Wednesday 30 April 2014

.: Puasa Rejab : Bid'ah atau Tuntutan? :.

TANGGAL 1 Mei 2014, maka bermulalah bulan ke - 7 dalam Islam iaitu bulan Rejab.  Tarikh yang sama padanannya dengan tarikh Masihi, namun berbeza dari segi penghayatan dan keutamaannya. Pada zaman dahulu, bulan Rejab dianggap mulia dan agung oleh bangsa Arab Jahiliyyah. Mereka menyambut bulan Rejab dengan pelbagai perayaan dan acara peribadatan seperti menyembelih unta pada tanggal 1 dan 10 Rejab, mengharamkan sebarang bentuk peperangan dan membuka pintu Kaabah sepanjang hari dengan tujuan untuk memberi peluang kepada pengunjung-pengunjung kaabah ketika itu untuk beribadat sepuas-puasnya. Namun, lahirnya 'bulan purnama' buat seluruh umat Islam, Nabi Muhammad SAW telah menghazafkan sepenuhnya segala bentuk amalan jahiliyyah sehingga tidak ada yang khusus pun untuk diamalkan di bulan Rejab.

Bulan Rejab merupakan salah satu dari bulan-bulan haram (bulan-bulan suci) yang diharamkan perang oleh Allah SWT selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah.

Allah SWT berfirman,

" Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah ialah dua belas bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam (bulan yang empat) itu…” (Surah At-Taubah: 36)

Bulan-bulan tersebut dinamakan bulan haram kerana :


 1. Diharamkan berperang di dalamnya, kecuali jika musuh mula menyerang terlebih dahulu.
 2. Larangan melakukan perkara-perkara yang diharamkan pada bulan-bulan tersebut lebih ditekankan berbanding bulan-bulan yang lain.


Larangan Allah SWT mengenai peperangan didalam bulan-bulan haram,

"(Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati, katakanlah "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah,dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidil Haram (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ,(semuanya itu) adalah lebih besar dosanya di sisi Allah SWT " 
(Surah Al-Baqarah : 217)

Terdapat banyak lagi ayat-ayat Allah SWT mengenai kemuliaan dan keutamaan 4 bulan-bulan haram didalam Al-Quran.

Peristiwa-peristiwa di bulan Rejab

Umum mengetahui, terdapat banyak peristiwa-peristiwa yang disandarkan dan terjadi di bulan Rejab. Antara kisah-kisah masyhur yang terjadi di bulan Rejab adalah berlakunya hijrah pertama dalam Islam (hijrah ke Habsyah), peristiwa Israk Mikraj, peperangan Tabuk (peperangan terakhir Rasulullah SAW), pembebasan kedua Baitul Maqdis oleh panglima legenda penyembelih tentera Salib, Sultan Salahuddin Al-Ayyubi (pembebasan pertama di zaman Khalifah Umar Al-Khattab), dan lahirnya Imam 4, Imam Shafie. Peristiwa-peristiwa ini menjadi simbolik kebesaran Islam yang berlaku dalam bulan Rejab. Umat Islam seharusnya mengambil ibrah melalui peristiwa-peristiwa tersebut terutamanya peristiwa besar yang terjadi kepada Nabi kita, iaitu Israk Mikraj.

Tidak perlu diceritakan secara terperinci mengenai peristiwa-peristiwa ini kerana ia sudah biasa didengari ramai orang hatta kanak-kanak sekolah rendah pun mampu menceritakan semula apa yang berlaku secara mendalam.

