Showing posts with label Isu-isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu-isu Semasa. Show all posts

Sunday, 14 July 2013

.: Syria dan Palestin adalah jasad yang satu :.

Hubungan Diplomatik Mesir-Syria.

Baru-baru ini, seluruh dunia gempar dengan tindakan dan keputusan Dr. Morsi, Presiden Mesir untuk memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Syria. Ada negara-negara yang memuji tindakan berani dan bijak beliau, ada juga yang menyanggah dan mengeji tindakan Dr. Morsi itu.

Antara ucapan Dr. Morsi,

“Kepada Hizbullah, mestilah ia keluar dari Syria. Ini kata-kata serius. Tiada peluang dan tempat bagi Hizbullah di Syria. Hari ini kita (Mesir) telah membuat keputusan. Untuk memutuskan sepenuhnya hubungan dengan Syria. Hari ini kita (Mesir) telah membuat keputusan. Untuk memutuskan sepenuhnya hubungan dengan kerajaan Syria yang ada sekarang. Ditutup Kedutaan Syria di Kaherah. Ditutup kedutaan kerajaan Syria sekarang yang ada di Kaherah. Dan akan menarik balik wakil Kedutaan Mesir di Damsyik.”

Ada yang mempersoalkan tindakan Dr. Morsi memutuskan hubungan diplomatik dengan Syria tetapi masih mengekalkan hubungan dengan Israel.


 Jawapannya adalah seperti berikut:

Hubungan diplomatik di antara Mesir dan Syria tidak sama dengan perjanjian damai  'Camp David Accord' di antara Mesir dan Israel.

Adalah hak mana-mana negara yang berdaulat untuk mengadakan mana-mana hubungan diplomatik dengan negara lain, dan berhak pula untuk memutuskan atau menamatkan hubungan tersebut. Tidak ada pihak ketiga yang boleh memaksa atau menghalang untuk sesebuah negara menjalin atau memutuskan hubungan diplomatik dengan negara lain.

Hubungan yang wujud di antara Mesir dan Israel bukan hubungan diplomatik biasa tetapi hubungan yang terhasil dari sebuah perjanjian antarabangsa 'Camp David Accord' yang telah ditandatangani oleh Mesir (Anwar Sadat) dan Israel (Menachem Begin) pada tahun 1978 yang di'broker' atau dimudah cara (lebih tepat diawasi/dipantau) oleh US. Ia adalah satu perjanjian yang mengikat dan meletakkan Mesir sebagai sebuah negara yang tidak akan menggugat keselamatan Israel. Ia adalah satu perjanjian yang dikuatkuasakan oleh US dan dipantau oleh EU. Ia adalah produk sejarah ketika Mesir berada di bawah telunjuk dan menjadi proxy US di timur tengah dengan pakej ekonomi yang hanya menguatkan cengkaman pemerintahan totalitarian (dictatorship) sejak dari zaman Anwar Sadat sehingga tumbangnya Hosni Mubarak di tangan rakyat Mesir. Seandainya Dr. Morsi tidak bijak dan melakukan tindakan yang sama, memutuskan hubungan dengan Israel ketika ini bermakna Mesir telah mengisytiharkan perang dengan Israel dan keadaan jauh lebih teruk daripada apa yang berlaku di Syria dan Palestin.

Rumusan terjemahan Artikel II dari Camp David Accord adalah seperti berikut:

" Sempadan Mesir dan Israel adalah sempadan antarabangsa yang kekal dan diiktiraf. Pengistiharan ini tidak menyentuh persoalan negeri Gaza. Kedua pihak (Mesir & Israel) akan menghormati kedaulatan wilayah satu sama lain.."

Perjanjian Camp David ini dilihat amat berat sebelah dan ini boleh dibuktikan pada peruntukan berikut:

" Israel diberi hak untuk menggunakan terusan Suez dan pintu masuk di Teluk Suez, Laut Mediterranean, Selat Tiran dan Teluk Aqaba.."

Ketika Presiden Morsi memenangi Pilihanraya Presiden, antara kenyataan awal beliau ialah berkaitan dengan perjanjian damai Mesir dan Israel. Beliau dengan tegas mengatakan bahawa meskipun Mesir mengakui Perjanjian Camp David namun ia tidak bermakna Mesir baru bersetuju dengan syarat perjanjian yang merugikan Mesir dan Palestin. Beliau berikrar untuk melihat Mesir bebas dari belenggu yang mengikat batang lehernya. Namun ia tidak boleh diselesaikan hanya dengan membatalkan perjanjian tersebut secara sehala. Semoga dengan kesempatan-kesempatan politik dan perubahan sosio-politik timur tengah satu hari nanti akan melihat perjanjian damai Camp David dibatalkan atau syarat-syaratnya dipinda sehingga Mesir mempunyai hak untuk menentukan hala tuju hubungan Mesir -Israel termasuklah kemungkinan besar memutuskan hubungan diplomatik dengan entiti zionis tersebut secara mutlak.

Tidak Peduli Syria, Khianat Palestin.

Setelah menerangkan secara panjang lebar mengenai persoalan hubungan diplomatik Mesir-Syria dan Mesir-Israel, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor, Pengerusi Aqsa Syarif kemudiannya menekuni slide beliau, satu persatu slide yang agak tak penting dilajukan sehinggalah tiba ke slide yang menunjukkan gambar beberapa orang kanak-kanak Syria yang mati dibunuh.  

"gambar-gambar ni semua antum dah biasa tengok kan, tak perlu tunjuk lah kan".

Kami tersenyum. Dr. Hafidzi menyambung," dah takde dah kes buang bayi dilaporkan dalam media sekarang, adakah sudah tidak ada kes buang bayi di negara ni? bila kita dah jadi 'mangli', that's a very big problem, very very big problem".

Dr. Hafidzi menyatakan bahawa masyarakat sekarang sudah tidak peduli mengenai isu-isu yang agak serius dan kritikal sehingga mereka menjadi lali dan menganggap ianya hanya perkara biasa-biasa saja.

