Monday 18 August 2014

.: Tips Memilih Tempat Praktikal - Ubaydullah :.

Kebiasaannya, sesetengah IPTA/S akan menghantar para pelajarnya untuk menjalani latihan industri (praktikal) di akhir semester pengajian mereka. Namun, ada juga IPTA/S yang menghantar pelajarnya menjalani praktikal di pertengahan semester dan setelah selesai tempoh praktikal, mereka akan kembali semula ke IPTA/S berkenaan untuk meneruskan pengajian. Ada sisi pro dan kon nya jika dilaksanakan praktikal dipertengahan semester dan di akhir semester. Bagi ana, praktikal di akhir semester pengajian adalah lebih relevan kerana didalam tempoh ini, para pelajar sudah merasai keseronokan berbakti kepada masyarakat luar dan sepenuhnya dapat mengaplikasikan segala ilmu yang telah dipelajari sepanjang tempoh pengajian mereka.

Insyaallah, kali ini, ana akan berkongsi tips memilih tempat praktikal. Tips-tips yang ana kongsikan pada entri kali ini dan entri-entri sebelumnya bukanlah bermakna semuanya betul dan ana yang terbaik. Ana niatkan khusus untuk perkongsian berdasarkan pengalaman yang telah ana tempuhi sebelum ini. Pengalaman-pengalaman ini lah yang menjadi 'guru' ana untuk terus menapak ke hadapan dan membina potensi diri. 

***

Sebelum anda memulakan proses memilih tempat praktikal, pastikan anda sudah mengemaskini resume anda bagi memudahkan urusan permohonan yang akan berlaku dalam beberapa tahap bergantung kepada sistem yang telah IPTA/S anda laksanakan. [Tips buat Resume].

Jadi, ana akan teruskan dengan tips-tips memilih tempat praktikal :



1. Sistem Latihan Industri (e-LI)

Ada sesetengah IPTA/S menyediakan sistem Latihan Industri (e-LI) untuk kemudahan anda memohon tempat praktikal. Pihak yang menguruskan sistem e-LI ini akan menjadi medium pengantara antara anda dan industri. Anda hanya perlu memasukkan butiran diri dan resume kedalam sistem dan ikuti langkah seterusnya seperti yang diminta melalui sistem tersebut. Proses pemilihan tempat praktikal melalui sistem ini memudahkan anda mencari tempat praktikal yang bersesuaian dengan bidang anda.  Lazimnya, senarai tempat praktikal yang ada dalam sistem adalah yang telah berdaftar dengan IPTA/S tersebut - senang cerita, tempat-tempat tersebut pernah menjadi tempat praktikal senior-senior yang lepas. Jadi, kalau taknak pening-pening kepala nak buat surat cover letter bagai, mohon lah melalui sistem dan duduk diam-diam sambil goyang kaki (sarcasm).



Tapi, jujurnya, walaupun ia kelihatan mudah dan canggih (sebab ada IPTA/S yang tidak menyediakan sistem e-LI ini), tapi permohonan tempat praktikal melalui cara ini memakan masa berbanding jika anda membuat permohonan terus kepada tempat praktikal anda. Satu kelebihan memohon terus, anda akan dapat pendedahan secara langsung bagaimana nak memohon kerja pada masa akan datang, dan majikan akan terus mendapat surat permohonan anda tanpa ada halangan lain.

Ana praktikal dulu guna cara direct approach saja. Sistem lambat. Tapi bila dah dapat tempat praktikal secara manual ( dalam sistem tak didaftarkan), maka anda perlu mendaftarkan tempat praktikal tersebut kedalam sistem untuk kemudahan junior-junior akan datang.



2. Dekat dengan jurusan pengajian

Sebaik-baiknya, carilah tempat praktikal yang kena dengan kos pengajian anda. Ini dapat membantu anda mengaplikasikan sepenuhnya segala ilmu yang telah dihadamkan bertahun-tahun sebelum ini. Ada IPTA/S yang tak kisah jika anda berpraktikal terpesong dari kos pengajian, ada juga yang kisah. Jadi, langkah selamat, pastikan tempat praktikal anda benar-benar menyediakan praktikal yang sememangnya kena dengan kos anda. Kalau terpesong pun, sikit-sikit cukuplah. Sebab, praktikal ada penilaian akhir oleh pensyarah. Jangan sampai ditanya, ' apa kaitan antara apa yang kamu dapat kat sini dengan kos pengajian kamu? Macam mana kamu nak hubungkaitkan kedua-duanya? '. Kalau boleh jawab takpa. Kalau dah blur tu, masaklah jawabnya. Kalau dapat soalan macam ni, dah konfem lah anda terpesong. Kalau kerja, lain cerita.

Kalau dalam tempoh praktikal anda menunjukkan potensi kerja yang baik, tak mustahil majikan tempat praktikal anda akan berminat untuk terus menggaji anda dan bekerja di tempat tersebut. Jadi, usahalah cari tempat praktikal yang ada potensi untuk anda terus bekerja disana seusai tamat tempoh praktikal.

Hati-hati juga dalam memilih tempat praktikal. Ada syarikat yang ambil pelajar praktikal hanya untuk melakukan kerja-kerja pejabat seperti buat air, fotostat dokumen, taip dokumen, jadi posmen hantar dokumen dan sebagainya. Kalau ada tempat praktikal yang minta anda buat kerja-kerja sebegini (konfem bukan dalam skop tugas dan bidang), lebih baik anda berhenti dan cari tempat praktikal yang lain. Kalau sikit-sikit boleh la nak bantu, ini kalau sepanjang tempoh praktikal kena buat kerja macam tu, tak ke naya?




3. Dekat dengan rumah

Samada nak cari tempat praktikal yang dekat dengan rumah atau tidak, itu terpulang kepada anda. Namun kelebihan praktikal dekat dengan rumah adalah lebih banyak dari kekurangannya. Ana melihat jika praktikal dekat dengan rumah, dasar penjimatan yang bakal dilakukan adalah sangat tinggi. Anda dah jimat dari membayar rumah sewa, beli makanan luar setiap kali tiba waktu makan dan sebagainya. Kalau tempat praktikal tawar elaun tinggi takpelah. Kalau yang takde elaun langsung macam mana? Kan dah susah, lagi-lagi yang berpraktikal dikawasan pesat membangun seperti KL. Ana dah rasa praktikal di KL dan sesaknya bila takda duit nak makan.

Praktikal dirumah, hari-hari akan dijamu dengan masakan ibu tercinta. Masa ni lah nak berbakti lebih kat ibubapa setelah beberapa tahun menjauh demi menimba ilmu. Namun, terpulanglah kepada anda dalam membuat pemilihan.
  


5. Satu tempat dengan kawan baik

Takde masalah kalau nak satu tempat dengan kawan baik, tapi perlu diingat bahawa tempat praktikal tak semestinya akan ambil ramai-ramai satu masa. Jadi, bersedialah untuk 'berpisah' dengan kawan baik anda dalam tempoh ini. Lebih baik cari tempat praktikal untuk diri sendiri terlebih dahulu tanpa memikirkan kawan anda, dan jika dapat mana-mana, tanyakan bos di tempat praktikal samada nak pakai lebih dari seorang pelajar praktikal atau tidak. 