Amalan Khusus di Bulan Rejab

Mengenai amalan-amalan khusus di dalam bulan Rejab, perlu ditekankan bahawa tiada satu pun hadis-hadis sahih dari Rasulullah SAW yang menyarankan untuk melakukan apa-apa amalan khusus di bulan Rejab seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab, umrah bersempena Rejab dan apa-apa amalan yang disandarkan dengan bulan Rejab. Terdapat banyak hadis-hadis lemah dan palsu diwar-warkan kepada masyarakat umum mengenai fadilat dan kelebihan bulan Rejab dan dan dikongsikan secara meluas melalui laman sosial Facebook, Twitter, Blog dan sebagainya. Perkara ini perlu dibendung lebih awal agar ia tidak menjadi viral kepada seluruh umat Islam. Umat Islam masih berpegang kuat dengan hadis-hadis Nabi SAW namun tindakan mengamalkan hadis-hadis tanpa menyemak latar belakang dan status hadis boleh membawa kepada kecelaruan amalan.

Nabi SAW pernah memberi amaran,

“ Sesiapa yang berdusta ke atasku (namaku) dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

Jika diteliti hadis-hadis (palsu) yang menyatakan ganjaran dan kelebihan bulan Rejab, betapa banyak maklumat yang bertentangan dengan fikiran manusia yang waras di mana ganjaran yang ditawarkan sangat berlebihan berbanding dengan amalan yang dibuat malah lebih besar dari amalan-amalan wajib dan keutamaan yang lain. Adapun perkara sedemikian adalah tidak munasabah dan tidak mudah diterima oleh akal yang sihat. Sesungguhnya Islam mengharamkan merujuk kepada hadis palsu dalam apa jua bentuk ibadat kerana ia hanya mencemarkan kesucian Islam.

Jumhur ulama berpendapat bahawa kebanyakan hadis-hadis mengenai kelebihan Rejab adalah hadis yang lemah dan tertolak. Umat Islam hendaklah meneliti semula apa-apa hadis yang menceritakan mengenai kelebihan bulan Rejab dan tidak menyandarkan hadis tersebut dengan Nabi SAW.

Adapun kebanyakan para ulama menceritakan mengenai galakan berpuasa di semua bulan-bulan haram sebagai pilihan terakhir ketika seseorang itu mahu memperbanyakkan puasa sunat. Para ulama terdahulu memperbanyakkan puasa sunat dibulan-bulan haram , tetapi tidak diniatkan atau dikhususkan untuk bulan Rejab atau mana-mana bulan di dalam bulan haram.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullaahu berkata di dalam Majmu’ Fataawaa (25/290):

“Adapun puasa di bulan Rejab dengan mengkhususkannya, hadis-hadis mengenai hal ini seluruhnya lemah, bahkan palsu. Para ulama tidaklah bersandar pada salah satu darinya. Dan hadis-hadis tersebut bukanlah hadis lemah yang diriwayatkan dalam keutamaan amal. Namun seluruhnya adalah hadis-hadis palsu lagi dusta. Dalam Musnad dan selainnya terdapat hadis dari Nabi SAW bahawasanya baginda menganjurkan untuk berpuasa di bulan-bulan haram, yakni bulan Rejab, Dzulqa’dah, Dzulhijjah, dan Muharram. Anjuran ini untuk puasa di seluruh bulan yang empat tersebut, dan bukan mengkhususkan bulan Rejab semata-mata.”

Ibnul Qayyim rahimahullahu dalam Al Manaarul Muniif  (hal, 96) berkata:

“Seluruh hadis tentang penyebutan puasa di bulan Rejab dan solat di sebahagian malam bulan tersebut, adalah hadis yang dusta dan dibuat-dibuat.”


Al Hafiz Ibnu Hajar rahimahullahu dalam Tabyiinul ‘Ujb (hal.11) berkata:

“Tidak terdapat riwayat mengenai keutamaan bulan Rejab. Tidak juga mengenai puasa di bulan tersebut, begitu juga puasa apapun di dalamnya secara khusus. Juga tidak ada hadis sahih yang dapat dijadikan sebagai hujjah mengenai solat malam yang dikhususkan di dalamnya.”


Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullahu berkata dalam Fiqhu As Sunan (1/383):

Puasa di bulan Rejab tidak ada padanya keutamaan tambahan melebihi bulan-bulan selainnya. Kecuali kerana ia adalah bulan haram. Dan tidaklah ada di dalam sunnah yang sahihah bahawasanya puasa tersebut memiliki keutamaan dengan mengkhususkan pada bulan tersebut. Sesungguhnya apa yang datang dalam perkara-perkara tersebut tidaklah dapat digunakan untuk berhujjah dengannya.”


Syaikhul Islam juga mengatakan:

Sesungguhnya mengagungkan bulan Rejab (dengan memperbanyak amal) termasuk perbuatan bid’ah yang selayaknya dihindari. Demikian pula menjadikan bulan Rejab sebagai waktu khusus untuk melaksanakan puasa, termasuk perbuatan makruh (dibenci), menurut Imam Ahmad dan beberapa ulama lainnya. 
(Iqtidha’ Shirathal Mustaqim, 2/624 – 625)

Banyak amalan sunat yang umum lain boleh kita lakukan untuk mengambil ibrah dan keberkatan bulan Rejab tanpa menyandarkan kepada mana-mana hadis Nabi SAW yang lemah dan palsu. Amalan-amalan sunat ini dilakukan sebagai satu bentuk persediaan awal sebelum menghadapi bulan Ramadhan yang mulia seperti qiamullail, puasa sunat Isnin dan Khamis, tadarus Al-Quran dan lain-lain. Memperbanyakkan puasa sunat ( tidak dikhususkan untuk bulan Rejab) adalah amat digalakkan agar kita tidak mengalami 'culture shock' apabila berada di bulan Ramadhan dimana tuntutan berpuasa adalah wajib didalamnya.

Kesimpulannya,
1.    Tidak dijumpai dalil dan hadis khusus yang menyebutkan keutamaan bulan Rejab.
2.    Tidak dijumpai dalil dan hadis yang menyebutkan keutamaan puasa Rejab atau solat sunat khusus di bulan Rejab.
3.    Dalil yang menyebutkan keutamaan khusus bagi orang yang melakukan puasa Rejab adalah hadis dhaif, dan tidak boleh dijadikan dalil.
4.    Bagi orang yang rajin berpuasa, digalakkan untuk memperbanyak puasa di bulan-bulan haram ( tidak dikhususkan salah satu darinya).

Rujukan :
Jabatan Agama Islam Selangor
Jabatan Mufti Melaka
Dewan Pembina Konsultasi Syariah
Yayasan Pendidikan Islam Al-Atsary
Himpunan Hadis Dha'if dan Maudhu', Jilid 1
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi



:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

.: Ingin Menjadi Penulis? :.


'Ingin Menjadi Penulis?', tajuk yang menarik minat ana untuk memiliki sebuah buku yang mampu menjadi 'guru' penulisan ana apatah lagi buku tersebut dikarang oleh persona yang menjadi rujukan penulisan ana, Ustaz A.Ubaidillah Alias. Sejujurnya, ana tidak pernah menghadiri mana-mana seminar atau bengkel penulisan secara rasmi, namun naluri seorang penulis itu telah lama ada dalam diri ana. Tapi biasalah, seorang penulis yang tidak konsisten boleh berubah macam 'Chipsmore', sekejap ada, sekejap tidak ada.

Kadang-kadang rasa seronok menulis itu hadir bila ana dirangsang oleh bahan pembacaan yang begitu ana minati judulnya. Usai membaca, ana akan mengumpul idea didalam kepala, menyusun isi, seterusnya melarikan jari-jemari diatas keyboard laptop. 

Kadang-kadang idea dan keinginan untuk menulis hadir bila adanya suasana yang merangsang 'mood' menulis. Tenang, sunyi, aman dan jauh dari hiruk-pikuk kota - tetapi tidak ada masalah menulis sambil mendengar lagu.

Alhamdulillah, Allah SWT mengizinkan ana dengan kemampuan menaip dengan laju, secara automatisnya ana dapat menjimatkan masa menulis ana dan terus menyimpan karya dalam hardisk komputer riba.