Beliau terus membuka slide seterusnya yang menceritakan perihal latarbelakang isu Syria.

Jumlah kematian yang disahkan sehingga ke hari ini adalah sebanyak 93,000 kematian manakala 38,000 lagi kematian tidak dapat disahkan [ sumber  : UN HRC - The UN Refugee Agency] . Jika 38,000 kematian itu dapat disahkan, bermakna jumlah keseluruhan kematian rakyat Syria terkini adalah sebanyak hampir 131,000 kematian.

Pelarian diluar Syria pula sudah hampir mencecah satu juta termasuk mereka yang kehilangan tempat tinggal dan menjadi pelarian dalam Syria. Jumlah kediaman penduduk Syria yang musnah adalah sekitar 3.2 juta.

'Gabungan Selamatkan Syria' yang terdiri daripada 30 pertubuhan bukan kerajaan telah mengadakan sidang akhbar petang semalam dan menyatakan mengenai satu usaha terbaru untuk mengajak orang ramai agar memboikot kurma Iran sebagai salah satu langkah memberi tekanan kepada kerajaan Iran yang menyokong tindakan rejim Basyar Assad dengan menghantar beribu-ribu tentera ke Syria. Kempen boikot kurma Iran ini diadakan bersempena menjelangnya bulan Ramadhan yang akan disambut oleh seluruh umat Islam bermula 9 Julai ini.


Syria adalah salah satu ciptaan kuasa kolonial barat. Akibat kuasa kolonial barat, bumi suci yang dahulunya dikenali dengan nama bumi Syam dipisah-pisahkan sehingga menjadi beberapa zon atau negara seperti Palestin, Lubnan, Mesir , Syria dan lain-lain. Jika kita ingin berbicara mengenai isu Syria, rujuklah terma yang benar dan tepat iaitu terma daripada Al-Quran dan Hadis Nabi SAW yang menyatakan bahawa seluruh negara-negara yang terpisah itu asalnya adalah satu negara yang digelar 'Syam' didalam Al-Quran dan Hadis. Jika kita melihat dari sudut ini, kita tidak akan nampak sebarang perbezaan diantara isu Palestin dan isu Syria kerana kedua-duanya adalah 'Biladus-Syam'.
Jika kita merujuk kepada terma kolonial barat, kita cenderung mengatakan isu Palestin dan isu Syria bukanlah isu yang sama walhal nyata didalam Al-Quran bahawa kedua-dua negara ini adalah bumi Syam yang satu.

" Maka, bagi sesiapa yang tidak ambil peduli mengenai isu Syria bermakna dia telah menghina dan mengkhianati Palestin, mana mungkin kita boleh memisahkan kedua-duanya", tegas Dr. Hafidzi.

Demografi Syria.

9 % Nusayriah (Syiah Alawiy), 10% Kristian , 3% Druze, 78% Muslim (Sunni).

Siapa Nusairiyah?

Nusairiyah merupakan agama baru yang lahir 200 tahun selepas wafatnya Rasulullah SAW – pengasasnya bernama Ahmad Nusairiy. Agama ini menggabungkan ajaran Islam, Kristian dan Pagan. Persamaannya dengan Syiah ialah turut mengkuduskan Ali r.a.  Ibnu Taimiyyah r.h. menganggap Nusairiyah lebih kafir dari Nasara dan Majusi manakala Ibnu Katsir merujuk mereka sebagai  ‘pagan' sahaja.

Tragedi Hama.


Pada bulan Februari 1982, Hafez Assad, bapa kepada Basyar Assad telah bertindak membunuh 45,000 penduduk Syria di Hama dalam tempoh sebulan. Pembunuhan ini adalah  untuk menghapuskan pengaruh Gerakan Ikhwan Muslimin.  5 bulan sebelum Tragedi Hama, satu peristiwa pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di  Shabra dan Shatila telah berlaku pada bulan September 1981 melibatkan lebih 4000 pelarian Palestin dibunuh oleh Kristian Phalangist atas arahan Israel – Ariel Sharon. Peristiwa ini diketahui dunia, namun Tragedi Hama yang jauh lebih dahsyat dan melibatkan lebih banyak kematian langsung tidak diketahui dunia ketika itu. Ini menunjukkan bahawa kawalan Syria keatas medianya ketika itu amat ketat. Namun dengan teknologi yang wujud pada hari ini, segala berita mengenai kekejaman dan kezaliman rejim Basyar Assad tidak dapat disembunyikan lagi.

Kebangkitan Arab (Arab Spring) Pemangkin Kepada Kebangkitan Syria.

Kebangkitan Arab yang bermula di Tunisia, Mesir, Libya, Yemen telah memberi inspirasi kepada rakyat Syria untuk mengambil langkah serupa. Kebangkitan di Syria tercetus pada 15 Mac 2011 apabila sekumpulan kanak-kanak di Syria yang menulis perkataan " rakyat menuntut kerajaan turun" di dinding, telah ditangkap dan diseksa dengan kejam oleh tentera rejim. Apabila ibubapa kanak-kanak tersebut datang untuk menuntut anak-anak mereka agar dibebaskan, askar-askar rejim dengan biadap mengatakan," serahkan ibu-ibunya untuk kami rogol dan itulah anak-anak kamu sebagai ganti". Akibat daripada tindakan tersebut, tercetuslah kebangkitan rakyat Syria yang inginkan kebebasan namun rejim membalas dengan peluru.

Kezaliman yang berlaku di Syria jauh berbeza berbanding kezaliman yang berlaku di negara-negara bergolak yang lain. Kekejaman membunuh seperti mencampakkan  wanita-wanita dari bumbung bangunan seorang demi seorang adalah satu bentuk kekejaman yang langsung tak terlintas dek akal. Perbuatan-perbuatan lain seperti menembak masjid, menyepahkan Al-Quran dan memperlekehkan solat golongan Sunni antara kezaliman lain yang telah dilakukan oleh askar rejim . Mereka membunuh atas dasar kebencian dan hasad, bukan sekadar mempertahankan  rejim Basyar. Peperangan yang berlaku bukanlah peperangan untuk merebut wilayah tetapi peperangan diantara kaum dengan kaum, agama dengan agama.