Jika bos nak pakai lebih, inilah peluang anda untuk berpraktikal sama-sama dengan kawan anda - tips ini untuk golongan wanita sahaja. 

Ada ke lelaki jenis macam ni? Kalau ada, boleh amalkan juga tips ini.



6. Tanya pandangan orang lain

Dalam tempoh yang diperuntukkan untuk mencari dan memohon tempat praktikal, ' banyak bertanya ' adalah kunci yang paling efektif bagi membuatkan anda benar-benar bersedia untuk melangkah ke alam pra-kerjaya. Banyakkan bertanya pandangan orang lain terutama para pensyarah dan senior-senior untuk mendapatkan pencerahan dan visual tentang kehidupan di alam pekerjaan didalam bidang yang anda ceburi. Berpraktikal tanpa memahami budaya dan suasana kerja takde masalah, cuma anda akan merasa sedikit kejutan budaya.

Lebih baik anda bersiap siaga terlebih dahulu sebelum berjuang di wadah yang lebih luas.


7. Manfaatkan 'Google Search' untuk mengkaji

Maklumat kini dihujung jari. Taip apa saja, maka berjuta-juta maklumat akan sampai kepada anda dalam tempoh beberapa saat. Kuasa teknologi haruslah dimanfaatkan sebaiknya demi kemaslahatan masa depan anda. Ana banyak guna Google untuk cari tempat praktikal dan maklumat tentang tempat praktikal yang bakal ana kerja nanti. Dari situ, anda akan lebih faham apa skop tugas syarikat tempat praktikal anda dan apa yang boleh anda sumbangkan demi pembangunan syarikat tersebut. 



Kajian demi kajian harus dilakukan sebelum anda membuat pemilihan keatas mana-mana tempat praktikal. Jangan bila dah masuk berpraktikal, hati mula tak berkenan, kemudian tukar tempat praktikal. 



8. Elaun sara diri

Kebanyakkan tempat praktikal akan menyediakan elaun sara diri untuk para pelajar praktikalnya, cuma bezanya banyak atau sedikit. Kalau praktikal di sektor kerajaan, anda akan menerima samada sebanyak RM15 sehari atau tiada langsung. Jumlah RM15 sehari ini adalah selaras dimana-mana sektor kerajaan dan telah diperakukan dalam pekeliling kerajaan dalam pengambilan pelajar latihan industri. Kalau sektor swasta, banyak lah sikit elaunnya, itu pun kena tengok company juga. Kalau company besar-besar, insyaallah elaun sara diri anda juga besar. 

Makanya, kalau ditakdirkan anda mendapat tempat praktikal jauh dari rumah dan tidak ditawarkan sebarang elaun, anda akan bergantung sepenuhnya dengan duit ibubapa anda. Berbanding jika anda tidak ditawarkan elaun dan berpraktikal dekat dengan rumah, dasar penjimatan yang bakal anda alami adalah tinggi dan tidak merugikan.


***

Tips-tips ini adalah sebahagian daripada pengalaman ana sendiri dan tidak semestinya perlu diikuti. Segala pilihan adalah di tangan anda, dan ana yakin anda mampu memilih yang terbaik untuk diri anda.


Selamat Memilih. Salam Perjuangan.


:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

Monday 11 August 2014

.: Kerjaya HSE : Antara Pilihan dan Halangan :.


Entri kali ini, ana akan berkongsi pandangan dari seorang pakar proses kimia (chemical process) dari India berkenaan kerjaya dalam bidang Health, Safety & Environment (HSE)
Bagi sahabat-sahabat yang berminat untuk menceburi bidang HSE ini dan tidak tahu apa kelayakan dan bagaimana nak mulakan, insyaallah saya akan kongsikan selepas anda membaca pandangan pakar proses kimia ini.

Pandangan pakar ini ana kutip dari laman web Cheresources.com - Your Chemical Engineering Community.

...............................................

" Sebelum saya mulakan perkongsian ini, saya ingin memaklumkan kepada semua pembaca blog saya bahawa saya hanya ada sikit saja ilmu yang berkaitan Health, Safety & Environment (HSE) tetapi saya bukanlah orang yang profesional dalam bidang ini.


Disalah satu syarikat tempat kerja saya yang lepas, ada dua jabatan kejuruteraan yang terpisah. Satu jabatan dinamakan Jabatan Kejuruteraan Proses (Process Engineering Department), ada 15 jurutera proses (process engineer) yang diketuai oleh saya. Satu lagi jabatan dinamakan Jabatan Kejuruteraan HSE (HSE Engineering Department) yang cuma ada 3 orang jurutera. Jabatan Kejuruteraan HSE di syarikat tempat kerja saya itu jenis 'stand-alone' bila buat kerja, tetapi terpaksa buat kerja yang banyak dalam satu-satu masa. Jadi, saya pun pinjamkan beberapa orang process engineer saya kepada Jabatan Kejuruteraan HSE. Ramai process engineer masa tu muda-muda dan kelihatan kurang berminat nak buat kerja-kerja kejuruteraan HSE. Mereka menganggap kerja dalam bidang HSE ini menjejaskan masa depan karier mereka.


Demi membaikpulih keadaan dan memperbetulkan persepsi, apa-apa keraguan berkenaan peranan dan kepentingan seorang HSE engineer, saya terpaksa memberi mereka ceramah panjang berkenaan kebaikan dan manfaat bekerja didalam bidang HSE ini, walaupun saya sendiri kurang mahir dalam bidang ini.

Entri blog saya hari ini akan menceritakan berkenaan peranan dan kepentingan seorang HSE engineer dalam industri proses kimia (chemical process industry).


Kita mulakan dengan kelayakan akademik yang diperlukan untuk menjadi seorang HSE engineer. Secara idealnya, ijazah dalam bidang kejuruteraan kimia (chemical engineering) merupakan jalan terbaik untuk memulakan karier sebagai HSE engineer. Jika ada Master, Diploma atau sijil kursus dalam kejuruteraan HSE dari universiti atau institut yang diiktiraf, ia menjadi satu kelebihan. Untuk jurutera kimia muda, ini adalah platform terbaik untuk anda belajar dalam bidang kejuruteraan HSE dan menjadi seorang HSE yang profesional pada masa hadapan.

Soalan pertama yang akan membelenggu otak mana-mana engineer adalah, apa ganjaran dan kelebihan menjadi seorang HSE engineer ? Saya ingin memaklumkan bahawa sehingga hari ini, HSE engineer adalah antara salah satu kerjaya yang mendapat bayaran gaji lumayan dan menjadi kerjaya profesional yang disegani dalam chemical process industry. Kenyataan ini adalah benar dan terpakai terutama dalam industri seperti minyak dan gas huluan (upstream oil  & gas) dan penapisan (refining).

