Saturday 20 July 2013

.: cerpen : cinta Ramadhan :.

Angin petang itu sepoi-sepoi bahasa. Suasana sekitar tasik itu cukup menenangkan. Kicauan burung-burung saling bersahutan antara satu sama lain. Qassam merenung jauh ke hujung tasik yang berada di hadapannya, keseorangan. Dia sedang memikirkan sesuatu. Dia sedang memikirkan mengenai hubungannya dengan Rabi'ah.


Kali ini Qassam yakin ikatan pertunangannya dengan Rabi'ah akan berjalan dengan lancar, malah lebih lancar dari bulan-bulan sebelum Ramadhan. Kurang dari sebulan lagi, mereka akan melangsungkan majlis akad nikah mereka.

Jika di bulan-bulan sudah, Qassam tidak dapat menahan gelora jiwanya untuk menghubungi Rabi'ah walhal jelas sekali ikatan pertunangan mereka adalah sebuah ujian bagi hati-hati mereka. Perasaan ingin memiliki sangat meluap-luap dalam diri Qassam. Rabi'ah pula sangat memahami hati tunangnya itu. Dia tidak mampu mengelak untuk tidak menghubungi Qassam dan pantas sekali membalas segala mesej-mesej cinta Qassam padanya. Dia tahu, jika dia mengelak, hati Qassam pasti terluka. Dia mengerti, Qassam sensitif orangnya dan memerlukan perhatian yang lebih.

Rabi'ah pula seorang yang amat lembut hatinya. Mudah tersentuh dan sama-sama sensitif seperti Qassam. Namun, Rabi'ah lebih yakin akan perasaan hatinya terhadap Qassam berbanding Qassam yang sepertinya tidak seberapa yakin. Ketidakyakinan Qassam itulah yang menyebabkan dia merasakan perlu menghubungi Rabi'ah hampir setiap hari untuk menguatkan hati dan jiwanya. Dia menggunakan alasan ini untuk menghubungi Rabi'ah.

Ramadhan ini, Qassam dan Rabi'ah langsung tidak berhubungan antara satu sama lain. Mereka sudah menitip janji untuk lebih menjaga hati ketika bulan Ramadhan ini. Cadangan ini dikemukakan sendiri oleh Qassam kepada Rabi'ah, dan Rabi'ah menerima cadangan itu dengan senang hati. Rabi'ah bukan tidak mahu menegur tindakan Qassam yang asyik dan terlalu mengingatinya sehingga hampir setiap hari perlu berhubung, tetapi jiwa Rabi'ah yang lembut itu yang tidak sampai hati melihat Qassam makan hati dengan tegurannya. Dia sangat memahami Qassam.

*****



"Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk."


(Al-Isra': ayat 32)

" Aku tak boleh biarkan perasaan aku selalu macam ni. Aku tahu Rabi'ah pun tak suka aku selalu sangat contact dia. Macam mana ni Atha' ? ", tanya Qassam kepada sahabat baiknya, Atha'. Atha' selalu bersama Qassam walau kemana Qassam pergi. Mereka seumpama adik-beradik kandung yang sangat rapat. Ukhwah antara mereka yang terbina sejak zaman sekolah rendah itu tidak pernah luntur meskipun mereka sudah menginjak umur dewasa. Qassam hanya mempercayai Atha' sebagai sahabat baiknya, sebab itu apa-apa saja masalah Qassam yang mampu dikongsi, dia hanya akan berkongsi dengan Atha', tidak dengan kawan-kawan yang lain.

" Aku rasa kau kena tahan perasaan kau ni. Dah tak lama dah ni kau akan bernikah. Sabarlah sikit. Aku faham apa kau rasa walaupun aku tak pernah bernikah lagi. Aku tahu macam mana perasaan orang yang nak nikah ni. Abang-abang aku banyak bercerita mengenainya", balas Atha' tenang, sambil memegang bahu Qassam yang sedang bermuram durja. Mereka selalu meluangkan masa bersama jika Qassam atau Atha' ada permasalahan yang ingin dibincangkan. Tempat pertemuan mereka sudah ditetapkan sejak dulu, di depan tasik buatan yang terletak kira-kira 5 kilometer dari rumah Qassam. Mereka memilih lokasi itu kerana suasananya yang cukup tenang, jauh dari hiruk-pikuk kota.