Kebangkitan di Syria bukan sekadar menentang kezaliman pemerintah, tetapi ingin menumpaskan kebatilan dengan Al-Haq. Kezaliman yg dilakukan oleh rejim Basyar Assad sudah keterlaluan dan amat menghina Islam. Mereka juga memaksa rakyat Syria mengucap ‘Lailahailla Basyar…’ . Perkara ini ada kaitan dengan agama Basyar Assad dan keluarganya yang menganggap manusia dan Tuhan itu bergabung. Agama Nusairy adalah dianggap terkeluar dari Islam. Mereka juga bekerjasama dengan golongan Syiah yang lain (kerajaan Iran dan HizbusSyaitan Lubnan) bahkan ada laporan mengatakan bahawa HizbusSyaitan ini membunuh pelarian Syria dan  menghalau mereka keluar ketika mencari perlindungan di sempadan Lubnan.

Maruah Wanita Dinodai, Dimana Ar-Rijal Yang Dinanti?

Dr. Hafidzi menunjukkan dua gambar dari sedutan video seorang wanita Syria yang telah diheret oleh askar rejim dan merogol wanita tersebut di tengah-tengah jalan secara bergilir-gilir. Beliau tidak menayangkan video sebenar kerana amat 'mengganggu' dan tidak sanggup dilihat.

Buya Hamka pernah berkata ," umat yang membiarkan wanitanya diganggu, adalah umat yang sudah tidak ada kelelakian padanya. Kapankan batang tubuhnya, takbirkan 4 kali, usungkan ke kuburan dan kebumikan kerana umat ini tidak patut wujud didunia ini".

Dr. Hafidzi kemudiannya menceritakan kisah mengenai seorang wanita yang telah diganggu di zaman Khalifah Al-Mu'tasim Billah suatu ketika dahulu di tempat yang sama, bumi Syria.

Sebuah peristiwa yang berlaku di Damsyik, salah satu wilayah Khilafah Abbasiyah.  Khalifah ketika itu ialah Muhammad bin Harun Al-Rashid, atau gelarannya Al-Mu’tasim Billah. Seorang wanita Muslim telah diganggu dan dimalukan oleh tentera Rom yang telah mengikat hujung pakaian wanita tersebut ke kerusi semasa beliau sedang membeli belah. Apabila beliau bangun, sebahagian daripada kemaluannya telah terdedah. 

Wanita tersebut pun menjerit, "Wa Mu'atasima! Wa Mu'atasima!", dan seruannya itu telah sampai kepada pengetahuan Khalifah Mu'tasim Billah melalui seseorang yang menyampaikan berita itu kepada baginda. Walaupun jarak Damsyik dan Baghdad sangat jauh namun atas dasar keyakinan wanita itu bahawa Khalifah Mu'tasim mempunyai sifat 'Ar-Rijal' (kelelakian) dalam dirinya, sebab itulah nama khalifah itu disebut ketika diganggu . Kemudian,  Khalifah telah mengutus surat kepada ketua gereja dengan berkata:  

"Kepada anjing-anjing Rom, kalau kamu tidak menghentikan perbuatan biadap itu , saya akan datang kepada kamu dengan tentera-tentera kami di mana barisan hadapannya berada di pintu-pintu kami (Damsyik) dan barisan belakangnya berada di sini (Baghdad)." 

Surat itu menyatakan betapa besarnya bala tentera yang bakal dihantar oleh Khalifah Mu'tasim jika tentera Rom masih meneruskan perbuatan biadap mereka terhadap wanita Muslim di Damsyik.
  
Apabila amaran tegas itu tidak diendahkan, maka Khalifah Mu'tasim Billah telah mengambil keputusan untuk mengerahkan seluruh bala tentera Islam untuk menyerang tentera-tentera Rom dan hampir 300 ribu daripada mereka telah mati dan wilayah itu sendiri telah ditawan. Inilah bukti kekuatan sebenar 'Ar-Rijal' dalam mempertahankan maruah wanita Islam. Umat Islam hari ini, sekalipun ramai wanita Islam bukan setakat diganggu, tetapi diperkosa, namun tidak ada seorang pun pemimpin dunia Islam yang bertegas seperti Khalifah Mu'tasim di zamannya.

Hadis Ghuthah.

Rasulullah SAW bersabda :

“ Pusat kepimpinan kaum Muslimin pada hari peperangan yang paling besar adalah di sebuah negeri yg bernama Ghuthah, yang mana di negeri itu terdapat sebuah kota yg bernama Damsyik (Damaskus), ia merupakan tempat tinggal yang terbaik bagi kaum Muslimin pada waktu itu”.
(Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud disahkan oleh Al-Abani dalam soheh Al-Jami’)

Peringatan : Dilarang menggunakan hadis ini untuk merujuk kepada apa yang berlaku di Syria sekarang, hatta kisah peperangan di zaman Khalifah Salahuddin Al-Ayyubi juga boleh dikaitkan dengan hadis ini. Cukup disematkan dalam hati bahawa bumi Syam itu adalah bumi mulia, bumi yang diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.

Ulama' Sepakat, Rejim Zalim Wajib Ditumbangkan.

Ulama Azhar telah memutuskan bahawa Basyar Assad sudah melampaui batas dan beliau wajib dibunuh sebelum lebih ramai rakyat Syria menjadi mangsa kekejaman beliau. Dr Muhammad Badi’ dengan tegas mengatakan Basyar Assad akan dihukum oleh rakyatnya. Dr Yusuf Qardhawi berjanji rakyat Syria akan diberi kemenangan dan beliau akan bersembahyang Jumaat dan berkhutbah di Damsyik.

Gabungan Selamatkan Syria mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kekejaman dan tidak berperikemanusiaan ke atas rakyat Syria oleh rejim Basyar Assad. Kekejaman mereka lebih terserlah apabila mereka mencuri harta-harta rakyat, membunuh para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan wanita, menghalang perempuan beriman daripada memakai hijab serta menindas orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak.


