LIGAT dan cekap pergerakannya dalam
memastikan perjalanan program itu berjalan lancar. Seboleh-bolehnya dia tidak
mahu satu kesilapan pun berlaku yang akan mencacatkan pemandangan. Terbayang
muka kepuasan para tetamu jemputan yang akan hadir nanti ke program
kelolaannya. Terbayang muka kepuasan para audiens yang bakal memenuhi ruang
tempat duduk didalam dewan itu nanti. Kepuasan itulah yang dirasai setiap kali
dia melunaskan 'hutang' programnya kepada semua pelajar.
Namun, ada lirik mata yang iri dari jauh. Kehebatan
dan keterampilannya dalam mengendalikan program atau majlis rupanya tidak
disenangi rakan seuniversiti apatah lagi apabila dia mula mendapat perhatian
pihak pengurusan tertinggi universiti. Namanya disebut-sebut oleh pihak atasan USIM sebaris nama dengan ahli Majlis Perwakilan Pelajar. Iri yang hadir
kerana tidak berupaya menandingi dan mengatasi apa yang telah dia kecapi
sepanjang tempoh pengajian di universiti.
Dimanakah silapnya? Adakah dia harus dipersalahkan kerana peluang yang
dia sendiri rebutkan sejak awal kemasukannya ke universiti?
Rata-rata pelajar di universiti tidak berusaha untuk
menggunakan masa pengajian mereka dengan perkara-perkara yang memberi manfaat
kepada diri mereka sendiri. Sejak awal kemasukan ke universiti di tahun
pertama, ramai antara mahasiswa yang kurang berminat untuk menyertai apa-apa program
atau persatuan pelajar yang sedia ada di universiti atas alasan bimbang tidak
dapat mengimbangi prestasi, antara akademik dan juga kokurikulum.
Jika dilihat kepada peratusan pelajar cemerlang di
universiti, kebanyakannya adalah pelajar yang mempunyai rekod cemerlang didalam
akademik dan kokurikulum. Pelajar yang
paling sibuk dan terlibat aktif didalam kegiatan kokurikulum sebenarnya adalah
pelajar yang mampu menguruskan masanya dengan baik. Dengan kesibukannya sebagai
seorang yang aktif berpersatuan, dia mampu untuk membahagikan masanya dengan
baik antara kokurikulum dan ulangkaji. Ini berbeza apabila dibandingkan dengan
pelajar yang langsung tidak mengambil inisiatif untuk memperbaiki kemampuan dan
potensi diri, natijahnya golongan ini akan terus berada di takuk lama dan masih
sama sepertimana ketika mula-mula mendaftar masuk ke universiti. Mungkin ada
sedikit perubahan, namun tidak ketara sepertimana pelajar-pelajar yang dikenali
rajin dengan berpersatuan.
Kita ambil contoh dua orang pelajar cemerlang yang
menerima Anugerah Pelajaran Diraja di majlis graduasi USIM tahun 2013. Pelajar
pertama, saudara Zaim Razak. Beliau merupakan pelajar cemerlang dari Fakulti Sains & Teknologi (FST) yang
menerima anugerah dekan hampir setiap semester. Selain mendapat gelaran pelajar
cemerlang, beliau pernah terlibat secara langsung didalam persatuan pelajar
fakulti dan mengendalikan pelbagai jenis program. Begitu juga dengan saudara Mohd Nizwan Musling yang merupakan penerima anugerah dekan setiap semester dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU). Beliau
juga antara pelajar yang bergiat aktif didalam kokurikulum tanpa sedikit pun
menjejaskan pengajiannya.
Ini antara bukti bahawa terlibat aktif didalam
kegiatan kokurikulum tidak menjejaskan akademik jika pandai membahagikan masa
dengan bijak dan memahami apa yang perlu diberi keutamaan yang lebih pada
satu-satu masa- priority comes first.
Kenapa
perlu aktifkan diri?
Saya kini berada di tahun akhir pengajian dan sedang
menjalani latihan industri disebuah syarikat industri minyak dan gas. Sepanjang
pengamatan saya di syarikat ini, sekalipun bos-bos besar tidak pernah bertanya
mengenai keputusan akhir peperiksaan saya. Namun, apa yang ditanya adalah
samada saya mampu melaksanakan tugasan yang diberi atau tidak. Satu kelebihan
kepada mereka yang pernah terlibat aktif dengan aktiviti di universiti. Sebesar
dan sebanyak mana pun tugasan diberikan, insyaallah tidak ada masalah untuk
menyelesaikannya malah kebergantungan kepada orang lain untuk menyelesaikan
sesuatu masalah adalah kurang kerana kita telah melatih diri untuk berfikiran
kreatif dan kritis semasa di universiti. Skil-skil kemahiran secara
automatisnya diaplikasikan dalam pelbagai cara yang akhirnya memberi natijah yang
baik kepada diri kita sendiri.
Kelebihan ini tidak akan diperolehi jika kita hanya
duduk berteleku didalam bilik dan membaca 'tips-tips mengaktifkan diri' atau
'tips-tips mudah mendapat kerja' tetapi
tidak ada usaha untuk mencapai apa yang dibaca itu. Keinginan tanpa sebarang
usaha adalah sia-sia dan tidak mencambahkan hasil yang memuaskan. Jadi, masih
belum terlambat untuk kita menongkah arus yang deras. Seseorang yang mempunyai
keinginan dan cita-cita yang tinggi untuk memperbaiki kemampuan diri akan nampak
lebih berjaya jika dia konsisten didalam apa yang dia lakukan berbanding mereka
yang sememangnya hebat namun tidak konsisten.