" Aku dah lama fikirkan perkara ni, tapi tak tahu la macam mana kan. Ramadhan kan nak dekat dah, jadinya aku plan taknak contact Rabi'ah langsung. Apa pendapat kau?", tanya Qassam sambil memandang dengan penuh minat kepada Atha'. Dia mengharapkan jawapan bernas keluar dari bibir sahabat baiknya itu. Dia selalu meminta pandangan Atha' kerana Atha' lebih memahami perasaan hatinya.

" Aku rasa idea kau tu sangat baik untuk hubungan kau dengan Rabi'ah. Kalaulah kau buat macam ni lama dulu, jauh lebih baik hubungan pertunangan kau dengan Rabi'ah tau", balas Atha' tersenyum.

" Ramadhan ni, kau kena azam, kena tinggalkan semua perkara yang kau buat sebelum Ramadhan. Kau kena tahan diri kau dari hubungi Rabi'ah. Jangan call dia, mesej dia, tegur dia di FB ke, jangan. Cubalah tahan untuk sebulan ni saja. Lagi pun, Syawal nanti kan kau dah nikah. Aku cuma nak tengok kau happy je Qas, tak lebih dari tu. Aku nak kau meniti hubungan pertunangan kau ni penuh bersyariat. Ianya tak lebih untuk menjaga hati kita yang lemah ni Qas. Allah akan lebih suka jika kau melayari bahtera cinta kau dalam keadaan terbatas selagimana belum halal bagimu untuk berbuat demikian", tambah Atha'.

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang berlaku ke atas anak-anak Adam. Mata itu zinanya pandangan, telinga itu zinanya mendengar, lidah itu zinanya ucapan, tangan itu zina melakukan kekerasan, kaki itu zinanya langkah, dan hati itu mengharap dan berkeinginan, dan mengiyakannya kemaluan ataupun mendustakannya."


(Hadis Riwayat Muslim)

Lama Qassam merenung. Dia mulai mengerti maksud yang ingin disampaikan sahabat baiknya itu.

" Ye Atha', aku faham sangat-sangat apa yang kau cakap tu. Aku tahu, inilah yang selama ini Rabi'ah nak aku buat. Aku tau sebab keluarga dia selalu cakap pasal ni kat aku. Keluarga dia sampaikan kat aku sebab Rabi'ah tak sampai hati nak tegur aku direct. Terima kasih Atha' atas cadangan dan nasihat kau yang amat bernas tu, terima kasih", balas Qassam tersenyum. Dia tahu persahabatannya dengan Atha' ini sangat bermakna apalagi Atha' tidak pernah lelah untuk memberinya nasihat walaupun nasihat itu sering berulang kali keluar dari bibirnya.

" Takde apelah, Qas. Aku cume menjalankan amanah aku sebagai sahabat je. Nak maghrib dah ni, jom balik", balas Atha' tersengih.

*****

" Rabi'ah, Qassam ada hubungi kamu lagi ke sekarang?", tanya Puan Kalthum, umminya Rabi'ah. Mereka sedang berada di dapur untuk menyediakan juadah berbuka puasa.

" Hmm, sekarang dah takde, ummi. Kami dah pakat untuk sama-sama menahan diri kami dari berhubungan lagi. Qassam sendiri yang mencadangkannya, ummi.", balas Rabi'ah penuh lembut sambil menyusun pinggan dan cawan diatas meja makan.

" Alhamdulillah. bukan apa, ummi risau tengok kalian berdua, sepertinya hanyut dalam cinta. Sepatutnya itu tak boleh terjadi. Tempoh pertunangan bukan tiket untuk kalian sering bersama walaupun dalam jarak yang jauh macam ni. Ummi harap kamu faham ya, tapi bila ummi dengar Qassam yang cadangkan macam tu, ummi lega", balas Puan Kalthum yang sedang memotong kepingan mertabak yang baru dibeli mereka di Bazaar tadi.

" Kenapa ummi lega bila Qassam yang cadangkan?", tanya Rabi'ah ingin tahu.

" Ye la, kan sebelum ni Qassam yang selalu memulakan contact dengan kamu. Tapi kali ni, ummi tengok sepertinya Qassam dah sedar silapnya, itu yang dia cadangkan agar kalian tidak berhubungan. Ini satu kejayaan buat diri Qassam, dan satu ketenangan buat kamu kan?", jawab Puan Kalthum sambil tersenyum memandang Rabi'ah.

" Ya ummi, Rabi'ah tenang sangat sekarang. Ummi doakan ye, moga majlis pernikahan Rabi'ah dengan Qassam berjalan lancar nanti", bicara Rabi'ah penuh pengharapan. Puan Kalthum tersenyum, mengangguk tanda mengiyakan permintaan Rabi'ah.