Di negara-negara Barat, HSE menjadi bidang kerjaya yang diberikan keutamaan tertinggi dan menerima bayaran gaji premium. Kesedaran tentang kepentingan HSE semakin meningkat di beberapa negara di dunia. Akta dan peraturan berkenaan HSE dilihat semakin ketat. Ini membuatkan kerjaya sebagai HSE engineer semakin mendapat tempat dan menerima permintaan yang tinggi disebahagian negara, sedangkan pada awalnya bidang ini dipandang remeh. Ringkasnya, hari ini, HSE engineer telah mendapat pengiktirafan sebagai salah seorang ahli penting dalam global engineering community.

Soalan kedua yang biasa muncul dari mana-mana minda engineer adalah, apakah tugas-tugas yang dilakukan oleh seorang HSE engineer ?. Walaupun saya bukanlah seorang yang profesional, tapi saya ingin menyenaraikan apa yang dilakukan oleh seorang HSE engineer didalam bidangnya ;


1. Fire & Gas Detection Philosophy

2. Fire & Gas Detection Equipment Layout

3. Firewater and Foam Protection Systems

4. Firewater & Foam Demand Calculations

5. Portable Systems for fire protection

6. Passive Fire Protection Systems

7. Safety Plan

8. Escape Route Plan

9. Risk Assessment (Qualitative and Quantitative)

10. Layers of Protection Analysis (LOPA) Studies 

11. Hazard Identification (HAZID) Studies 

12. Hazard & Operability (HAZOP) Studies

13. Dispersion Analysis for heat radiation and toxic chemicals using advanced dispersion software such as DNV PHAST and SHELL FRED. 

14. Environmental Impact Assessment 

15. Safety Integrity Level (SIL) Studies 


Tugas-tugas yang disenaraikan diatas sebenarnya masih umum, namun jika dibincangkan secara spesifik, lebih banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang HSE engineer. Satu tugas yang dibawa oleh HSE engineer untuk maju kehadapan adalah brtugas sebagai fasilitator HAZID atau HAZOP, dimana ilmu dan kemahiran komunikasi mereka akan teruji. Saya kenal beberapa orang freelance HSE experts yang sibuk mengendalikan kursus HAZID dan HAZOP selama beberapa tahun dan menghasilkan banyak wang dari usaha mereka.

 Sebagai kesimpulannya, HSE engineer adalah salah satu kerjaya yang menjanjikan pendapatan lumayan dalam chemical process industry dan saya ingin menasihatkan kepada para jurutera muda, jika mereka ada peluang untuk mengambil HSE engineering sebagai pilihan kerjaya sepenuh masa, mereka sepatutnya merebut peluang itu dengan kedua-dua tangan mereka.

Yang Benar,
Ankur. 

...............................................

Dah puas baca pandangan diatas? 

Walaupun pandangan beliau banyak merujuk kepada HSE engineer, namun bagi ana, beliau bercakap tentang HSE secara keseluruhannya. HSE terpakai di semua industri, bukan sekadar didalam industri minyak dan gas saja, atau industri proses kimia. Cakupan HSE sangat luas, tetapi terikat dengan akta-akta dan peraturan yang harus dipatuhi berdasarkan standard-standard yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Kalau nak cerita apa itu HSE, memang takkan habis. Anda boleh tanya Bro Google untuk mendapatkan gambaran apakah itu HSE dan bagaimana ia berfungsi di mana-mana industri. Dah dapat gambaran, barulah fikir semula samada anda ingin meneruskan untuk menceburi bidang ini atau tidak.

Ana merupakan lulusan Sarjana Muda Teknologi Kimia Industri. Sepatutnya tempat kerja ana sekarang adalah di makmal-makmal kimia, menjalankan eksperimen dan analisis.Tetapi disebabkan jiwa ana kurang ngam untuk terus berada dan bekerja di makmal, ana cuba untuk beralih arah sedikit keluar dari kepompong makmal. Ana mula berminat untuk pergi jauh dalam industri Oil & Gas, kalau boleh nak latih diri untuk jadi petroleum engineer, atau reservoir engineer. Lebih dekat dengan suasana Oil & Gas itu.

Menyedari bahawa jurusan kimia ana tidak banyak menyentuh asas-asas engineering ( engineering banyak belajar guna software dan buat calculations), maka terasa tipis untuk bergelar seorang jurutera petroleum - melainkan dengan usaha luar biasa ( sambung belajar bidang engineering pula).

Allah SWT jua yang menentukan arah hidup hambaNya berdasarkan aturanNya yang indah.
4 bulan intern di UMW, ana didedahkan dengan ilmu HSE. Tamat intern, ana mula berminat untuk sambung terus dalam bidang ini, kerana bagi ana, inilah satu-satunya jalan mudah untuk mencelah masuk ke industri Oil & Gas, walaupun terpaksa bermula dari zero untuk mempelajari apa itu HSE.

HSE terpakai untuk semua dan setiap organisasi/syarikat wajib ada HSE (terutama industri-industri berat). Jadi, dengan adanya asas dan ilmu HSE, anda boleh bekerja di pelbagai sektor dan industri. Sudah tentu, anda bebas memilih di industri mana anda mahu bekerja. Kalau taknak kerja makmal, tapi nak dekat dengan jurusan kimia (taknak lari bidang la senang cerita), kerja lah HSE di industri kimia - processing, refining, dan sebagainya. Jadi safety officer (certified) di chemical plant atau chemical lab




Kalau anda rasa anda nak kompetenkan diri sebagai pegawai HSE yang diiktiraf, anda bolehlah menjalani kursus berbayar di mana-mana organisasi safety & health seperti OSHA, NIBOSH, NIOSH dan sebagainya. Certified HSE officer lagi lah direbut-rebut orang.

Percayalah, anda mulakan dengan HSE, sebenarnya anda membuka peluang kerjaya yang sangat-sangat luas kepada diri anda sendiri kerana permintaan HSE sangat meluas sekarang.

Selamat membuat pilihan untuk masa depan.

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

Saturday 9 August 2014

.: Tips buat Resume - Ubaydullah :.

Insyaallah, ana akan cuba sedaya mampu untuk berkongsi tips bagaimana nak hasilkan resume yang mana bakal majikan akan tertarik (Insyaallah) untuk panggil interview (pengalaman ana sendiri). Dapat tak dapat tu, lain cerita. Dah panggil interview, kira bersyukur lah kan. Sekurang-kurangnya ada pengalaman menghadapi interview dan jika dapat kerja, itu adalah rezeki dari Allah SWT buat anda. Kalau betul-betul tekun, anda boleh buat ulangkaji bagaimana nak hadapi interview secara betul atau cara buat resume yang lebih betul (dari tips saya).

Resume yang baik adalah resume yang mampu menerangkan siapa anda secara ringkas tetapi padat. Tak perlu cerita tentang diri anda secara berjela-jela (panjang) macam buat karangan, dan tak lah terlalu ringkas sampai majikan tak tahu anda ini benar-benar nak mohon kerja atau tidak!