Menyertai mana-mana persatuan pelajar tidak merugikan
sesiapa bahkan membantu kita untuk membina keyakinan diri, membuang sifat malu
yang tidak bertempat, membuang rasa gugup berbicara dikhalayak, membentuk
budaya kerjasama didalam satu kumpulan, membina jati diri dan ketrampilan,
membina sifat seorang pemimpin dan banyak lagi kemahiran-kemahiran 'lembut' (soft skills) yang
lain. Semua ini amat membantu kita untuk menghadapi realiti kehidupan sebenar
seusai kita bergraduasi dan berkerjaya.
Usikan
menjadi cabaran
Saya merupakan seorang yang amat pemalu ketika di
sekolah rendah dan menengah dulu. Sifat pendiam dan tidak banyak bercakap telah
menyebabkan saya sering diusik guru-guru dan rakan-rakan sebaya. Nak berbicara
dengan budak perempuan pun jadi kaku, apatah lagi nak bergurau senda. Masuk
saja ke universiti, saya cenderung untuk menyertai persatuan pelajar dengan niat
untuk membuang 'kudis-kudis' lama yang tidak lagi berguna untuk kehidupan saya pada
masa akan datang. Sifat pendiam saya harus dibuang bagi membolehkan saya berani
berkata-kata dikhalayak dan menyampaikan kebenaran. Sifat pemalu tidak bertempat saya harus
dibuang bagi meyakinkan diri saya untuk senantiasa maju kehadapan dan menjadi
insan cemerlang. Semua sifat-sifat ini adalah baik jika kena pada tempat dan
situasi, namun dalam proses belajar, ianya tidak praktis sama sekali.
Alhamdulillah, dalam tempoh setahun selepas itu,
ketika berada dalam tahun dua pengajian, saya sudah mampu mempunyai anak-anak
buah sendiri yang saya latih untuk mengendalikan program di USIM. Sejujurnya,
saya memang jenis yang cepat belajar sesuatu yang baru dan cepat untuk
mengaplikasikannya serta mahu segera melihat hasilnya. Ini adalah diri saya
yang baru, sehinggalah ia berkekalan sampai saya ke tahun akhir.
Saya pernah bercerita mengenai diri saya kepada
ramai orang, namun kebanyakkan mereka tidak mempercayai cerita yang saya
sampaikan. Mereka merasakan bahawa saya hanya bergurau dan tidak serius.
Sehingga ke tahap itu perubahan diri telah mengubah saya yang asal. Jadi saya
sudah, tiba giliran anda untuk membuktikannya, malah membuat perubahan yang
lebih hebat dari saya.
Sejak di tahun dua, saya sudah mula bercerita
mengenai pengalaman saya sepanjang setahun terlibat secara aktif di universiti
kepada anak-anak buah saya. Bukan kerana nama atau ingin bermegah-megah, namun
saya tulus ikhlas untuk cuba memecahkan benteng pemisah yang menjadi penjarak antara
sebuah persepsi dan realiti. Ramai yang tidak berani mencuba sesuatu yang baru
dek kerana malas atau tidak berani mengambil risiko terutama dalam bab
pembahagian masa secara bijak.
Jujur saya katakan, saya tidak mempunyai jadual yang
spesifik untuk diri sendiri sejak tahun pertama di universiti. Setiap kali saya
membuat jadual, saya sukar untuk menepati jadual saya sendiri. Justeru, saya
mengambil keputusan untuk langsung tidak bergantung kepada sebarang jadual dan
menggunakan masa saya sendiri secara bijak (kadang-kadang).
Ketika berpersatuan, saya memang tidak mencampurkan urusan akademik saya bagi mengelakkan ianya bertembung dan menjejaskan prestasi kedua-duanya. Namun, adakalanya ketika kita terlalu asyik berpersatuan, akademik kita boleh tergadai.
Ketika berpersatuan, saya memang tidak mencampurkan urusan akademik saya bagi mengelakkan ianya bertembung dan menjejaskan prestasi kedua-duanya. Namun, adakalanya ketika kita terlalu asyik berpersatuan, akademik kita boleh tergadai.
Sebaiknya, usaha untuk mengimbangi kedua-duanya
secara bijak agar manfaat kedua-duanya dapat diperolehi tanpa salah satu
tercicir. Cuba bermula dengan satu persatuan dan fokus untuk aktif dengan satu
persatuan itu sahaja, berbanding anda menyertai banyak persatuan, dan akhirnya
anda sendiri tidak mampu membahagikan masa untuk kesemuanya. Natijahnya,
akademik pasti terjejas teruk dan sukar untuk dibaiki lagi (pengalaman diri sendiri).
Maka, rebutlah peluang yang terbuka luas di
universiti anda. Jika rakan-rakan anda mampu mengubah diri dari biasa-biasa
kepada luar biasa, sudah tentu anda juga mampu untuk menggapainya tanpa ada
halangan. Jika hari ini kawan anda sudah mampu berdiri di kaki sendiri, anda
juga mampu berdiri 'tanpa kaki' mengatasi rakan-rakan anda.
Siapa tahu?
Segalanya tidak mustahil jika anda pasakkan niat semata-mata untuk menggapai redha Allah SWT. Salam perjuangan.
Segalanya tidak mustahil jika anda pasakkan niat semata-mata untuk menggapai redha Allah SWT. Salam perjuangan.
:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~
No comments:
Post a Comment