*****

Nafsu mereka kini lebih terdidik. Ramadhan ini benar-benar menyentuh jiwa mereka dalam-dalam. Hampir setiap malam, mereka bangun untuk solat malam bagi menghadirkan rasa cinta mereka kepada Allah SWT, Tuhan yang memberi cinta kepada Qassam dan Rabi'ah. Mereka yakin, tanpa meraih cinta Allah SWT, apalah ertinya cinta mereka berdua kerana cinta yang hakiki itu datangnya dari mencintai dengan sepenuh hati, hanya kepada Allah SWT dan RasulNya.


"Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu."


(As-Syams: ayat 9)

Qassam telah banyak menjinakkan nafsu dengan memperhebat hafalan Al-Qurannya, zikir, dan solat malam. Ternyata, dia benar-benar menemui kebahagiaan abadi bersama Allah SWT. Kebahagiaan yang tidak pernah dirasakan sebelum ini, membuatkan hati kecilnya menangis memberontak atas penyesalannya kerana tidak memanfaatkan bulan-bulan sebelum ini sepertimana berada di bulan Ramadhan ini. Dia benar-benar menyesal kerana kebahagiaan sementara yang dirasai sebelum ini, ketika melayari cinta bersama Rabi'ah sepertinya tidak ada isi, kosong dan lompong! Dia tahu iblis dan konco-konconya telah dibelenggu, maka di kesempatan inilah, dia memanfaatkan sebaiknya untuk melatih diri menjadi lebih kuat dan lebih tenang untuk beribadat.

" Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah tersalah menyalurkan rasa cintaku sebelum ini. Aku telah melebihkan rasa cintaku kepada makhlukMu, berbanding rasa cintaku kepadaMu. Aku memohon keampunanMu Ya Allah akan segala dosa-dosaku selama ini. Aku menyesali akan keterlanjuranku dengan Rabi'ah sebelum ini. Aku telah mengusik hatinya dengan kata-kata cintaku padanya. Tidak sewajarnya aku melakukan yang demikian, maka ampunilah aku. Lancarkanlah majlis akad nikah kami nanti Ya Allah. Perkenanlah permintaanku ini Ya Allah. Aaamin Ya Rabbal Aalamin ".

Airmata Qassam tidak terbendung lagi, ditikar sejadah itu lah ia menitik satu persatu. Tikar sejadah itu kini menjadi penyaksian akan tingginya kecintaan dia kepada Allah SWT saat itu. Diwaktu dinihari itu, dia merasakan amat dekat dengan Allah SWT, ketika insan lain sedang enak dibuai mimpi-mimpi indah sehingga ada yang terlanjur waktu sahur dan terkandas Subuh.

Rabi'ah turut bangun malam pada waktu yang hampir sama dengan bangunnnya Qassam. Solat malamnya sentiasa diiringi dengan solat sunat istikharah. Sejak hari pertama mengenali Qassam dan bertunang dengannya, Rabi'ah istiqamah menunaikan solat istikharah. Tidak ada hari yang dia tinggalkan melainkan keuzuran wanitanya hadir. Rabi'ah tidak pernah berhenti mengucapkan rasa syukurnya kepada Allah SWT kerana doanya selama ini termakbul, doanya agar Allah SWT menyentuh lembut hati Qassam dan membuatkan dia menyedari akan kesalahannya. Dia sangat yakin nusrah Allah pasti akan hadir untuk menyelamatkan rasa cinta antara mereka, lebih-lebih lagi rasa cinta Qassam padanya. Cadangan Qassam untuk tidak menghubunginya dalam bulan Ramadhan ini benar-benar membuatkan jiwanya tenang. Keakraban hubungannya dengan Allah SWT benar-benar membuatkan dirinya menjadi seorang yang sabar.


"Wahai orang beriman, jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah s.w.t. bersama orang yang sabar."

(Al-Baqarah: ayat 153)


Qassam dan Rabi'ah benar-benar mahu hati dan jiwa mereka terdidik sempurna dan selepas Ramadhan ini , mereka ingin menjadi pasangan yang paling bahagia hasil asuhan 'cinta Ramadhan' ini.

"Ya Allah, aku memohon cintaMu dan cinta orang yang mencintaiMu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cintaMu. Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih aku cintai daripada diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk (ketika panas terik)."


