TANGGAL
1
Mei 2014, maka bermulalah bulan ke - 7 dalam Islam iaitu bulan Rejab. Tarikh yang sama padanannya dengan tarikh Masihi,
namun berbeza dari segi penghayatan dan keutamaannya. Pada zaman dahulu, bulan
Rejab dianggap mulia dan agung oleh bangsa Arab Jahiliyyah. Mereka menyambut
bulan Rejab dengan pelbagai perayaan dan acara peribadatan seperti menyembelih
unta pada tanggal 1 dan 10 Rejab, mengharamkan sebarang bentuk peperangan dan
membuka pintu Kaabah sepanjang hari dengan tujuan untuk memberi peluang kepada
pengunjung-pengunjung kaabah ketika itu untuk beribadat sepuas-puasnya. Namun,
lahirnya 'bulan purnama' buat seluruh umat Islam, Nabi Muhammad SAW telah
menghazafkan sepenuhnya segala bentuk amalan jahiliyyah sehingga tidak ada yang
khusus pun untuk diamalkan di bulan Rejab.
Bulan Rejab merupakan salah satu dari bulan-bulan
haram (bulan-bulan suci) yang diharamkan perang oleh Allah SWT selain bulan
Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah.
Allah SWT berfirman,
" Sesungguhnya
jumlah bulan menurut Allah ialah dua belas bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan
Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya ada empat bulan
haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi
dirimu dalam (bulan yang empat) itu…” (Surah At-Taubah: 36)
Bulan-bulan tersebut dinamakan bulan haram kerana :
1. Diharamkan berperang di dalamnya,
kecuali jika musuh mula menyerang terlebih dahulu.
2. Larangan melakukan perkara-perkara
yang diharamkan pada bulan-bulan tersebut lebih ditekankan berbanding
bulan-bulan yang lain.
Larangan Allah SWT mengenai peperangan didalam
bulan-bulan haram,
"(Mereka
bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang
dihormati, katakanlah "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar,
tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah,dan perbuatan
kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidil
Haram (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ,(semuanya itu) adalah
lebih besar dosanya di sisi Allah SWT "
(Surah Al-Baqarah : 217)
Terdapat banyak lagi ayat-ayat
Allah SWT mengenai kemuliaan dan keutamaan 4 bulan-bulan haram didalam
Al-Quran.
Peristiwa-peristiwa
di bulan Rejab
Umum mengetahui, terdapat banyak peristiwa-peristiwa
yang disandarkan dan terjadi di bulan Rejab. Antara kisah-kisah masyhur yang
terjadi di bulan Rejab adalah berlakunya hijrah pertama dalam Islam (hijrah ke
Habsyah), peristiwa Israk Mikraj, peperangan Tabuk (peperangan terakhir
Rasulullah SAW), pembebasan kedua Baitul Maqdis oleh panglima legenda
penyembelih tentera Salib, Sultan Salahuddin Al-Ayyubi (pembebasan pertama di
zaman Khalifah Umar Al-Khattab), dan lahirnya Imam 4, Imam Shafie. Peristiwa-peristiwa
ini menjadi simbolik kebesaran Islam yang berlaku dalam bulan Rejab. Umat Islam
seharusnya mengambil ibrah melalui peristiwa-peristiwa tersebut terutamanya
peristiwa besar yang terjadi kepada Nabi kita, iaitu Israk Mikraj.
Tidak perlu diceritakan secara terperinci mengenai peristiwa-peristiwa
ini kerana ia sudah biasa didengari ramai orang hatta kanak-kanak sekolah
rendah pun mampu menceritakan semula apa yang berlaku secara mendalam.
Amalan
Khusus di Bulan Rejab
Mengenai amalan-amalan khusus di dalam bulan Rejab,
perlu ditekankan bahawa tiada satu pun hadis-hadis sahih dari Rasulullah SAW
yang menyarankan untuk melakukan apa-apa amalan khusus di bulan Rejab seperti
solat sunat Rejab, puasa Rejab, umrah bersempena Rejab dan apa-apa amalan yang disandarkan
dengan bulan Rejab. Terdapat banyak hadis-hadis lemah dan palsu diwar-warkan
kepada masyarakat umum mengenai fadilat dan kelebihan bulan Rejab dan dan
dikongsikan secara meluas melalui laman sosial Facebook, Twitter, Blog dan sebagainya. Perkara ini perlu dibendung
lebih awal agar ia tidak menjadi viral
kepada seluruh umat Islam. Umat Islam masih berpegang kuat dengan hadis-hadis
Nabi SAW namun tindakan mengamalkan hadis-hadis tanpa menyemak latar belakang
dan status hadis boleh membawa kepada kecelaruan amalan.
Nabi SAW pernah memberi amaran,
“ Sesiapa yang berdusta ke atasku (namaku) dengan
sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari,
Muslim, dan selain mereka).
Jika diteliti hadis-hadis (palsu) yang menyatakan
ganjaran dan kelebihan bulan Rejab, betapa banyak maklumat yang bertentangan
dengan fikiran manusia yang waras di mana ganjaran yang ditawarkan sangat
berlebihan berbanding dengan amalan yang dibuat malah lebih besar dari
amalan-amalan wajib dan keutamaan yang lain. Adapun perkara sedemikian adalah
tidak munasabah dan tidak mudah diterima oleh akal yang sihat. Sesungguhnya
Islam mengharamkan merujuk kepada hadis palsu dalam apa jua bentuk ibadat
kerana ia hanya mencemarkan kesucian Islam.