Ana terpanggil untuk berkongsi tips-tips penulisan yang digariskan oleh Ustaz Ubaidillah didalam buku beliau ini dan bagi sesiapa yang belum berpeluang untuk memiliki buku beliau, ana telah pun meringkaskan isi-isi penting untuk tatapan sahabat-sahabat.

1. Sifat TEKUN - aset utama seorang penulis.
a) Berusaha tanpa putus asa.
b) Berusaha membaiki kelemahan diri.

2. Jangan Berhenti!
a) Setiap halangan mendewasakan kita.
b) Beza antara penulis dan bukan penulis - kekerapan menulis.
c) Tolak tanggapan negatif - usah menilai tulisan sendiri terlalu awal.
d) Dapatkan kritikan - jangan simpan karya dalam koleksi peribadi.
e) Teruskan biar pun sedikit dan berjalanlah perlahan-lahan - jangan terus berhenti.

Daripada Aisyah r.anha, Nabi SAW bersabda, 

" Sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang terus- menerus meskipun sedikit " (Riwayat Al-Bukhari)

3. Himpun dan Cantum Pengalaman.
a) Membuat andaian/kebarangkalian sesuatu yang bakal terjadi.
b) Merancang untuk menghadapi apa yang bakal terjadi.
c) Pengalaman sebagai iktibar, analisa dan buat kesimpulan.
d) Kuat daya ingatan - menjalinkan maklumat dan melahirkan adunan yang sempurna.
e) Rajin membaca - menambah dan memperbanyak maklumat.

4. Kamar dan  Komputer - keperluan asas seorang penulis (wajib ada).
a) Kamar - untuk meningkatkan daya tumpuan, keselesaan dan ketenangan menulis.
b) Komputer - kemahiran menaip dengan laju, idea lancar keluar dari otak.

5. Bertutur Seperti Seorang Penulis
a) Bertutur menggunakan ayat lengkap - bahasa baku Malaysia.
b) Jangan guna loghat daerah - loghat daerah tidak membantu penulisan yang baik.
c) Fahami setiap perkataan yang dituturkan - agar maksud yang ingin disampaikan jelas.

6. Mengurus Waktu
a) Berlatih menaip laju - kelancaran idea keluar dari otak dan menjimatkan masa.
b) Menulis di waktu segar - daya tumpuan tinggi dan mampu berimaginasi.

7. Jangan Tunggu Ilham Dari Langit
a) Jangan bazir masa dengan termenung.
b) Menyusun isi/rangka dengan baik, memudahkan penulisan.
c) Jangan terburu-buru menulis.
d) Proses mencari idea berjalan setiap masa.

8. Mencari Bahan Penulisan
a) Membaca karya dan media cetak - membuat kesimpulan dan penulisan baharu.
b) Membuat carian disesawang maya - menilai maklumat dan kesahihannya.
c) Memandang dan mendengar pengalaman orang lain
d) Bahan sendiri - pandangan/idea/pendapat sendiri.

9. Segera Mencatat Bahan/Idea
a) Segera mencatat nota jika idea datang tiba-tiba - gunakan kemudahan smartphone.
b) Cantum dan olah - menjadi penulisan yang lengkap.
c) Simpan bahan di lokasi selamat - laptop/external hardisk/pendrive.

10. Memujuk Idea Kreatif Keluar Sewaktu Menulis
a) Lain orang lain cara :
- Elakkan kesibukan
- Elakkan kekusutan
- Solat dhuha dan solat fardhu - usaha jaga

11. Memilih Sasaran Pembaca
a) Menyukat penguasaan bahan dan maklumat
b) Menentukan khalayak pembaca dan penerimaan mereka.

12. Mulakan Dengan Yang Mudah Dahulu
a) Jangan terlalu ghairah menulis - mulakan dengan genre ringan.
b) Menyertai bengkel sebagai pengukuhan asas menulis.
c) Bermula dari bawah - mulakan dengan menulis esei/cerpen.