Muktamar Syria anjuran Al-Ittihad Al-Alami Lil Ulama Al-Muslimin (The International Association of Muslim Scholars) yang dipengerusikan oleh Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi dan Rabitah Ulama Suriyiin (Syria) dari 1 - 3 Julai 2012 di Istanbul, Turki  telah berjaya mengumpulkan seramai 450 ribu ulama'-ulama' Islam dari seluruh dunia. Mereka berkumpul diatas satu matlamat dan halatuju, untuk berbincang dan merumuskan pendirian mereka mengenai isu Syria.  "Hanya sanya yang takut kepada Allah ialah dari kalangan hambaNya yang berilmu (al-ulama')".

Tema pada logo muktamar, "Sesungguhnya kamu adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu , maka hendaklah engkau bertakwa".
Moto muktamar:  "Ummatan Wahidah" (Umat yang satu).

Sheikh Raed Salah yang merupakan individu yang bertanggungjawab menjaga keselamatan Masjidil Aqsa dan Pemimpin Gerakan Islam Palestin 1948 (merujuk kepada wilayah Israel yang terbentuk pada tahun 1948 merangkumi 78% bumi Palestin) turut dilihat hadir untuk menyertai Muktamar Syria tersebut.

Ketika ditanya," Mengapa Sheikh hadir ke sini sedangkan Sheikh amat diperlukan dan sentiasa diperlukan di Baitul Maqdis?".

Jawab Sheikh Raed Salah," hari ini Damsyik, esok Al-Quds".

Jawapan Sheikh Raed itu menunjukkan bahawa pembebasan Damsyik (Syria) itu adalah pra-syarat kepada bebasnya Baitul Maqdis.

Cuba telusuri Surah At-Tin. Tiga ayat pertama surah tersebut telah meletakkan batasan yang dipanggil sebagai 'Ardul Muqaddas' (Tanah Suci) dari sudut geografinya. Tanah Syam (utara) merupakan satu wilayah  suburnya buah tin dan buah zaitun. Ayat seterusnya menerangkan mengenai lembah Nil dan gunung Tursina serta jaziratul Arab disekelilingnya yang diwartakan oleh Allah SWT sebagai 'Ardul Muqaddas'.

Hasil resolusi Muktamar Syria yang juga menjadi ijtihad para ulama', ada lima fatwa telah digariskan yang dinamakan sebagai Fatwa Syria. Fatwa-fatwa ini menafikan sebarang andaian bahawa para ulama' menyokong sebarang kebatilan. Tidak mungkin para ulama' ini bersepakat diatas kebatilan kerana sumber yang mereka rujuk adalah Al-Quran, Hadis dan ijtihad mereka sendiri, sudah tentunya hasil resolusi adalah yang mantap dan demi kemaslahatan umat Islam sejagat, kerana para ulama' tidak gopoh dalam mengeluarkan sesuatu keputusan atau fatwa.

[ Fatwa Syria ]

1) WAJIB bagi umat Islam untuk bersama-sama dengan kebangkitan rakyat Syriakerana perjuangan mereka adalah di antara hak dan batil, di antara keadilan dan kezaliman. Perjuangan mereka juga adalah untuk melawan pemerintah yang membunuh dan menindas rakyat. Dan ini menunjukkan bahawa wajib bagi umat Islam untuk membantu dan menyatakan sokongan kepada umat Islam yang dizalimi.

Rumusan - Menegaskan bahawa perjuangan rakyat Syria adalah di antara hak dan batil, di antara keadilan dan kezaliman. Perjuangan mereka juga adalah untuk melawan pemerintah yang membunuh dan menindas rakyat maka wajib atas kita untuk membantu dan memberi sokongan.

2) WAJIB ke atas setiap pemimpin umat Islam agar menyatakan sokongan dan dokongan kepada kebangkitan rakyat Syria. Sokongan samada dari sudut bantuan kewangan, senjata dan pelbagai bantuan agar kebangkitan mereka mendapat kemenangan. Mereka juga perlu menyatakan sokongan dan memberi bantuan senjata kepada Tentera Pembebasan Syria yang telah berjihad dan berjuang melawan rejim Basyar yang zalim.

Rumusan - Fokus kepada golongan pemimpin dan ketua negara yang mempunyai autoriti yang lebih besar dalam membantu dan menyokong perjuangan rakyat Syria. Sokongan samada dari sudut bantuan kewangan, senjata dan pelbagai bantuan agar kebangkitan mereka mendapat kemenangan.

3) Merupakan kewajipan untuk menyokong golongan yang memperjuangkan kebenaran. Maka, tidak ketinggalan kepada para alim ulama' dan juga pemikir Islam agar menyatakan sokongan dan dokongan mereka terhadap kebangkitan rakyat Syria. Dan haram bagi mereka diam membisu melihat kezaliman demi kezaliman berlaku di Syria.

Rumusan - Fokus kepada golongan alim ulama' dan para pemikir Islam untuk menyokong perjuangan rakyat Syria dengan menyuarakan pandangan mereka dengan ilmu yang mereka miliki. Para ulama' dan pemikir Islam telah diwajibkan berbicara mengenai isu Syria samada menulis, memberi khutbah, memberi kuliah atau ceramah dan jatuh hukum haram jika golongan ulama' ini berdiam diri terhadap isu yang berlaku di Syria.

 4) HARAM bagi umat Islam menyatakan sokongan dan dokongan kepada rejim Basyar mahupun sekutunya dari sudut ketenteraan, harta benda, sokongan politik dan sebagainya.

Rumusan - Pengharaman secara mutlak terhadap sebarang sokongan kepada rejim Basyar.

5) HARAM membunuh di atas dasar hawa nafsu dan juga kepuakan. Haram hukumnya membunuh dan menumpahkan darah tanpa hak. Akan tetapi apabila berada di dalam medan jihad, maka ia merupakan kewajipan untuk mempertahankan maruah diri dan juga agama. Kami juga mengingatkan kepada Tentera Pembebasan Syria agar berjihad tujuannya adalah untuk mempertahankan maruah diri, agama dan juga negara bukan kerana lain.