Jumhur ulama berpendapat bahawa kebanyakan
hadis-hadis mengenai kelebihan Rejab adalah hadis yang lemah dan tertolak. Umat
Islam hendaklah meneliti semula apa-apa hadis yang menceritakan mengenai
kelebihan bulan Rejab dan tidak menyandarkan hadis tersebut dengan Nabi SAW.
Adapun kebanyakan para ulama menceritakan mengenai
galakan berpuasa di semua bulan-bulan haram sebagai pilihan terakhir ketika
seseorang itu mahu memperbanyakkan puasa sunat. Para ulama terdahulu
memperbanyakkan puasa sunat dibulan-bulan haram , tetapi tidak diniatkan atau dikhususkan
untuk bulan Rejab atau mana-mana bulan di dalam bulan haram.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullaahu
berkata di dalam Majmu’ Fataawaa (25/290):
“Adapun puasa di bulan Rejab dengan
mengkhususkannya, hadis-hadis mengenai hal ini seluruhnya lemah, bahkan palsu.
Para ulama tidaklah bersandar pada salah satu darinya. Dan hadis-hadis tersebut
bukanlah hadis lemah yang diriwayatkan dalam keutamaan amal. Namun seluruhnya
adalah hadis-hadis palsu lagi dusta. Dalam Musnad dan selainnya
terdapat hadis dari Nabi SAW bahawasanya baginda menganjurkan untuk berpuasa di bulan-bulan
haram, yakni bulan Rejab, Dzulqa’dah, Dzulhijjah, dan Muharram. Anjuran ini
untuk puasa di seluruh bulan yang empat tersebut, dan bukan mengkhususkan bulan
Rejab semata-mata.”
Ibnul
Qayyim rahimahullahu dalam Al
Manaarul Muniif (hal, 96) berkata:
“Seluruh hadis tentang penyebutan puasa di bulan Rejab dan solat di sebahagian
malam bulan tersebut, adalah hadis yang dusta dan dibuat-dibuat.”
Al Hafiz Ibnu Hajar rahimahullahu
dalam Tabyiinul ‘Ujb (hal.11) berkata:
“Tidak terdapat riwayat mengenai keutamaan bulan Rejab. Tidak juga mengenai
puasa di bulan tersebut, begitu juga puasa apapun di dalamnya secara khusus.
Juga tidak ada hadis sahih yang dapat dijadikan sebagai hujjah mengenai solat
malam yang dikhususkan di dalamnya.”
Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullahu
berkata dalam Fiqhu As Sunan (1/383):
Puasa di bulan Rejab tidak ada padanya keutamaan tambahan melebihi bulan-bulan
selainnya. Kecuali kerana ia adalah bulan haram. Dan tidaklah ada di dalam
sunnah yang sahihah bahawasanya puasa tersebut memiliki keutamaan dengan
mengkhususkan pada bulan tersebut. Sesungguhnya apa yang datang dalam
perkara-perkara tersebut tidaklah dapat digunakan untuk berhujjah dengannya.”
Syaikhul Islam juga mengatakan:
Sesungguhnya mengagungkan bulan Rejab (dengan
memperbanyak amal) termasuk perbuatan bid’ah yang selayaknya dihindari. Demikian
pula menjadikan bulan Rejab sebagai waktu khusus untuk melaksanakan puasa,
termasuk perbuatan makruh (dibenci), menurut Imam Ahmad dan beberapa ulama
lainnya.
(Iqtidha’ Shirathal Mustaqim, 2/624 – 625)
(Iqtidha’ Shirathal Mustaqim, 2/624 – 625)
Banyak amalan sunat yang umum lain boleh kita lakukan
untuk mengambil ibrah dan keberkatan bulan Rejab tanpa menyandarkan kepada
mana-mana hadis Nabi SAW yang lemah dan palsu. Amalan-amalan sunat ini
dilakukan sebagai satu bentuk persediaan awal sebelum menghadapi bulan Ramadhan
yang mulia seperti qiamullail, puasa sunat Isnin dan Khamis, tadarus Al-Quran
dan lain-lain. Memperbanyakkan puasa sunat ( tidak dikhususkan untuk bulan
Rejab) adalah amat digalakkan agar kita tidak mengalami 'culture shock' apabila berada di bulan Ramadhan dimana tuntutan
berpuasa adalah wajib didalamnya.
Kesimpulannya,
1. Tidak dijumpai
dalil dan hadis khusus yang menyebutkan keutamaan bulan Rejab.
2. Tidak dijumpai
dalil dan hadis yang menyebutkan keutamaan puasa Rejab atau solat sunat khusus di bulan Rejab.
3. Dalil yang
menyebutkan keutamaan khusus bagi orang yang melakukan puasa Rejab adalah hadis dhaif, dan tidak boleh dijadikan
dalil.
4. Bagi orang yang
rajin berpuasa, digalakkan untuk memperbanyak puasa di bulan-bulan haram ( tidak dikhususkan salah satu
darinya).
Rujukan :
Jabatan
Agama Islam Selangor
Jabatan
Mufti Melaka
Dewan
Pembina Konsultasi Syariah
Yayasan
Pendidikan Islam Al-Atsary
Himpunan
Hadis Dha'if dan Maudhu', Jilid 1
Dr.
Yusuf Al-Qaradhawi
:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~
No comments:
Post a Comment