Disini, ana lampirkan contoh resume ana sendiri sebagai rujukan anda. Ana pun sebenarnya copy-and-paste resume orang lain juga dan kemaskini sebagai resume sendiri. Kekemasan dan susun atur maklumat dalam resume perlulah selaras agar ia nampak teratur dan profesional. Terpulang kepada anda nak ikut format resume sesiapa dan bagaimana, janji ia nampak kemas, bersih dan teratur.

Jom kita mulakan tips ini! 



Mukasurat pertama resume


Gambar (Photo) : 

Gambar yang diletakkan dalam resume perlulah yang terkini, dalam keadaan formal dan bersaiz passport. Elakkan dari meletakkan gambar posing selfie, gambar zaman kanak-kanak, gambar pakai tshirt dan sebagainya. Ini bagi melahirkan first impression yang baik kepada majikan tentang diri anda.

Ada majikan yang sporting, tak kisah langsung anda letak gambar macam mana, tapi itu hanya segelintir sahaja! Langkah selamat, letak yang OK dan terbaik.


Nama (Name) :

Nyatakan nama penuh anda secara jelas, terang dan nyata - recommended font - Arial : 11


Objektif (Objective) :

Jika perlu, nyatakan objektif anda menghasilkan resume ini. Untuk apa dan bagaimana anda mampu menyumbang kepada syarikat tempat kerja.


Butiran Diri (Personal Particulars) :

Nyatakan secara ringkas butiran diri (yang penting-penting sahaja) seperti tertera dalam contoh resume diatas. Tak perlu letak maklumat ahli keluarga lain.


Latarbelakang Pendidikan (Educational Background) :

Nyatakan latarbelakang pendidikan anda, sekurang-kurangnya nama sekolah menengah dan universiti pengajian anda. Bonus, letak keputusan akhir peperiksaan anda. Ada sesetengah majikan nak tengok keputusan terkini. 




Mukasurat kedua resume


Anugerah & Pencapaian ( Awards & Achievements) :

Nyatakan anugerah & pencapaian anda - sekolah menengah / universiti
INGAT! Tak perlu senaraikan kesemua anugerah dan pencapaian yang anda terima. 
Kalau anda ada 100 anugerah sekalipun, nyatakan sekurang-kurangnya 3 - 4 yang tertinggi / terkini sahaja.

Majikan taknak tengok resume tu jadi berhelai-helai macam karangan SPM!



Aktiviti Kokurikulum (Extra-Curricular Activities) : 

Nyatakan aktiviti kokurikulum anda - sekolah menengah / universiti

Kes yang sama macam anugerah dan pencapaian, tak perlu senaraikan semua aktiviti anda. Cukup hanya yang tertinggi atau yang terkini sahaja.


Pengalaman Kerja (Working Experiences) :

Bahagian ini sangat PENTING. 
Kebanyakan majikan nak ambil pekerja, mereka akan tengok kepada pengalaman kerja kita. Pengalaman kerja dapat membantu majikan menilai tahap kredibiliti calon pekerja dan jika diambil, di posisi mana seharusnya pekerja tersebut ditempatkan dalam syarikat. 

Jika anda ada apa-apa pengalaman kerja sebelum ini, nyatakan semuanya ( 3-4 kerja).

Misalnya, ana  lepasan universiti (fresh-grad), belum ada pengalaman kerja. Jadi nyatakan pengalaman ketika menjalani latihan industri saja. Kalau dah pernah bekerja, dan ingin memohon tempat kerja baru, nyatakan pengalaman kerja di tempat lama. 




Mukasurat ketiga resume (Last)


Kemahiran & Kebolehan (Skills & Abilities) :

Nyatakan kelebihan anda seperti tertera didalam contoh resume diatas. Kalau pandai guna apa-apa software pun, nyatakan. Mungkin dengan kelebihan itu, majikan tertarik nak ambil anda untuk posisi yang bukan kehendak anda. Janji dapat kerja kan?


Kekuatan Diri (Personal Strength) :

Ini berkaitan dengan soft-skills anda. Nyatakan apa kemahiran istimewa anda supaya resume ini nampak kukuh dan bertenaga! Majikan teringin nak tengok kemahiran anda ini diaplikasikan di tempat mereka sekiranya anda adalah insan pilihan.


References (Rujukan) : 

Nyatakan siapa rujukan anda agar majikan mudah nak berhubung bagi meminta pandangan rujukan anda sebelum mengambil anda sebagai pekerja mereka (ada sesetengah majikan sangat skema buat macam ni). Semangat betul nak ambil anda. hehe.



Resume anda sudah terhasil!

Alhamdulillah, ana harap dengan perkongsian tips ini serba sedikit dapat membantu anda untuk menghasilkan resume yang baik. Terpulang kepada anda untuk mengikuti tips ini atau tidak, pokoknya yang ana nak tekankan, kekemasan resume akan menghasilkan resume yang berkualiti dan mantap. 

Ingat, resume hanya dokumen pengenalan ringkas tentang diri anda. Jika dipanggil interview, disaat itulah anda bebas untuk menceritakan siapa diri anda secara berjela-jela (jika ditanya lah, jangan syok sendiri pula).

Salam Perjuangan.

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

.: dapat kerja sebelum graduasi : antara peluang dan cabaran :.

MUNGKIN ramai bakal graduan universiti mengimpikan agar mereka segera mendapatkan pekerjaan seusai saja tamat pengajian kuliah atau tamat menjalani latihan industri (sebelum konvokesyen). Dek kerana terlalu ramai pekerja mahir mula dihasilkan dari universiti-universiti samada tempatan atau luar negara, peluang pekerjaan dilihat sebagai satu cabaran yang getir saat ini. Justeru, jika peluang dan ruang diberikan kepada bakal graduan untuk terus berkhidmat dimana-mana organisasi kerajaan atau swasta seusai berpraktikal atau tamat belajar, ia memberi 1001 kelebihan kepada mereka dimasa hadapan untuk terus membina karier di bidang pilihan.



Ana baru saja menghabiskan latihan industri di UMW Workover Sdn Bhd (salah satu anak syarikat UMW Oil & Gas Corporation Berhad) selama 4 bulan - tempoh yang diperuntukkan oleh USIM. Bermula 17 Februari hingga 20 Jun 2014, ana telah didedahkan dengan suasana kerja yang dekat dengan realiti masyarakat sekarang. Peluang menjalani latihan industri benar-benar membuka minda kita untuk melihat sendiri keperluan masyarakat dan dunia terhadap ilmu yang bakal kita aplikasikan seusai tamat belajar. Kalau tak banyak, ada lah sedikit yang mampu kita sumbangkan untuk masyarakat. Keseronokan bekerja mula terasa tatkala kita mula mendapat kawan baru, mengalami suasana persekitaran baru dan memegang duit gaji sendiri. Alhamdulillah, Allah rezekikan ana untuk berpraktikal di salah satu syarikat besar dengan jumlah elaun yang memuaskan. Berbaloilah orang kata, lagi-lagi ana praktikal di KL. Keperluan hidup yang sarat di KL memerlukan sumber kewangan yang kukuh untuk terus menapak.

