Wednesday, 24 June 2015

.: Tips Tindakan Selepas Tamat Tempoh Praktikal :.

Bergantung kepada sesuatu kolej atau universiti atau mana-mana pusat pengajian, tempoh bagi menjalani latihan industri adalah berbeza-beza. Ada yang terpaksa menjalani internship selama 2 bulan, 4 bulan, 6 bulan dan seterusnya. Sebenarnya, semakin banyak bulan internship itu ditempuhi, semakin banyak ilmu dan suasana kerjaya dapat dirasai. Ada sesetengah daripada kita yang mendapat tempat intern yang best, ada juga yang mendapat tempat intern yang kurang best. Mungkin atas faktor-faktor seperti suasana kerja, layanan staf lama, kadar elaun, jarak tempat intern yang jauh dan sebagainya. Walau bagaimanapun, semua itu sebenarnya akan menjadi asam garam kehidupan kita apabila sudah mula bekerjaya kelak. Apa yang kita rasai ketika intern adalah suasana sebenar sebuah kehidupan bekerjaya dan pergaulan bersama masyarakat luar. 


Jika anda perasan, apa yang anda belajar di kolej atau universiti dulu takkan sama dengan apa yang anda dapat ketika menjalani internship selama berbulan-bulan. Saya yakin anda sudah mula menyedari hakikat kehidupan bersama masyarakat luar setelah bertahun-tahun 'menyorok' didalam kelompok mahasiswa di kolej atau universiti. Proses internship adalah satu proses pengenalan awal dan pembelajaran mengenai kerjaya dan dari sinilah sebenarnya anda akan mula bijak membuat keputusan demi masa depan anda. 

Insyaallah, dalam entri kali ini, saya akan cuba berkongsi serba sedikit mengenai tindakan yang harus anda lakukan sejurus selesai menjalani tempoh internship anda. Mungkin ada sesetengah daripada kita yang taktahu nak buat apa lepas habis intern. Mungkin ada juga yang berpendapat bahawa mereka ingin 'berehat' dahulu sebelum benar-benar memohon kerja. Mungkin selepas saja bergraduasi nanti, barulah anda bersungguh-sungguh untuk memohon pekerjaan. Tetapi, yakinkah anda bahawa diluar sana mudah terdapat lubuk rezeki untuk anda? Rezeki sememangnya ada dimana-mana dan semuanya datang dari Allah Jalla Wa'ala. Tetapi rezeki tidak turun dari langit sambil kita bersenang-lenang dan bergoyang kaki di rumah. Usaha dan tawakkal, itulah kunci utama dalam pemberian rahmat dan rezeki dari Allah SWT. Amat beruntung bagi mana-mana antara anda yang terus mendapat peluang pekerjaan sejurus tamat intern, mungkin kerana prestasi anda yang cukup bagus di tempat intern, maka anda ditawarkan terus sebagai pekerja tetap di sesebuah organisasi. Itulah dinamakan rezeki yang telah Allah tetapkan untuk anda hasil usaha anda bertungkus-lumus dan bersungguh-sungguh untuk belajar ketika menjalani internship.

Berikut saya senaraikan beberapa perkara yang perlu anda lakukan sejurus saja tamat menjalani internship. Saya kongsikan tips ini kerana saya tidak mahu anda melengahkan masa anda di rumah semata-mata sementara menanti hari graduasi. Bagi saya, mencari kerja selepas graduasi lebih menyukarkan anda kerana anda akan bersaing dengan beribu-ribu graduan lain diseluruh negara. Jadi, usaha dari sekarang!  

1. Mengemaskini CV/resume


Mengemaskini CV/resume perlu menjadi tindakan pertama anda sejurus tamat internship kerana resume ini sangat penting ketika permohonan kerja dibuat. Bahagian pengalaman kerja (experience) perlu dikemaskini supaya resume anda adalah yang terkini ketika memohon sesuatu pekerjaan. Usai intern, update bahagian experience dan senaraikan satu-dua aktiviti yang anda lakukan ketika menjalani internship (Tips Buat Resume).

