu di tempat yang sama, bumi Syria.

Sebuah peristiwa yang berlaku di Damsyik, salah satu wilayah Khilafah Abbasiyah.  Khalifah ketika itu ialah Muhammad bin Harun Al-Rashid, atau gelarannya Al-Mu’tasim Billah. Seorang wanita Muslim telah diganggu dan dimalukan oleh tentera Rom yang telah mengikat hujung pakaian wanita tersebut ke kerusi semasa beliau sedang membeli belah. Apabila beliau bangun, sebahagian daripada kemaluannya telah terdedah. 

Wanita tersebut pun menjerit, "Wa Mu'atasima! Wa Mu'atasima!", dan seruannya itu telah sampai kepada pengetahuan Khalifah Mu'tasim Billah melalui seseorang yang menyampaikan berita itu kepada baginda. Walaupun jarak Damsyik dan Baghdad sangat jauh namun atas dasar keyakinan wanita itu bahawa Khalifah Mu'tasim mempunyai sifat 'Ar-Rijal' (kelelakian) dalam dirinya, sebab itulah nama khalifah itu disebut ketika diganggu . Kemudian,  Khalifah telah mengutus surat kepada ketua gereja dengan berkata:  

"Kepada anjing-anjing Rom, kalau kamu tidak menghentikan perbuatan biadap itu , saya akan datang kepada kamu dengan tentera-tentera kami di mana barisan hadapannya berada di pintu-pintu kami (Damsyik) dan barisan belakangnya berada di sini (Baghdad)." 

Surat itu menyatakan betapa besarnya bala tentera yang bakal dihantar oleh Khalifah Mu'tasim jika tentera Rom masih meneruskan perbuatan biadap mereka terhadap wanita Muslim di Damsyik.
  
Apabila amaran tegas itu tidak diendahkan, maka Khalifah Mu'tasim Billah telah mengambil keputusan untuk mengerahkan seluruh bala tentera Islam untuk menyerang tentera-tentera Rom dan hampir 300 ribu daripada mereka telah mati dan wilayah itu sendiri telah ditawan. Inilah bukti kekuatan sebenar 'Ar-Rijal' dalam mempertahankan maruah wanita Islam. Umat Islam hari ini, sekalipun ramai wanita Islam bukan setakat diganggu, tetapi diperkosa, namun tidak ada seorang pun pemimpin dunia Islam yang bertegas seperti Khalifah Mu'tasim di zamannya.

Hadis Ghuthah.

Rasulullah SAW bersabda :

“ Pusat kepimpinan kaum Muslimin pada hari peperangan yang paling besar adalah di sebuah negeri yg bernama Ghuthah, yang mana di negeri itu terdapat sebuah kota yg bernama Damsyik (Damaskus), ia merupakan tempat tinggal yang terbaik bagi kaum Muslimin pada waktu itu”.
(Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud disahkan oleh Al-Abani dalam soheh Al-Jami’)

Peringatan : Dilarang menggunakan hadis ini untuk merujuk kepada apa yang berlaku di Syria sekarang, hatta kisah peperangan di zaman Khalifah Salahuddin Al-Ayyubi juga boleh dikaitkan dengan hadis ini. Cukup disematkan dalam hati bahawa bumi Syam itu adalah bumi mulia, bumi yang diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.

Ulama' Sepakat, Rejim Zalim Wajib Ditumbangkan.

Ulama Azhar telah memutuskan bahawa Basyar Assad sudah melampaui batas dan beliau wajib dibunuh sebelum lebih ramai rakyat Syria menjadi mangsa kekejaman beliau. Dr Muhammad Badi’ dengan tegas mengatakan Basyar Assad akan dihukum oleh rakyatnya. Dr Yusuf Qardhawi berjanji rakyat Syria akan diberi kemenangan dan beliau akan bersembahyang Jumaat dan berkhutbah di Damsyik.

Gabungan Selamatkan Syria mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kekejaman dan tidak berperikemanusiaan ke atas rakyat Syria oleh rejim Basyar Assad. Kekejaman mereka lebih terserlah apabila mereka mencuri harta-harta rakyat, membunuh para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan wanita, menghalang perempuan beriman daripada memakai hijab serta menindas orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak.


Muktamar Syria anjuran Al-Ittihad Al-Alami Lil Ulama Al-Muslimin (The International Association of Muslim Scholars) yang dipengerusikan oleh Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi dan Rabitah Ulama Suriyiin (Syria) dari 1 - 3 Julai 2012 di Istanbul, Turki  telah berjaya mengumpulkan seramai 450 ribu ulama'-ulama' Islam dari seluruh dunia. Mereka berkumpul diatas satu matlamat dan halatuju, untuk berbincang dan merumuskan pendirian mereka mengenai isu Syria.  "Hanya sanya yang takut kepada Allah ialah dari kalangan hambaNya yang berilmu (al-ulama')".