Menjelang tamat tempoh praktikal, ana cuba untuk memohon terus berkhidmat di syarikat tersebut, namun tiada sebarang kekosongan jawatan ketika itu. Impian ana untuk terus bekerja sebelum graduasi mula terasa kelam. Lagi-lagi apabila mahasiswa sering dimomokkkan dengan kenyataan bahawa sukarnya untuk graduan universiti mendapatkan pekerjaan pada masa sekarang.

Dua tiga minggu ana resah. Khuatir tidak mendapat sebarang pekerjaan kelak, walaupun sudah bergelar graduan. Ada kes graduan menganggur hampir 6 bulan lamanya akibat tidak mendapat peluang kerja dimana-mana. Ana sendiri tertanya-tanya punca mengapa perkara sedemikian boleh terjadi, walhal dalam hati tetap risaukan status diri sendiri. Ana pun bersahabat lah dengan Bro Google untuk beberapa minggu demi mencari sebarang peluang kerja yang boleh ana celah, seboleh-bolehnya sebelum bergraduasi agar masa cuti yang terlalu panjang di rumah ( Julai - November) tidak dibazirkan begitu saja. Kalau dulu, jarang balik rumah sebab aktif di universiti. Bila dah duduk kat rumah lama-lama, rasa boring yang amat. Diri ini tak boleh duduk saja, nak kena buat kerja.

Ana pun kemaskini resume sedia ada agar ia kelihatan lebih kemas, tersusun, dan nampak matang. Resume merupakan dokumen khusus untuk 'menjual' diri kita kepada majikan-majikan diluar sana. Dalam resume lah, kita boleh nak 'cakap besar' tentang kelebihan kita. 'Cakap besar' tentang diri kita kepada bakal majikan adalah salah satu senjata paling efektif demi mendapatkan peluang kerja. Tapi, jangan amal 'cakap besar' luar dari skop nak cari kerja sudah lah. Kadang-kadang, dengan menghantar resume saja pun, majikan dah tahu bagaimana akhlak dan sikap kita tanpa perlu ditemuduga. Namun, syarat untuk memilih pekerja tetap menggunakan medium temuduga sebagai cara pengenalan secara face-to-face agar majikan lebih kenal dengan calon pekerja mereka. Resume hanya sebagai alat bantuan khas pengenalan diri secara ringkas. [Tips Buat Resume]

Fa iza 'azamta fatawakkal 'alallah

Bro Google banyak membantu ana dalam mencari syarikat-syarikat yang berpotensi dan menjadi minat ana untuk menceburi bidang yang ditawarkan. Ana cenderung untuk bekerja di syarikat-syarikat minyak dan gas (Oil & Gas Industries), minat yang hadir ketika berada di tahun akhir pengajian. Maka, ana pun menghantar resume kepada syarikat-syarikat ini melalui email dengan mengarang sedikit ayat menyatakan minat dan posisi yang dipohon. Ketika ini, ana meletakkan keyakinan kepada janji Allah SWT terhadap orang-orang yang berusaha dalam mendapatkan sesuatu. Allah SWT akan menilai usaha hambaNya, bukannya menghukum pengakhirannya. Natijahnya itu cerita lain. Ana yakin Allah SWT pasti akan mempermudahkan urusan hambaNya jika kita tetap positif terhadap diri sendiri dan ketentuan Allah SWT.  Usai menghantar email ke hampir berbelas-belas syarikat, barulah ana serahkan segalanya kepada Allah.



Ana berharap, dengan meletakkan sepenuh pengharapan kepada Allah SWT. Menanti dan terus menanti untuk jawapan balas terhadap semua permohonan kerja itu.

Panggilan rezeki 

Tanggal 14 Julai 2014, ana menerima panggilan telefon dari syarikat RWNA Engineering Sdn Bhd agar hadir untuk temuduga keesokan harinya. Allahu Akbar, ana mula merasa gembira dengan panggilan yang baru saja ana terima. Hari ini call, esok terus interview. Alhamdulillah, syarikat tersebut terletak di Gebeng, Kuantan kira-kira 45 minit perjalanan dengan motosikal dari rumah. 


Esoknya, ana hadir interview dan ditanyakan beberapa soalan berkenaan pengalaman sebelum ini [intern di UMW - Health, Safety & Environment (HSE) ]. Ana banyak bertanya soalan kepada penemuduga, Puan Ruzaima yang merupakan HSE Manager di RWNA. Siapa interview siapa sebenarnya? 

Kemudian, Puan Ruzaima kata beliau akan memaklumkan keputusan interview selepas Hari Raya Aidilfitri. Sementara menanti keputusan interview, ana masih menanti jawapan balas permohonan melalui email dari tempat-tempat lain. Doa tetap dipanjatkan agar ada peluang yang diberikan oleh Allah SWT untuk ana menabur bakti di syarikat yang telah ditemuduga.

Beberapa hari selepas Hari Raya, ana sekali lagi mendapat panggilan telefon dari Puan Ruzaima. Berita yang ana dapat kali ini membuatkan ana merasa amat bersyukur kepada Allah SWT yang telah memilih ana untuk berkhidmat di syarikat itu. Pengharapan dan keyakinan yang terbalas dengan rezeki. Posisi yang ditawarkan kepada ana adalah sebagai Quality Assurance/ Health, Safety & Environment Engineer. Sama level saja dengan Executive, dan sudah tentu Executive Level adalah level staf yang akan banyak menghasilkan prosedur syarikat berkaitan HSE. Alhamdulillah, ana amat bersyukur.

6 Ogos 2014, maka bermula lah khidmat ana di syarikat RWNA Engineering Sdn Bhd dengan tempoh percubaan 3 bulan secara kontrak. 


Rezeki melimpah-limpah

Namun, rezeki Allah SWT bukan setakat itu saja. Beberapa hari sebelum ana melapor diri di tempat kerja baru, ana sekali lagi menerima panggilan telefon dari dua syarikat berbeza dengan posisi jawatan sebagai Project Engineer dan HSE Executive. Bibir tak mampu menghambur bicara, hati diasak untuk terus bersyukur kepada Allah SWT. Sekali rezeki datang, ia datang banyak sekaligus. Namun, ana tak mampu nak terima kedua-dua panggilan interview tersebut. Maka, ana pun passing kedua-dua peluang temuduga itu kepada rakan-rakan sekuliah sebatch ana yang lain. Mungkin itu rezeki mereka pula, semoga ada diantara mereka yang dapat salah satunya. Aaamin. 

" Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatku), maka sesungguhnya azabku sangat pedih "

( Surah Ibrahim : Ayat 7 )

Terus melangkah, menggapai langit tinggi

Alhamdulillah, kini ana sudah mencapai satu impian iaitu dapat kerja sebelum graduasi. Perkara yang ana tak jangka setelah ditolak dari menyambung khidmat di syarikat tempat intern dulu. Perkara yang dulu ana rasakan mustahil, rupanya tidak, jika kita bersungguh-sungguh memohon dan berharap kepada Allah SWT. Sekali kita fikir positif terhadap Allah SWT, Allah terus balas dengan kebaikan yang berlipat-ganda. Sebab itu Allah SWT selayaknya digelar Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Hari-hari kita sebut Bismillah, hari-hari kita puji nama-nama Allah SWT, plus kita yakin dengan janji-janji Allah SWT, insyaallah pasti Allah permudahkan jalan buat hambaNya.