Rumusan - Bukti berhati-hatinya para ulama' dalam menggariskan fatwa dan begitu telitinya para ulama dalam menjaga kesucian jihad. Pembunuhan atas dasar kebencian dan hawa nafsu ( kerana kezaliman dilakukan 'Syiah', bukan sebab 'kebatilan' yang dilakukan) bukanlah matlamat sebenar berjihad tetapi seandainya diri terancam, agama terancam dan negara terancam, maka wajiblah baginya membunuh dan berperang.

Isu-isu Berbangkit.

Persoalan mengenai sebuah video tentera Mujahidin Syria yang menggunakan senjata buatan US dan tulisan Yahudi. Mereka difitnah bersekongkol dengan Israel dan Amerika kerana bekalan senjata yang diberikan kepada mereka.

Adilkah penilaian ini? dengan hanya satu gambar, untuk membuat fitnah kepada seluruh perjuangan rakyat Syria.

Isu bekalan senjata ketika peperangan, tidak penting untuk mengetahui siapa pembekalnya kerana seseorang itu tidak memahami sepenuhnya 'the dynamic of war' kerana perkara itu lebih sukar difahami jika bukan ahlinya. Didalam keadaan negara, keluarga dan diri diancam, sesiapa yang menawarkan senjata, mereka akan ambil bekalan senjata tetapi tanpa syarat. Mengapa bekalan senjata dari US dipertikaikan, tetapi bekalan senjata rejim Basyar Assad yang terang-terang dari Rusia termasuk gas sarin didiamkan?.

Kena jelas apa yang kita perjuangkan. Isu Syria yang kita hadapi sekarang adalah untuk menentang kezaliman dan kebatilan, bukan kerana 'Syiah'. Syiah, kita hadapi dengan dakwah, penerangan dan menegaskan penipuan-penipuan dan agenda jahat Syiah, tetapi bukan dengan peperangan.

Jika ditanya, adakah ini konflik diantara Sunni dan Syiah?

Jawapannya : Kebetulan, yang memperjuangkan Al-Haq itu Sunni, dan kebetulan yang membuat kezaliman itu Syiah. Intipati sebenar perjuangan rakyat Syria adalah memperjuangkan Al-Haq menentang kebatilan.

Jangan membezakan isu Palestin dan isu Syria, kerana pusat kedua-duanya adalah Baitul Maqdis.
Biladus-Syam yang mulia dan diberkati.

Dr. Hafidzi mengakhiri kalamnya dengan soal jawab ringkas dan menyatakan mengenai hasrat Aqsa Syarif untuk meluaskan empayarnya untuk menubuhkan Ikram For Syria. Sama-sama kita doakan semoga rakyat Syria memperolehi kemenangan dalam menentang kekejaman dan kezaliman rejim Basyar Assad. aaminn.

" Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolonganMu, kami meminta ampun kepadaMu, kami memohon petunjuk dariMu, kami beriman kepadaMu, kami berserah kepadaMu dan kami memujiMu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuriMu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepadaMu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersolat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmatMu dan kami takut akan azabMu kerana azabMu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur.

Ya Allah, muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan. Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

__________________________________________________________________________

Kuliah Umum IKRAM Nilai : Isu Syria oleh Dr. Hafidzi Mohd Noor, Pengerusi Aqsa Syarif.

Olahan dan susunan ayat : Muhammad Ubaydullah bin Khairuddin (ibnkhayr).

maklumat lanjut mengenai Isu Syria dan Palestin, sila 'like' page-page ini :





:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

Sunday, 27 January 2013

.:K-PoP : bukan budaya Islam:.


Isu gempar mengenai konsert besar-besaran 'K-Pop Storm Live' yang dijadual akan diadakan pada hari esok, 6 November 2012 di negara kita, sebenarnya telah mendapat tentangan dan bantahan dari orang ramai terutama dari kalangan masyarakat Islam di negara kita. K-Pop , singkatan kepada Korean Pop menjadi satu dominasi muzik baru yang mewujudkan satu obsesi dalam jiwa anak muda kini. konsep muzik yang dibawa berbentuk pop yang menggabungkan unsur tarian, elektronik, hip hop, tekno, rock dan R&B yang berasal dari Korea Selatan. aliran muziknya terus menerus menusuk jiwa anak-anak muda lantas mencetus minda mereka untuk meniru gaya kumpulan-kumpulan pop Korea ini dengan pelbagai aksi yang tidak munasabah. maka tak hairanlah, wujudnya satu kumpulan dari negara kita sendiri yang menggelar diri mereka K-Pop Malaysia. kumpulan ini terus mendapat kecaman dari pelbagai lapisan masyarakat atas nama 'K-Pop', lantas menukar nama kepada 'M-Pop', dan menyatakan kekesalan mereka kepada rakyat Malaysia kerana meniru perkataan 'K-Pop'. persoalannya, bukanlah nama menjadi fokus, tetapi pembawaan muzik itu sendiri yang menjadi isu yang seharusnya diberi pendedahan sewajarnya kepada seluruh masyarakat, terutama dari kalangan umat Islam di negara kita. realitinya, budaya ini jelas-jelas membawa budaya kafir dan melalaikan.