(Hadis Riwayat Tirmizi)

*****

" Atha', aku rasa makin tenang sekarang. Tak tahu nak gambarkan macam mana ketenangan aku sekarang.", kata Qassam penuh semangat dihujung telefon bimbitnya.

" Betul ke Qas? Alhamdulillah, aku tumpang gembira untuk kau. Inilah ketenangan yang kau cari selama ni kan? ", tanya Atha' ingin penjelasan. Sayup saja kedengaran pertanyaan Atha'. Jarak rumah Qassam dan Atha' tidaklah sejauh mana, namun masalah itu datangnya dari telefon bimbit Qassam yang sudah terlalu lama digunakan. Banyak aplikasi telefon bimbitnya sudah rosak dan tidak lagi berfungsi.

" Benar Atha', inilah ketenangan abadi yang aku inginkan selama ni. Sejujurnya, sebelum ni aku rasa tak tenteram je hidup aku. Buat itu, rasa lain. Buat ini, rasa lain. Haru biru jadinya hidup aku. Memanglah rasa bahagia bila dapat mesej orang yang aku sayang, tapi jauh sudut hati, memang tak tenang sebenarnya. Aku malu nak cakap kat Rabi'ah pasal apa yang aku rasa selama ni ", balas Qassam panjang lebar.

" Sekarang baru kau rasa kan? Baguslah. Alhamdulillah, inilah kurniaan Allah buatmu, Qas. Dulu, Allah datangkan perasaan cinta yang mendalam terhadap Rabi'ah sebab nak uji kau, samada kau akan lebihkan rasa cinta kepadaNya atau kepada Rabi'ah. Ternyata, pilihan kau adalah kerana nafsu ingin memiliki Rabi'ah. Kau terlalu melayani cinta kau lebih dariNya, walhal Allah lah yang menganugerahkan rasa cinta itu kepada kau. Kini, kau dah mula sedar. Aku sebagai sahabatmu turut berbangga dengan perubahanmu, Qas. Tahniah, kau dah berjaya hadapi ujian ini", bicara Atha' yang sememangnya mahu melihat sahabatnya itu tenang dan bahagia.

" Alhamdulillah, aku dah mulai sedar, Atha'. Terima kasih banyak-banyak kat kau sebagai kau setia untuk sokong aku. Terima kasih sebab sudi bantu aku tika aku memerlukan bantuan seorang sahabat. Aku bangga punya sahabat seperti kau", kata Qassam sambil tersenyum.

" Oh ya, insyaallah, minggu depan jangan lupa ya. Kau tak datang, memang silaplah", tambah Qassam diiringi gelak tawa berdekah-dekahnya.

" Insyaallah Qas, aku semestinya akan hadir ke majlis akad nikahmu. Kawan baik aku kan, wajiblah keatas aku untuk hadir. Aku nak tengok depan mata kebahagiaan kau dan Rabi'ah", balas Atha' , turut ketawa berdekah-dekah.

Keakraban Qassam dan Atha' sememangnya sudah seperti adik-beradik kandung yang sukar terpisah. 

*****
" Ummi, dua hari lagi Rabi'ah bakal jadi milikan Qassam. Ummi doakan kelancaran majlisnya ya. Jujur, Rabi'ah takut sangat. Sedih pun ada. Rabi'ah bakal berpisah dengan ummi. Hmm..", kata Rabi'ah sambil menelek-nelek baju pengantinnya yang bakal disarungkan dua hari lagi.

" Rabi'ah, usahlah kamu risau. Takde ape yang perlu kamu risaukan. Ummi yakin Rabi'ah akan lebih bahagia dengan Qassam lepas ni sebab Rabi'ah kan dah temui cinta hakiki. Ramadhan yang lepas jadi saksi untuk cinta kamu. Allah dah susun semuanya untuk kamu. Allah masih sayangkan kamu dan Qassam, sebab itu Allah tetapkan hati kalian untuk kekal bersama sehingga ke dua hari lagi", balas Puan Kalthum yang sedang duduk di birai katil sambil memerhatikan Rabi'ah.

" Betul ummi, Rabi'ah bersyukur sangat-sangat. Allah tetapkan hati kami. Allah dah ikat hati kami agar lebih kuat. Sebelum Ramadhan dulu, Rabi'ah rasa tak tenang sangat, rasa tak yakin sebab selalu sangat berhubungan. Bila masuk Ramadhan, Rabi'ah mintak sungguh-sungguh pada Allah supaya Allah kuatkan cinta kami. Ternyata Allah beri keyakinan yang tinggi kepada Rabi'ah selepas Rabi'ah rasa ketenangan dalam hati ketika akrab dengan Allah di malam hari, ummi", kata Rabi'ah sambil memandang umminya. Airmatanya mula mengalir perlahan.