Teruskan melangkah ke hadapan, usah toleh ke belakang lagi. 

Usaha sehabis baik tanpa memikirkan natijahnya, kerana natijahnya akan terlahir dari sifat kesungguhan yang terpasak dari dalam diri hamba-hambaNya.

Salam perjuangan.

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~


Thursday 7 August 2014

.: Aktifkan Dirimu :.

 LIGAT dan cekap pergerakannya dalam memastikan perjalanan program itu berjalan lancar. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu satu kesilapan pun berlaku yang akan mencacatkan pemandangan. Terbayang muka kepuasan para tetamu jemputan yang akan hadir nanti ke program kelolaannya. Terbayang muka kepuasan para audiens yang bakal memenuhi ruang tempat duduk didalam dewan itu nanti. Kepuasan itulah yang dirasai setiap kali dia melunaskan 'hutang' programnya kepada semua pelajar.

Namun, ada lirik mata yang iri dari jauh. Kehebatan dan keterampilannya dalam mengendalikan program atau majlis rupanya tidak disenangi rakan seuniversiti apatah lagi apabila dia mula mendapat perhatian pihak pengurusan tertinggi universiti. Namanya disebut-sebut oleh pihak atasan USIM sebaris nama dengan ahli Majlis Perwakilan Pelajar. Iri yang hadir kerana tidak berupaya menandingi dan mengatasi apa yang telah dia kecapi sepanjang tempoh pengajian di universiti.  Dimanakah silapnya? Adakah dia harus dipersalahkan kerana peluang yang dia sendiri rebutkan sejak awal kemasukannya ke universiti?

Rata-rata pelajar di universiti tidak berusaha untuk menggunakan masa pengajian mereka dengan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada diri mereka sendiri. Sejak awal kemasukan ke universiti di tahun pertama, ramai antara mahasiswa yang kurang berminat untuk menyertai apa-apa program atau persatuan pelajar yang sedia ada di universiti atas alasan bimbang tidak dapat mengimbangi prestasi, antara akademik dan juga kokurikulum.

Jika dilihat kepada peratusan pelajar cemerlang di universiti, kebanyakannya adalah pelajar yang mempunyai rekod cemerlang didalam akademik dan kokurikulum.  Pelajar yang paling sibuk dan terlibat aktif didalam kegiatan kokurikulum sebenarnya adalah pelajar yang mampu menguruskan masanya dengan baik. Dengan kesibukannya sebagai seorang yang aktif berpersatuan, dia mampu untuk membahagikan masanya dengan baik antara kokurikulum dan ulangkaji. Ini berbeza apabila dibandingkan dengan pelajar yang langsung tidak mengambil inisiatif untuk memperbaiki kemampuan dan potensi diri, natijahnya golongan ini akan terus berada di takuk lama dan masih sama sepertimana ketika mula-mula mendaftar masuk ke universiti. Mungkin ada sedikit perubahan, namun tidak ketara sepertimana pelajar-pelajar yang dikenali rajin dengan berpersatuan.

Kita ambil contoh dua orang pelajar cemerlang yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja di majlis graduasi USIM tahun 2013. Pelajar pertama, saudara Zaim Razak. Beliau merupakan pelajar cemerlang dari Fakulti Sains & Teknologi (FST) yang menerima anugerah dekan hampir setiap semester. Selain mendapat gelaran pelajar cemerlang, beliau pernah terlibat secara langsung didalam persatuan pelajar fakulti dan mengendalikan pelbagai jenis program. Begitu juga dengan saudara Mohd Nizwan Musling yang merupakan penerima anugerah dekan setiap semester dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU). Beliau juga antara pelajar yang bergiat aktif didalam kokurikulum tanpa sedikit pun menjejaskan pengajiannya.

Ini antara bukti bahawa terlibat aktif didalam kegiatan kokurikulum tidak menjejaskan akademik jika pandai membahagikan masa dengan bijak dan memahami apa yang perlu diberi keutamaan yang lebih pada satu-satu masa- priority comes first.

Kenapa perlu aktifkan diri?

Saya kini berada di tahun akhir pengajian dan sedang menjalani latihan industri disebuah syarikat industri minyak dan gas. Sepanjang pengamatan saya di syarikat ini, sekalipun bos-bos besar tidak pernah bertanya mengenai keputusan akhir peperiksaan saya. Namun, apa yang ditanya adalah samada saya mampu melaksanakan tugasan yang diberi atau tidak. Satu kelebihan kepada mereka yang pernah terlibat aktif dengan aktiviti di universiti. Sebesar dan sebanyak mana pun tugasan diberikan, insyaallah tidak ada masalah untuk menyelesaikannya malah kebergantungan kepada orang lain untuk menyelesaikan sesuatu masalah adalah kurang kerana kita telah melatih diri untuk berfikiran kreatif dan kritis semasa di universiti. Skil-skil kemahiran secara automatisnya diaplikasikan dalam pelbagai cara yang akhirnya memberi natijah yang baik kepada diri kita sendiri.



Kelebihan ini tidak akan diperolehi jika kita hanya duduk berteleku didalam bilik dan membaca 'tips-tips mengaktifkan diri' atau 'tips-tips  mudah mendapat kerja' tetapi tidak ada usaha untuk mencapai apa yang dibaca itu. Keinginan tanpa sebarang usaha adalah sia-sia dan tidak mencambahkan hasil yang memuaskan. Jadi, masih belum terlambat untuk kita menongkah arus yang deras. Seseorang yang mempunyai keinginan dan cita-cita yang tinggi untuk memperbaiki kemampuan diri akan nampak lebih berjaya jika dia konsisten didalam apa yang dia lakukan berbanding mereka yang sememangnya hebat namun tidak konsisten.

Menyertai mana-mana persatuan pelajar tidak merugikan sesiapa bahkan membantu kita untuk membina keyakinan diri, membuang sifat malu yang tidak bertempat, membuang rasa gugup berbicara dikhalayak, membentuk budaya kerjasama didalam satu kumpulan, membina jati diri dan ketrampilan, membina sifat seorang pemimpin dan banyak lagi kemahiran-kemahiran 'lembut' (soft skills) yang lain. Semua ini amat membantu kita untuk menghadapi realiti kehidupan sebenar seusai kita bergraduasi dan berkerjaya.