2. Memanfaatkan internet dengan mencari maklumat kerja


Manfaatkan kemudahan internet untuk mencari maklumat dari segenap aspek mengenai syarikat-syarikat yang anda berminat untuk bekerja. Anda boleh melayari laman JobStreet yang sememangnya merupakan laman terbaik untuk anda membuat bancian terhadap kerjaya yang anda minati. Selain itu, taip saja di Google Search apa yang anda ingin tahu dan semuanya akan dibentangkan kepada anda tidak sampai sesaat! Mudah kan? 

Sebenarnya banyak cara yang anda boleh buat hanya dengan menggunakan internet ini. Semuanya di hujung jari. Saya dapat kerja lebih kurang 3 bulan sebelum bergraduasi dan hanya melalui Google Search! 

3. Menghantar permohonan kerja kepada syarikat-syarikat (email, byhand, etc.)


Jika anda sudah berkenan kepada mana-mana syarikat, bolehlah menghantar e-mail permohonan kerja anda (Tips Memohon Kerja Melalui E-mail). Usaha dulu, dapat tak dapat itu belakang cerita. Yang penting, banyakkan berdoa kepada Allah SWT agar usaha anda membuahkan hasil dan permohonan anda diterima dengan baik oleh bakal majikan. 

4. Banyak bertanya kepada saudara-mara, ibubapa dan rakan-rakan mengenai peluang kerjaya dimana-mana sektor


Banyak bertanya adalah antara langkah yang bijak ketika ingin memilih atau memohon kerja dimana-mana sektor/bidang yang anda mahu. Sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 216, mafhumnya :

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.

Dalam konteks ayat ini, kita mungkin benar-benar berminat untuk menceburi sesuatu bidang tersebut, tetapi boleh jadi ia tidak baik buat kita. Jadi, banyakkan bertanya kepada insan sekeliling anda supaya anda akan dapat buat kesimpulan yang jitu sebelum membuat keputusan akhir. Pandangan orang sekeliling adalah penentu kepada keputusan masa depan anda. Seperti contoh, kerja-kerja yang kudratnya hanya sesuai untuk lelaki, tetapi anda sebagai wanita sangat bercita-cita untuk menyertai kerjaya tersebut. Insan sekeliling menasihatkan agar anda mencuba kerjaya lain yang lebih sesuai dengan sifat seorang wanita yang lemah lembut dan mempunyai bentuk fizikal yang lebih halus dari lelaki. 

5. Elakkan dari terlalu memilih kerjaya - apa yang ada didepan anda, rebut!


Ini merupakan satu perkara yang sangat penting bagi para graduan yang bakal atau baru saja bergraduasi. Terlalu memilih kerja akan membuatkan anda terus kehilangan kerja. Kenapa saya berkata demikian? Ini kerana melalui pengalaman saya sendiri sebagai graduan Teknologi Kimia Industri, saya sepatutnya bekerja dibidang saya belajar dulu. Pada permulaan saya memohon kerja, saya banyak memohon bidang yang saya belajar. Tetapi, tawaran kerja yang saya dapat kebanyakkannya 'lari bidang'. Saya tanpa menolak, terus menerima tawaran tersebut. Ini kerana saya percaya inilah rezeki dari Allah SWT. 

Jika kita ditawarkan ke bidang yang lain dari kita belajar di kolej atau universiti dulu, sebenarnya Allah SWT menyediakan kita untuk mempelajari satu ilmu baru dalam kehidupan kita. Seharusnya peluang sebegini tidaklah dilepaskan oleh para graduan begitu saja. Sudahlah kerja susah nak dapat, boleh pula memilih kerja. Jadi langkahnya, terima saja dulu dan harungi bidang tersebut beberapa tahun sebagai satu pengalaman. Kumpul pengalaman kerja yang bisa mematangkan anda, dan selepas itu barulah anda cuba untuk kembali kepada bidang yang anda minati. Proses ini akan jadi lebih mudah kerana anda sudah ada beberapa tahun pengalaman kerja, kerana kebanyakkan syarikat-syarikat besar lebih cenderung untuk mengambil pekerja yang berpengalaman.