" Rabi'ah, Allah itu tetap akan mengotakan janjiNya kepada hamba-hambaNya yang Dia kehendaki. Kamu dah minta sungguh-sungguh pada Allah, malah kamu buktikan pula dengan rasa cinta yang menggunung terhadapNya, mana Allah tak beri serta-merta. Bersyukurlah pada Allah kerana Allah sapa jiwa kita dengan lembut agar kita tak lupa pada pemberian dan nikmatNya. Inilah penangan 'cinta Ramadhan'. Kalian sudah semakin yakin dan kuat untuk meneruskan segala perancangan dan memenuhi tuntutan sunnah Nabi kita. Ummi akan selalu doakan kalian", balas Puan Kalthum sambil mendekati Rabi'ah yang sudah menangis perlahan.

" Terima kasih ummi atas doa ummi selama ni..", jawab Rabi'ah perlahan sambil mengusap matanya yang sudah merah kerana tangisan yang datang dari hati yang tersentuh itu. Sungguh, Rabi'ah seorang yang berjiwa lembut dan mudah sangat tersentuh.

"Dan Tuhanmu berfirman, 'Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu."


(Ghafir: ayat 60)

*****

10 Syawal 1434H

" Aku terima nikahnya dengan Rabi'ah al-Adawiyah binti Mahmud dengan maskahwin sebanyak tiga ratus ringgit tunai ".

"Tidak terlihat antara dua orang yang saling mencintai (sesuatu yang sangat menyenangkan) seperti pernikahan."


(Sunan Ibnu Majah)



Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri daripada jenis kalian sendiri, supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya. Dan Dia jadikan di antara kalian rasa kasih dan sayang.

(Ar-Ruum: ayat 21)


kebahagiaan dan ketenangan abadi itu terlahir dari jiwa-jiwa yang mendamba cinta Ilahi.
semakin kuat rasa cinta itu, semakin tenang kehidupan manusia, semakin bahagia mula terasa.


cerpen nukilan : Muhammad Ubaydullah bin Khairuddin (ibnkhayr).




:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

8 comments:

  1. abg ubai,,cerpen abang perlukan sedikit konflik dan klimaks,prlu plot cerita yg mantap..apapun,,good try,,keep it up..tulisan sebagai wadah baru dalam berdakwah insyaallah,

    ReplyDelete
  2. keep up the good work!! semoga cerpen ini dpt menjadi ibrah buat kita semua.. satu permulaan yg baik.. in sya Allah..

    ReplyDelete
  3. Cerpen yg sangat2 skema...jalan ceritanya membosankan, takde konflik langsung. Dialognya pula skema dan tak realistik..baru baca perenggan pertama dan jemu.Nama watak pulak Islamik sgt, qassam la, atha la, rabiah la..ni mesti terpengaruh dgn novel2 Fatimah Syarha dan Hilal Asyraf ni.. Bakat menulis tu ada cuma perlu diasah lg. Dan sila cari identiti dan gaya penulisan sendiri.. Saya cadangkan saudara baca jgk novel thriller karya Ramli Awang Murshid..itu terbaik..jgn terikat dgn Fatimah Syarha dan Hilal je..

    ReplyDelete
    Replies
    1. kerasnya kritikan saudara. tak mengapa, ana terima secara berlapang dada. nama pun percubaan jadi khilaf itu pasti ada.

      sejujurnya, ana tak pernah membaca novel-novel karya Fatimah Syarha atau Hilal Asyraf. inilah gaya penulisan ana sendiri.

      apa pun jazakallah atas komentar membina saudara.

      Delete
  4. biasala cerpen orang protokol mmng bahasa skema pn, haha

    ReplyDelete
  5. Salam.....

    Alhmdulillah...cerpin islamik yg ad motif. percubaan yg baik...cuma perlu di perbaiki dr segi jln cerita, biar lebih menarik. pembaca suka pd jalan cerita yg ad tanda tnya utk thu ape yg berlaku seterusnya. lebihkan konflik dan klimaks insyaALLAH pasti lebih menarik...good luck!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. insyaallah, akan cuba diperbaiki. syukran atas komentar. =)

      Delete