Tema pada logo muktamar, "Sesungguhnya kamu adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu , maka hendaklah engkau bertakwa".
Moto muktamar:  "Ummatan Wahidah" (Umat yang satu).

Sheikh Raed Salah yang merupakan individu yang bertanggungjawab menjaga keselamatan Masjidil Aqsa dan Pemimpin Gerakan Islam Palestin 1948 (merujuk kepada wilayah Israel yang terbentuk pada tahun 1948 merangkumi 78% bumi Palestin) turut dilihat hadir untuk menyertai Muktamar Syria tersebut.

Ketika ditanya," Mengapa Sheikh hadir ke sini sedangkan Sheikh amat diperlukan dan sentiasa diperlukan di Baitul Maqdis?".

Jawab Sheikh Raed Salah," hari ini Damsyik, esok Al-Quds".

Jawapan Sheikh Raed itu menunjukkan bahawa pembebasan Damsyik (Syria) itu adalah pra-syarat kepada bebasnya Baitul Maqdis.

Cuba telusuri Surah At-Tin. Tiga ayat pertama surah tersebut telah meletakkan batasan yang dipanggil sebagai 'Ardul Muqaddas' (Tanah Suci) dari sudut geografinya. Tanah Syam (utara) merupakan satu wilayah  suburnya buah tin dan buah zaitun. Ayat seterusnya menerangkan mengenai lembah Nil dan gunung Tursina serta jaziratul Arab disekelilingnya yang diwartakan oleh Allah SWT sebagai 'Ardul Muqaddas'.

Hasil resolusi Muktamar Syria yang juga menjadi ijtihad para ulama', ada lima fatwa telah digariskan yang dinamakan sebagai Fatwa Syria. Fatwa-fatwa ini menafikan sebarang andaian bahawa para ulama' menyokong sebarang kebatilan. Tidak mungkin para ulama' ini bersepakat diatas kebatilan kerana sumber yang mereka rujuk adalah Al-Quran, Hadis dan ijtihad mereka sendiri, sudah tentunya hasil resolusi adalah yang mantap dan demi kemaslahatan umat Islam sejagat, kerana para ulama' tidak gopoh dalam mengeluarkan sesuatu keputusan atau fatwa.

[ Fatwa Syria ]

1) WAJIB bagi umat Islam untuk bersama-sama dengan kebangkitan rakyat Syriakerana perjuangan mereka adalah di antara hak dan batil, di antara keadilan dan kezaliman. Perjuangan mereka juga adalah untuk melawan pemerintah yang membunuh dan menindas rakyat. Dan ini menunjukkan bahawa wajib bagi umat Islam untuk membantu dan menyatakan sokongan kepada umat Islam yang dizalimi.

Rumusan - Menegaskan bahawa perjuangan rakyat Syria adalah di antara hak dan batil, di antara keadilan dan kezaliman. Perjuangan mereka juga adalah untuk melawan pemerintah yang membunuh dan menindas rakyat maka wajib atas kita untuk membantu dan memberi sokongan.

2) WAJIB ke atas setiap pemimpin umat Islam agar menyatakan sokongan dan dokongan kepada kebangkitan rakyat Syria. Sokongan samada dari sudut bantuan kewangan, senjata dan pelbagai bantuan agar kebangkitan mereka mendapat kemenangan. Mereka juga perlu menyatakan sokongan dan memberi bantuan senjata kepada Tentera Pembebasan Syria yang telah berjihad dan berjuang melawan rejim Basyar yang zalim.

Rumusan - Fokus kepada golongan pemimpin dan ketua negara yang mempunyai autoriti yang lebih besar dalam membantu dan menyokong perjuangan rakyat Syria. Sokongan samada dari sudut bantuan kewangan, senjata dan pelbagai bantuan agar kebangkitan mereka mendapat kemenangan.

3) Merupakan kewajipan untuk menyokong golongan yang memperjuangkan kebenaran. Maka, tidak ketinggalan kepada para alim ulama' dan juga pemikir Islam agar menyatakan sokongan dan dokongan mereka terhadap kebangkitan rakyat Syria. Dan haram bagi mereka diam membisu melihat kezaliman demi kezaliman berlaku di Syria.