Usikan menjadi cabaran

Saya merupakan seorang yang amat pemalu ketika di sekolah rendah dan menengah dulu. Sifat pendiam dan tidak banyak bercakap telah menyebabkan saya sering diusik guru-guru dan rakan-rakan sebaya. Nak berbicara dengan budak perempuan pun jadi kaku, apatah lagi nak bergurau senda. Masuk saja ke universiti, saya cenderung untuk menyertai persatuan pelajar dengan niat untuk membuang 'kudis-kudis' lama yang tidak lagi berguna untuk kehidupan saya pada masa akan datang. Sifat pendiam saya harus dibuang bagi membolehkan saya berani berkata-kata dikhalayak dan menyampaikan kebenaran. Sifat pemalu tidak bertempat saya harus dibuang bagi meyakinkan diri saya untuk senantiasa maju kehadapan dan menjadi insan cemerlang. Semua sifat-sifat ini adalah baik jika kena pada tempat dan situasi, namun dalam proses belajar, ianya tidak praktis sama sekali.




Alhamdulillah, dalam tempoh setahun selepas itu, ketika berada dalam tahun dua pengajian, saya sudah mampu mempunyai anak-anak buah sendiri yang saya latih untuk mengendalikan program di USIM. Sejujurnya, saya memang jenis yang cepat belajar sesuatu yang baru dan cepat untuk mengaplikasikannya serta mahu segera melihat hasilnya. Ini adalah diri saya yang baru, sehinggalah ia berkekalan sampai saya ke tahun akhir.
Saya pernah bercerita mengenai diri saya kepada ramai orang, namun kebanyakkan mereka tidak mempercayai cerita yang saya sampaikan. Mereka merasakan bahawa saya hanya bergurau dan tidak serius. Sehingga ke tahap itu perubahan diri telah mengubah saya yang asal. Jadi saya sudah, tiba giliran anda untuk membuktikannya, malah membuat perubahan yang lebih hebat dari saya.


Bijak Bahagi Masa




Sejak di tahun dua, saya sudah mula bercerita mengenai pengalaman saya sepanjang setahun terlibat secara aktif di universiti kepada anak-anak buah saya. Bukan kerana nama atau ingin bermegah-megah, namun saya tulus ikhlas untuk cuba memecahkan benteng pemisah yang menjadi penjarak antara sebuah persepsi dan realiti. Ramai yang tidak berani mencuba sesuatu yang baru dek kerana malas atau tidak berani mengambil risiko terutama dalam bab pembahagian masa secara bijak.

Jujur saya katakan, saya tidak mempunyai jadual yang spesifik untuk diri sendiri sejak tahun pertama di universiti. Setiap kali saya membuat jadual, saya sukar untuk menepati jadual saya sendiri. Justeru, saya mengambil keputusan untuk langsung tidak bergantung kepada sebarang jadual dan menggunakan masa saya sendiri secara bijak (kadang-kadang).

Ketika berpersatuan, saya memang tidak mencampurkan urusan akademik saya bagi mengelakkan ianya bertembung dan menjejaskan prestasi kedua-duanya. Namun, adakalanya ketika kita terlalu asyik berpersatuan, akademik kita boleh tergadai.
Sebaiknya, usaha untuk mengimbangi kedua-duanya secara bijak agar manfaat kedua-duanya dapat diperolehi tanpa salah satu tercicir. Cuba bermula dengan satu persatuan dan fokus untuk aktif dengan satu persatuan itu sahaja, berbanding anda menyertai banyak persatuan, dan akhirnya anda sendiri tidak mampu membahagikan masa untuk kesemuanya. Natijahnya, akademik pasti terjejas teruk dan sukar untuk dibaiki lagi (pengalaman diri sendiri).

Maka, rebutlah peluang yang terbuka luas di universiti anda. Jika rakan-rakan anda mampu mengubah diri dari biasa-biasa kepada luar biasa, sudah tentu anda juga mampu untuk menggapainya tanpa ada halangan. Jika hari ini kawan anda sudah mampu berdiri di kaki sendiri, anda juga mampu berdiri 'tanpa kaki' mengatasi rakan-rakan anda.

Siapa tahu? 

Segalanya tidak mustahil jika anda pasakkan niat semata-mata untuk menggapai redha Allah SWT.  Salam perjuangan.


:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~



Wednesday 30 April 2014

.: Puasa Rejab : Bid'ah atau Tuntutan? :.

TANGGAL 1 Mei 2014, maka bermulalah bulan ke - 7 dalam Islam iaitu bulan Rejab.  Tarikh yang sama padanannya dengan tarikh Masihi, namun berbeza dari segi penghayatan dan keutamaannya. Pada zaman dahulu, bulan Rejab dianggap mulia dan agung oleh bangsa Arab Jahiliyyah. Mereka menyambut bulan Rejab dengan pelbagai perayaan dan acara peribadatan seperti menyembelih unta pada tanggal 1 dan 10 Rejab, mengharamkan sebarang bentuk peperangan dan membuka pintu Kaabah sepanjang hari dengan tujuan untuk memberi peluang kepada pengunjung-pengunjung kaabah ketika itu untuk beribadat sepuas-puasnya. Namun, lahirnya 'bulan purnama' buat seluruh umat Islam, Nabi Muhammad SAW telah menghazafkan sepenuhnya segala bentuk amalan jahiliyyah sehingga tidak ada yang khusus pun untuk diamalkan di bulan Rejab.

Bulan Rejab merupakan salah satu dari bulan-bulan haram (bulan-bulan suci) yang diharamkan perang oleh Allah SWT selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah.

Allah SWT berfirman,

" Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah ialah dua belas bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam (bulan yang empat) itu…” (Surah At-Taubah: 36)

Bulan-bulan tersebut dinamakan bulan haram kerana :


 1. Diharamkan berperang di dalamnya, kecuali jika musuh mula menyerang terlebih dahulu.
 2. Larangan melakukan perkara-perkara yang diharamkan pada bulan-bulan tersebut lebih ditekankan berbanding bulan-bulan yang lain.


Larangan Allah SWT mengenai peperangan didalam bulan-bulan haram,

"(Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati, katakanlah "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah,dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidil Haram (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ,(semuanya itu) adalah lebih besar dosanya di sisi Allah SWT " 
(Surah Al-Baqarah : 217)

Terdapat banyak lagi ayat-ayat Allah SWT mengenai kemuliaan dan keutamaan 4 bulan-bulan haram didalam Al-Quran.

Peristiwa-peristiwa di bulan Rejab

Umum mengetahui, terdapat banyak peristiwa-peristiwa yang disandarkan dan terjadi di bulan Rejab. Antara kisah-kisah masyhur yang terjadi di bulan Rejab adalah berlakunya hijrah pertama dalam Islam (hijrah ke Habsyah), peristiwa Israk Mikraj, peperangan Tabuk (peperangan terakhir Rasulullah SAW), pembebasan kedua Baitul Maqdis oleh panglima legenda penyembelih tentera Salib, Sultan Salahuddin Al-Ayyubi (pembebasan pertama di zaman Khalifah Umar Al-Khattab), dan lahirnya Imam 4, Imam Shafie. Peristiwa-peristiwa ini menjadi simbolik kebesaran Islam yang berlaku dalam bulan Rejab. Umat Islam seharusnya mengambil ibrah melalui peristiwa-peristiwa tersebut terutamanya peristiwa besar yang terjadi kepada Nabi kita, iaitu Israk Mikraj.