Ingat, jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran pula.

Lari bidang bila bekerjaya itu perkara biasa. Berapa ramai rakan-rakan saya yang ketika belajar bidang lain, bila kerja bidang lain. Jadi, usah takut. Rebut rezeki didepan anda!

6. Buat latihan temuduga depan cermin


Temuduga merupakan satu proses suai kenal antara majikan dan bakal pekerjanya sebelum majikan mengambil keputusan untuk memilih bakal pekerjanya . Proses ini berlaku secara formal dan penuh tertib. Resume hanya pengenalan ringkas tentang diri anda diatas sehelai kertas, tetapi temuduga adalah proses pengenalan yang lebih lanjut berkenaan diri anda. Sebab itu, ketika di kolej atau universiti, badan kaunseling selalu menganjurkan slot untuk mempelajari tips-tips temuduga. Slot-slot ini seharusnya anda ikuti supaya persediaan anda untuk menghadapi temuduga sebenar adalah lebih baik. Walaubagaimanapun, bagi yang tak pernah ikuti slot-slot sebegini, anda boleh taip apa saja berkaitan temuduga di laman YouTube dan Google untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tatacara temuduga yang boleh membuatkan bakal majikan impress dengan anda.

Saya ingin berpesan, jaga baik-baik first impression kepada bakal majikan ketika anda hadir temuduga. Ini sangat penting supaya bakal majikan yakin dengan cara anda. Banyakkan berlatih temuduga didepan cermin atau meminta salah seorang rakan anda berlakon menjadi penemuduga anda. Insyaallah, dengan persediaan yang jitu ini, anda layak diterima bekerja!

7. Kerjaya VS sambung belajar


Samada anda ingin terus bekerjaya atau sambung belajar, ianya terpulang kepada anda. Apa yang harus anda lakukan seusai tamat intern adalah merancang dan membuat keputusan terbaik dalam hidup anda. Banyakkan berbincang bersama para pensyarah mengenai peluang anda untuk sambung belajar dan bertanya insan sekeliling anda samada anda patut terus bekerja atau sambung belajar. Ada pro dan kon antara kedua-duanya dan pilihlah yang lebih banyak memberi kebaikan kepada anda. Lain orang, lain pandangannya.

Buat keputusan awal bagi mengelakkan anda terlambat dalam membuat keputusan demi masa depan anda. Buat keputusan selepas bergraduasi adalah langkah yang kurang bijak, jadi mulakan sesi perbincangan tersebut dari sekarang.

***
Alhamdulillah, usia pekerjaan saya kini sudah 10 bulan sejak mula bekerja pada Ogos tahun lepas. Saya telah melakukan kesemua 7 langkah diatas sebelum saya mendapat peluang kerja ini. Apa yang saya kongsikan ini mungkin berbeza dengan perkongsian orang lain. Ini kerana lain orang lain caranya. Saya hanya berkongsi pengalaman saya sendiri demi kebaikan adik-adik saya yang akan datang terutamanya adik-adik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 

Insyallah, sesuai dengan peredaran masa, saya akan cuba berkongsi beberapa tips lain yang dirasakan penting dan bermanfaat untuk adik-adik diluar sana pada masa akan datang. Jika terdapat sebarang persoalan atau cadangan tips yang boleh dikongsikan, boleh terus menghubungi saya di 013-3087500 (whatsapp). 

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::

~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~



2 comments:

  1. Salam,nice sharing info bro..sy baru hbis study n akan intern pd bulan 2 ni...sy nk tya pndpat bro lah yg lagi senior dr sy..huhu apa yg prlu sy lkukan slps intern...sma ada apply for master or looking some jobs? Pda pndpat bro lah...tq

    ReplyDelete
  2. Salam,nice sharing info bro..sy baru hbis study n akan intern pd bulan 2 ni...sy nk tya pndpat bro lah yg lagi senior dr sy..huhu apa yg prlu sy lkukan slps intern...sma ada apply for master or looking some jobs? Pda pndpat bro lah...tq

    ReplyDelete