Rumusan - Fokus kepada golongan alim ulama' dan para pemikir Islam untuk menyokong perjuangan rakyat Syria dengan menyuarakan pandangan mereka dengan ilmu yang mereka miliki. Para ulama' dan pemikir Islam telah diwajibkan berbicara mengenai isu Syria samada menulis, memberi khutbah, memberi kuliah atau ceramah dan jatuh hukum haram jika golongan ulama' ini berdiam diri terhadap isu yang berlaku di Syria.

 4) HARAM bagi umat Islam menyatakan sokongan dan dokongan kepada rejim Basyar mahupun sekutunya dari sudut ketenteraan, harta benda, sokongan politik dan sebagainya.

Rumusan - Pengharaman secara mutlak terhadap sebarang sokongan kepada rejim Basyar.

5) HARAM membunuh di atas dasar hawa nafsu dan juga kepuakan. Haram hukumnya membunuh dan menumpahkan darah tanpa hak. Akan tetapi apabila berada di dalam medan jihad, maka ia merupakan kewajipan untuk mempertahankan maruah diri dan juga agama. Kami juga mengingatkan kepada Tentera Pembebasan Syria agar berjihad tujuannya adalah untuk mempertahankan maruah diri, agama dan juga negara bukan kerana lain.

Rumusan - Bukti berhati-hatinya para ulama' dalam menggariskan fatwa dan begitu telitinya para ulama dalam menjaga kesucian jihad. Pembunuhan atas dasar kebencian dan hawa nafsu ( kerana kezaliman dilakukan 'Syiah', bukan sebab 'kebatilan' yang dilakukan) bukanlah matlamat sebenar berjihad tetapi seandainya diri terancam, agama terancam dan negara terancam, maka wajiblah baginya membunuh dan berperang.

Isu-isu Berbangkit.

Persoalan mengenai sebuah video tentera Mujahidin Syria yang menggunakan senjata buatan US dan tulisan Yahudi. Mereka difitnah bersekongkol dengan Israel dan Amerika kerana bekalan senjata yang diberikan kepada mereka.

Adilkah penilaian ini? dengan hanya satu gambar, untuk membuat fitnah kepada seluruh perjuangan rakyat Syria.

Isu bekalan senjata ketika peperangan, tidak penting untuk mengetahui siapa pembekalnya kerana seseorang itu tidak memahami sepenuhnya 'the dynamic of war' kerana perkara itu lebih sukar difahami jika bukan ahlinya. Didalam keadaan negara, keluarga dan diri diancam, sesiapa yang menawarkan senjata, mereka akan ambil bekalan senjata tetapi tanpa syarat. Mengapa bekalan senjata dari US dipertikaikan, tetapi bekalan senjata rejim Basyar Assad yang terang-terang dari Rusia termasuk gas sarin didiamkan?.

Kena jelas apa yang kita perjuangkan. Isu Syria yang kita hadapi sekarang adalah untuk menentang kezaliman dan kebatilan, bukan kerana 'Syiah'. Syiah, kita hadapi dengan dakwah, penerangan dan menegaskan penipuan-penipuan dan agenda jahat Syiah, tetapi bukan dengan peperangan.

Jika ditanya, adakah ini konflik diantara Sunni dan Syiah?

Jawapannya : Kebetulan, yang memperjuangkan Al-Haq itu Sunni, dan kebetulan yang membuat kezaliman itu Syiah. Intipati sebenar perjuangan rakyat Syria adalah memperjuangkan Al-Haq menentang kebatilan.

Jangan membezakan isu Palestin dan isu Syria, kerana pusat kedua-duanya adalah Baitul Maqdis.
Biladus-Syam yang mulia dan diberkati.

Dr. Hafidzi mengakhiri kalamnya dengan soal jawab ringkas dan menyatakan mengenai hasrat Aqsa Syarif untuk meluaskan empayarnya untuk menubuhkan Ikram For Syria. Sama-sama kita doakan semoga rakyat Syria memperolehi kemenangan dalam menentang kekejaman dan kezaliman rejim Basyar Assad. aaminn.

" Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolonganMu, kami meminta ampun kepadaMu, kami memohon petunjuk dariMu, kami beriman kepadaMu, kami berserah kepadaMu dan kami memujiMu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuriMu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepadaMu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersolat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmatMu dan kami takut akan azabMu kerana azabMu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur.

Ya Allah, muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan. Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

__________________________________________________________________________

Kuliah Umum IKRAM Nilai : Isu Syria oleh Dr. Hafidzi Mohd Noor, Pengerusi Aqsa Syarif.

Olahan dan susunan ayat : Muhammad Ubaydullah bin Khairuddin (ibnkhayr).

maklumat lanjut mengenai Isu Syria dan Palestin, sila 'like' page-page ini :





:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~