Tidak perlu diceritakan secara terperinci mengenai peristiwa-peristiwa ini kerana ia sudah biasa didengari ramai orang hatta kanak-kanak sekolah rendah pun mampu menceritakan semula apa yang berlaku secara mendalam.

Amalan Khusus di Bulan Rejab

Mengenai amalan-amalan khusus di dalam bulan Rejab, perlu ditekankan bahawa tiada satu pun hadis-hadis sahih dari Rasulullah SAW yang menyarankan untuk melakukan apa-apa amalan khusus di bulan Rejab seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab, umrah bersempena Rejab dan apa-apa amalan yang disandarkan dengan bulan Rejab. Terdapat banyak hadis-hadis lemah dan palsu diwar-warkan kepada masyarakat umum mengenai fadilat dan kelebihan bulan Rejab dan dan dikongsikan secara meluas melalui laman sosial Facebook, Twitter, Blog dan sebagainya. Perkara ini perlu dibendung lebih awal agar ia tidak menjadi viral kepada seluruh umat Islam. Umat Islam masih berpegang kuat dengan hadis-hadis Nabi SAW namun tindakan mengamalkan hadis-hadis tanpa menyemak latar belakang dan status hadis boleh membawa kepada kecelaruan amalan.

Nabi SAW pernah memberi amaran,

“ Sesiapa yang berdusta ke atasku (namaku) dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

Jika diteliti hadis-hadis (palsu) yang menyatakan ganjaran dan kelebihan bulan Rejab, betapa banyak maklumat yang bertentangan dengan fikiran manusia yang waras di mana ganjaran yang ditawarkan sangat berlebihan berbanding dengan amalan yang dibuat malah lebih besar dari amalan-amalan wajib dan keutamaan yang lain. Adapun perkara sedemikian adalah tidak munasabah dan tidak mudah diterima oleh akal yang sihat. Sesungguhnya Islam mengharamkan merujuk kepada hadis palsu dalam apa jua bentuk ibadat kerana ia hanya mencemarkan kesucian Islam.

Jumhur ulama berpendapat bahawa kebanyakan hadis-hadis mengenai kelebihan Rejab adalah hadis yang lemah dan tertolak. Umat Islam hendaklah meneliti semula apa-apa hadis yang menceritakan mengenai kelebihan bulan Rejab dan tidak menyandarkan hadis tersebut dengan Nabi SAW.

Adapun kebanyakan para ulama menceritakan mengenai galakan berpuasa di semua bulan-bulan haram sebagai pilihan terakhir ketika seseorang itu mahu memperbanyakkan puasa sunat. Para ulama terdahulu memperbanyakkan puasa sunat dibulan-bulan haram , tetapi tidak diniatkan atau dikhususkan untuk bulan Rejab atau mana-mana bulan di dalam bulan haram.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullaahu berkata di dalam Majmu’ Fataawaa (25/290):

“Adapun puasa di bulan Rejab dengan mengkhususkannya, hadis-hadis mengenai hal ini seluruhnya lemah, bahkan palsu. Para ulama tidaklah bersandar pada salah satu darinya. Dan hadis-hadis tersebut bukanlah hadis lemah yang diriwayatkan dalam keutamaan amal. Namun seluruhnya adalah hadis-hadis palsu lagi dusta. Dalam Musnad dan selainnya terdapat hadis dari Nabi SAW bahawasanya baginda menganjurkan untuk berpuasa di bulan-bulan haram, yakni bulan Rejab, Dzulqa’dah, Dzulhijjah, dan Muharram. Anjuran ini untuk puasa di seluruh bulan yang empat tersebut, dan bukan mengkhususkan bulan Rejab semata-mata.”

Ibnul Qayyim rahimahullahu dalam Al Manaarul Muniif  (hal, 96) berkata:

“Seluruh hadis tentang penyebutan puasa di bulan Rejab dan solat di sebahagian malam bulan tersebut, adalah hadis yang dusta dan dibuat-dibuat.”


Al Hafiz Ibnu Hajar rahimahullahu dalam Tabyiinul ‘Ujb (hal.11) berkata:

“Tidak terdapat riwayat mengenai keutamaan bulan Rejab. Tidak juga mengenai puasa di bulan tersebut, begitu juga puasa apapun di dalamnya secara khusus. Juga tidak ada hadis sahih yang dapat dijadikan sebagai hujjah mengenai solat malam yang dikhususkan di dalamnya.”


Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullahu berkata dalam Fiqhu As Sunan (1/383):

Puasa di bulan Rejab tidak ada padanya keutamaan tambahan melebihi bulan-bulan selainnya. Kecuali kerana ia adalah bulan haram. Dan tidaklah ada di dalam sunnah yang sahihah bahawasanya puasa tersebut memiliki keutamaan dengan mengkhususkan pada bulan tersebut. Sesungguhnya apa yang datang dalam perkara-perkara tersebut tidaklah dapat digunakan untuk berhujjah dengannya.”


Syaikhul Islam juga mengatakan:

Sesungguhnya mengagungkan bulan Rejab (dengan memperbanyak amal) termasuk perbuatan bid’ah yang selayaknya dihindari. Demikian pula menjadikan bulan Rejab sebagai waktu khusus untuk melaksanakan puasa, termasuk perbuatan makruh (dibenci), menurut Imam Ahmad dan beberapa ulama lainnya. 
(Iqtidha’ Shirathal Mustaqim, 2/624 – 625)

Banyak amalan sunat yang umum lain boleh kita lakukan untuk mengambil ibrah dan keberkatan bulan Rejab tanpa menyandarkan kepada mana-mana hadis Nabi SAW yang lemah dan palsu. Amalan-amalan sunat ini dilakukan sebagai satu bentuk persediaan awal sebelum menghadapi bulan Ramadhan yang mulia seperti qiamullail, puasa sunat Isnin dan Khamis, tadarus Al-Quran dan lain-lain. Memperbanyakkan puasa sunat ( tidak dikhususkan untuk bulan Rejab) adalah amat digalakkan agar kita tidak mengalami 'culture shock' apabila berada di bulan Ramadhan dimana tuntutan berpuasa adalah wajib didalamnya.

Kesimpulannya,
1.    Tidak dijumpai dalil dan hadis khusus yang menyebutkan keutamaan bulan Rejab.
2.    Tidak dijumpai dalil dan hadis yang menyebutkan keutamaan puasa Rejab atau solat sunat khusus di bulan Rejab.
3.    Dalil yang menyebutkan keutamaan khusus bagi orang yang melakukan puasa Rejab adalah hadis dhaif, dan tidak boleh dijadikan dalil.
4.    Bagi orang yang rajin berpuasa, digalakkan untuk memperbanyak puasa di bulan-bulan haram ( tidak dikhususkan salah satu darinya).

Rujukan :
Jabatan Agama Islam Selangor
Jabatan Mufti Melaka
Dewan Pembina Konsultasi Syariah
Yayasan Pendidikan Islam Al-Atsary
Himpunan Hadis Dha'if dan Maudhu', Jilid 1
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi



:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~