13. Mulakan Penulisan Saat Ini   
a) Penyusunan rangka/isi sebelum menulis.
b) Objektif penulisan - agar tidak lari dari tajuk dan isi.
c) Jangan terikat dengan tajuk/judul - mulakan menulis isi, kemudian bina tajuk.

14. Mula Menulis Draf Pertama
a) Gunakan ayat mudah - usah terlalu bombastik dan berbunga-bunga.

15. Kesilapan Penulis
a) Bahasa yang meleret-leret
b) Kesilapan menaip dan tanda baca
c) Perenggan yang tidak seimbang
d) Menyemak dan merumus kembali draf pertama

16. Memaparkan Karya Kepada Umum
a) Gunakan kemudahan IT - Facebook, Blog, Twitter dan sebagainya.

17. Menembusi Media Perdana
a) Format yang betul
b) Pemilihan tema yang sesuai :
 - Polisi penerbit
 - Musim penerbitan
c) Judul yang menarik
- Nilai komersial
- Ringkas dan menyeluruh
d) Menghantar 2 - 3 judul serentak kepada penerbit yang sama atau menghantar lain-lain judul kepada lain-lain penerbit.

18. Kelemahan Penulis
a) Tidak mempunyai perbendaharaan kata yang luas
b) Tiada persiapan sebelum menulis
c) Tidak menguasai perkara yang hendak ditulis
d) Tidak mahu berkorban masa, tenaga dan wang ringgit.
e) Tidak menulis rangka karangan
f) Malas membaca dan berfikir
g) Tidak menyemak karangan sebelum dihantar

19. Adab-adab Dalam Penulisan
a) Menghormati hak orang ramai untuk mengetahui kebenaran dari penulisan.
b) Membetulkan kesilapan dan memohon maaf andai tersilap dalam penulisan.
c) Menulis sesuatu yang diperlukan masyarakat
d) Bersifat terbuka dan merendah diri
e) Menghormati pandangan orang lain

20. Ciri-ciri Penulisan Islam
a) Ikhlas
b) Menulis perkara yang benar, tepat, jelas dan adil
c) Menyuruh kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran
d) Sensitif kepada isu semasa dan permasalahan umat Islam
e) Tidak menjadi alat kepada musuh-musuh Islam
f) Banyak memperingatkan pembaca terhadap kewajipan agama
g) Menyebut syurga dan neraka, pahala dan dosa secara terang dan jelas

21. Menulis Kewajipan Seorang Muslim
a) Kewajipan menyampaikan ilmu
b) Kewajipan berdakwah dan mendidik masyarakat
c) Kewajipan berjihad menentang musuh Islam dan mempertahankan Islam
d) Membina tamadun pemikiran bangsa
e) Meraih pahala jariah.

Alhamdulillah, itu sahaja antara isi-isi yang ana dapat rumuskan dari pembacaan buku 'Ingin Menjadi Penulis?' karya Ustaz Ubaidillah. Selesai membaca buku beliau, terasa kekuatan dan semangat dalam diri untuk menyambung semula bakat penulisan yang sudah lama terpendam. Buat masa ini, ana sendiri belum sedia dan tidak berhasrat untuk membawa penulisan ana menembusi media perdana. Sekadar percubaan dan bacaan insan-insan terdekat saja.

Bagi yang tidak puas dengan isi-isi yang telah ana ringkaskan diatas, bolehlah dapatkan buku 'Ingin Menjadi Penulis?' di Pesta Buku Antarabangsa, KL (PBAKL), booth Telaga Biru. Ana yakin, penjelasan Ustaz Ubaidillah sangat mudah difahami oleh semua.

Doakan ana agar dapat terus menyampaikan ilmu dan berdakwah melalui medium penulisan ini.

Salam Ukhwah.

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~