Sesiapa yang meniru satu kaum yang lain, maka dia dalam kalangan mereka." 
( Riwayat Abu Daud dan Ahmad )

kumpulan-kumpulan seperti Girls Generation, Super Junior, Big Bang, SNSD, Wonder Girls, Beast dan ramai lagi kini menjadi satu 'trend' yang perlu diikuti dan sesuai dengan peredaran zaman. pengaruh genre muzik ini begitu luarbiasa. nah! lihatlah apa yang terjadi pada satu kumpulan dari Malaysia yang kini sedang bergiat aktif mencipta nama menjadi satu kumpulan pop, yang seratus peratus meniru budaya Korea ini. mungkin ada sahabat-sahabat yang pernah mendengar nama kumpulan ini, Max 24:7. kumpulan ini terdiri daripada muda-mudi negara kita yang 'berhasrat' menaikkan nama Malaysia setaraf Korea dalam bidang ke'pop'an. lucu, akhirnya mereka dikecam hebat. penubuhan kumpulan ini sejak dari mula mendapat cemuhan masyarakat, namun sering juga diundang untuk mengadakan persembahan oleh sesetengah penganjur tempatan, dan ana andaikan penganjur itu bukanlah orang Islam.

maaf, ana tidak berniat untuk mengaibkan, tapi ana rasa kisah ini wajar diceritakan dan diambil pengajaran sebaiknya oleh masyarakat negara kita terutama anak-anak muda yang sedang membesar dan mudah terdedah dengan pengaruh dan budaya luar, yang hakikatnya tidak sesuai langsung dengan budaya negara Islam seperti Malaysia. salah seorang ahli kumpulan Max 24: 7 atau M-Pop ini adalah kawan ana sendiri. ini kisah benar yang akan ana luncurkan sebentar lagi. kawan ana ini satu sekolah dengan ana dulu dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 di salah sebuah sekolah agama di Malaysia. dia merupakan seorang pendebat bahasa melayu yang cukup handal dan acap kali memenangi pertandingan syarahan agama peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan. kehebatan dia dalam  bidang pidato juga tak dapat ana nafikan sehingga menaikkan nama sekolah ketika itu. siapa tak bangga punyai kawan seperti dia. selang setahun selepas tamat sesi persekolahan, ana mendengar khabar bahawa dia sedang menyertai dan menjalani latihan bersama satu kumpulan pop yang seratus-peratus meniru artis korea. saat itulah ana mula mengenali apa itu K-Pop dan apa yang membuatkan mereka ingin menjadi K-pop 'tiruan'. tika itu, hati ana berderai seakan sukar mempercayai kawan yang sebegitu hebat dalam syarahan 'agama', akhirnya terjerumus untuk meniru aksi puak-puak Korea. selepas itu,ana terus ikuti berita mengenainya dan kumpulannya, apa yang ana kagumi, dia tidak menukar nama panggilannya ketika di sekolah dulu dan masih menggunakan nama itu ketika berada dalam kumpulan ini. jika dulu berdebat, berpidato, bersyarah, kini menyanyi dan menjadi vokalis kumpulan itu. sahabat-sahabat boleh saksikan beberapa video mereka di laman media Youtube, taip saja ' Max 24:7 '.

apa yang ingin ana tekankan disini adalah mengenai pengaruh luarbiasa budaya ini, yang sememangnya bukanlah budaya masyarakat Malaysia, apatah lagi jika ingin dikaitkan dengan Islam itu sendiri. Islam tidak menghalang hiburan, asalkan ianya tidak melalaikan seseorang dan seharusnya hiburan itu membawa seseorang itu semakin dekat dengan Penciptanya. namun, jika hiburan berbentuk lalai seperti ini sewajibnya dihalang terus atau dilarang keras untuk memasuki negara Islam ini. jika saya di Brunei, pasti program seumpama ini tidak menjadi satu acara besar-besaran seolah-olah berada di negara, Korea itu sendiri. 

tak surut lagi isu mengenai konsert K-Pop yang diadakan bersempena program Himpunan Jutaan Belia 2012 yang berlangsung baru-baru ini,muncul pula isu konsert gilang-gemilang artis K-Pop Storm Live yang dikatakan menelan jumlah belanja yang sangat tinggi. isu Himpunan Sejuta Belia, pihak kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan menafikan tuduhan yang mengatakan kos membawa artis itu melibatkan duit rakyat. menterinya, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa kedatangan artis K-Pop  itu adalah tajaan daripada syarikat swasta. benarkah? sedangkan pihak kerajaan sendiri yang membenarkan program seumpama ini diadakan, mana mungkin tidak ada langsung tajaan dari kerajaan yang 'kaya' ini?

dalam konteks sebagai umat Islam, isu sebenar yang perlu dibincangkan di sini adalah pengisian program itu sendiri, bukanlah isu tajaan. apakah wajar program itu disogokkan dengan aktiviti-aktiviti  maksiat itu?bagaimana seorang pemimpin Islam seperti Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek yang mengetuai Kementerian Belia Dan Sukan boleh membenarkan unsur-unsur maksiat dipertontonkan kepada anak-anak muda negara kita yang majoritinya beragama Islam? apakah  sensitiviti beliau terhadap perkara-perkara mungkar seperti itu sudah hilang dari dirinya sendiri dan begitu juga dengan pegawai-pegawai serta kakitangan beliau yang lain? inilah kesalahan dan kekeliruan cara berfikir bagi seorang pemimpin umat Islam pada hari ini. suatu perkara yang perlu difikirkan secara jernih oleh pihak kerajaan yang ada pada hari ini adalah, apakah mereka masih beriman dengan ayat Allah SWT ini? 

“Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik”.                                                                                                                                                                                               
                                                                                                                                                                                                          [At-Taubah (9) : 67]. 

apakah hati-hati mereka telah lebur kepada sabda Rasulullah SAW: 

“Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah/mencegah dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju). Dan itu adalah selemah-lemah Iman".

                                                                                                                                                                                                                          [HR Muslim]

berlangsungnya  konsert K-Pop dalam program Himpunan Sejuta Belia itu  dan bakal berlangsungnya Konsert K-Pop Storm Live pada esok hari membuktikan bahawa pemimpin umat Islam yang berkuasa hari ini masih lagi diselaputi dengan pemikiran sekular yang menganggap Islam itu satu entiti yang lain, dan kehidupan harian mereka sebagai entiti yang lain. sedang hakikat, Islam dan kehidupan itu tidak boleh dipisahkan sama sekali. Wallahu'alam.

::Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

.: para ulama' bukan untuk dipuja-puja :.

umat Islam yang terlalu 'fanatik' dengan para ulama'.

ana bawakan isu ini untuk kita bincangkan bersama. ^_^

ana cuma ambil contoh ustaz 'popular' hari ini. lebih tampak jelas. ini sekadar contoh sahaja ya.Ustaz Azhar Idrus atau singkatannya UAI. 'fenomena Ustaz Azhar Idrus' ini perlu dipandang serius dari kacamata seorang Muslim Mukmin yang benar-benar menyatakan keimanannya pada Allah dan RasulNya . baik, mari kita teliti sedikit isu ini. selepas 31 Disember menjelang masuk 1 Januari 2012, ketika sambutan tahun baru Masihi, figura ustaz ini mula mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dengan kehadiran beratus ribu peminat dan pendengar soal jawab UAI malam itu. kita begitu kagum dengan UAI, seorang ustaz yang pandai dan kreatif dalam menyampaikan ilmu agamanya. berjaya menarik beribu-ribu orang, terutama anak-anak muda untuk mendengar ceramah beliau. hebat kan? ya, bagi kita, jiwa manusia, perkara ini memang hebat.

baik, sejak hari itu, UAI mendapat beratus-ratus jemputan untuk mengendalikan sesi soal jawab agama di seluruh negara. berturutan dengan itu, kita lihat saja di fb, pelbagai gaya dan reaksi UAI dapat kita lihat, menerusi 'share' yang dibuat oleh rakan-rakan di fb, baik kata-kata mahupun gambar UAI itu sendiri.

sebelum itu, minta kalian jangan fikir ana cuba protes UAI. tidak ya. ana juga adalah salah seorang peminat UAI.apa yang cuba ana bawa adalah 'sikap' umat Islam terhadap para asatizah yang punya ilmu agama yang tinggi ini. sikap apa? sikap 'kemaruk' dan 'fanatik' yang melampau.

UAI dijulang namanya, diwar-warkan di kaca TV begitu megah. begitu juga di fb. dan juga di youtube,SELAIN siri ceramah beliau, contoh video ada di akhir artikel ini. kita lihat siapa yang mengangkat namanya kalau bukan peminat UAI itu sendiri. peminat ilmu agama lain dari peminat seorang figura. peminat ilmu agama tidak berlaku 'fanatik', tapi peminat seorang figura, terlalu 'fanatik'.


 “Ulama adalah pewaris para nabi.” 

(HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda radhiallahu 'anhu) 


pernah dengar kan hadis ini? 

benar,para ulama' dan asatizah itu adalah pewaris para Nabi, penyambung wasilah Nabi menyampaikan dakwah Islam. namun, sikap segelintir umat Islam yang 'fanatik' ini sangat-sangat perlu diambil cakna. kita dapat bezakan sikap yang 'fanatik' dan sikap yang biasa-biasa sahaja. 

baik, sikap 'fanatik' yang ana maksudkan adalah sikap terlalu dan terlampau menjulang nama seseorang ulama' atau asatizah itu sehingga ditahap seolah-olah 'memuja'  tanpa sedar dan menganggap ulama'atau asatizah itu sendiri terlalu 'keramat'. nauzubillahimin zaalik.

astaghfirullah~ . inilah yang perlu kita fikirkan bersama, dan perlu difikirkan solusinya supaya umat Islam tidak 'memuja' sehingga ke tahap itu , biarpun tidak terzahir dengan kata-kata secara lisan, namun PERBUATAN bolehmelambangkan segalanya.

sikap biasa-biasa adalah seperti, mengambil kata-kata para ulama' atau asatizah untuk dijadikan pedoman, nasihat, tunjuk ajar, tips, petua dan 'share' pada rakan-rakan di fb untuk tujuan perkongsian ilmu. yang penting isi agama dan dakwah yang cuba disampaikan itu. disamping mengenali ulama' itu tetapi tidaklah sampai tahap mengagung-agungkan. tak perlu untuk buang masa edit gambar,buat video yang 'osem' semata-mata nak kenalkan para ulama' atau asatizah itu.  jikalau kekasih Allah, Muhammad Habibullah wa Habibuna s.a.w masih hidup bersama kita, ana yakin baginda tidak akan suka dan tidak mahu gambar baginda ditayang umum dan ditampal dimana-mana sepertimana amalan golongan Syiah Imamiyah yang menggantung gambar-gambar para imam dua belas mereka di dinding-dinding rumah penganutnya. Allah Allah. moga Allah ampuni dosaku jua.

sama juga dengan isu UAI,bukan bermaksud ana 'anti' dengan UAI, tetapi janganlah sampai terlalu 'fanatik' dan 'ta'asub' dengan beliau. fanatik ngn kata-kata ulama' untuk dijadikan panduan hidup, itu yang dibolehkan.insyaallah dalam itu ada redhaNya. dan seandainya UAI dibawa berjumpa  Allah  dalam keadaan umat sedang memerlukannya,apa yang akan terjadi? ana khuatir ramai yang akan berubah menjadi tidak baik. disebabkan apa? disebabkan terlalu 'fanatik' dengan 'fizikal sementara' UAI,bukan dengan  kata-katanya. renungkan kembali, selama ini kita mungkin telah 'memuja' ulama' dan asatizah TANPA SEDAR.


 “Ulama adalah pewaris para nabi.” 

(HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda radhiallahu 'anhu)

sekali lagi hadis ini naik. jadi, kita seharusnya menjadikan para ulama' itu ditaraf dan darjat mereka, darjat yang tertinggi yang bukanlah sama, melebihi mahupun hampir kepada taraf dan darjat para Nabi Allah. moga Allah beri petunjuk kepada kita semua, dengan inayah dan rahmatNya,insyaallah.

justeru, ana ingin sarankan pada sahabat-sahabat fillah abadan abada untuk kita sama-sama cakna akan hal ini. hal seumpama 'pemujaan' ini seharusnya kita elakkan dan tangani secara berhemah dan berhikmah. UAI seorang ustaz yang hebat, punya ilmu agama yang tinggi, ada daya tarikan tersendiri dan mampu membuat hati-hati anak muda tertarik dengan agama. itu kelebihan beliau, cara beliau.dan ana suka dengan cara beliau. para asatizah lain juga punya manhaj dan metod menyampaikan ilmu dan agama yang berbeza-beza. namun, perlu kita teliti semula tindakan kita, kita angkat para ulama' dan asatizah ini, adakah kita nampak kehebatan Allah disebalik kehebatan mereka? jika jawapannya TIDAK, kita hanya semata-mata melihat 'kehebatan' dan 'kebesaran' makhluk sahaja !! Allah Allah Allah.

ulama' dan asatizah adalah sumber ilmu agama dan ilmu-ilmu lain yang dianugerahkan oleh Allah Azza Wajalla kepada kita semua, umat manusia khususnya umat Islam. kehebatan ilmu mereka yang diyakini sepenuhnya, yakinlah kehebatan mereka adalah dari Allah jua. pasakkan dalam hati kita, mereka juga tidak punya apa-apa, mereka tak mampu membawa kita ke syurga atau neraka, mereka tak mampu memberi syafaat kepada kita,mereka tak mampu berbuat apa-apa juga melainkan dengan KEKUASAAN  dan KEIZINAN dari Allah jua. tambahan,kita sendiri yang akan menentukan kemana arah yang akan kita tujui nanti, berdasarkan i'tiqad keimanan kita dan amal kita. mereka, para ulama' dan asatizah boleh memberi kita panduan yang lengkap tentang agama, memberi peringatan akan azab-azab Allah serta kenikmatan di akhirat Allah. namun, pandanglah mereka di darjat 'para ulama' pewaris Nabi', bukanlah hampir atau menyamai para 'Nabi' atau 'Rasul', jauh sekali 'malaikat'. Allahu Allah.

semoga peringatan ini diambil iktibar, sama-sama kita ingatkan sahabat-sahabat fillah kita agar mereka menjaga kata-kata mereka, menjaga keimanan mereka, agar tidak terpesong dek terzahirnya kehebatan makhluk ciptaan Allah. kalau kita katakan seseorang itu hebat, maka kehebatannya datang dari Allah yang hebat. kita terus nampak Allah disebalik kehebatan makhluk. inilah formulanya. 

mudah dan indah kan? insyaallah, sama-sama renungkan. wallahu'alam.

disini, ana sertakan contoh video yang sangat 'osem', cantik, pandai edit video tapi pengaplikasian ilmu video editting yang membesarkan makhluk.Allahu Allah. inilah yang ana maksudkan dengan 'ta'asub', yang berlaku kepada segelintir daripada kita. 



p/s : sebarang ulasan, komen mahupun kritikan, sila kemukakan, insyaallah kita bincangkan ^_^ - jujur, diri ini naif dan dhoif,tidak punya ilmu yang tinggi, tidak berada di pengkhususan agama, tidak hebat,namun berharap agar diri ini sentiasa nampak kehebatan Allah di hati,kerdilnya jiwa ini dihadapanNya kerana hanya makhluk hina yang dijadikan dari campuran tanah yang kotor dan titisan mani yang jijik.



:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~


Saturday, 17 December 2011

:: hudud : sensitiviti Islam dicerobohi ::

baru2 ini negara digemparkan dengan dua klip video yang telah disebarluaskan di laman youtube yang memaparkan beberapa watak sedang ber'sembang rakyat' tentang isu hudud dan kepartian. jika ia melibatkan isu kepartian semata, rasanya tidaklah menjadi satu masalah yang besar namun apabila hukum2 Allah s.w.t disentuh dan dihina malah dipertikaikan pula perlaksanaannya, maka perkara ini bukanlah perkara yang kecil dan mudah diselesaikan. pihak2 yang terlibat perlu bertaubat nasuha diatas tindakan mereka melabelkan hukum Allah s.w.t seumpama hukum buatan manusia, seumpama buatan mereka sendiri! semoga Allah s.w.t menjaga iktikadku, bicaraku dan perbuatanku dari perkara2 yang dimurkaiMu Ya Allah~

jika apa yang disentuh didalam filem pendek itu sekadar melibatkan isu kepartian, itu adalah perkara normal berpolitik namun ia melibatkan sensitiviti agama sehingga menghina hukum Allah s.w.t dan jelas melanggar prinsip asas didalam Islam. alhamdulillah, beberapa hari selepas video2 tersebut tersebar seluruh negara, Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) tampil membuat laporan polis berkenaan penyebaran video yang menghina hukum Allah s.w.t ini. tindakan pantas pihak GAMIS patut dipuji atas usaha mereka menangani isu umat dan atas dasar sentiviti agama yang tinggi dikalangan mereka.




ana telah membaca satu artikel keluaran GAMIS baru2 ini dan telah merumuskan beberapa perkara berhubung isu yang terkandung didalam klip video itu agar kita jelas dalam mempertahankan kebenaran dan keadilan Islam serta mematahkan kejahilan yang telah bersarang didalam diri sekelompok umat yang tidak faham2!

perkara pertama, perlu diketahui oleh sekalian umat Islam bahawa hukum hudud bukanlah hukum buatan manusia tetapi ini adalah hukum Allah s.w.t, hukum2 yang datang dari Allah s.w.t. ,Rabbul 'Alamin. perkara ini telah jelas lagi bersuluh didalam ayat2 Al-Quran samada secara zhahir dan juga muhkam dilalah,yang mana ayatnya tidak membawa sebarang takwilan ataupun naskh, malah ia berada dikedudukan paling tinggi dari sudut keterangan (declaration) didalam Al-Quran. firman Allah s.w.t,

" dan hendaklah engkau menjalankan hukuman diantara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga2lah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t kepada kamu".

jelas didalam ayat ini bahawa hukum2 ini telah diturunkan oleh Allah s.w.t untuk melicinkan proses keadilan menyeluruh buat seluruh umat manusia dan hukum ini juga bukan sekadar hukum Allah s.w.t yang telah diterapkan secara tekstual dalam Al-Quran, tetapi ia sesuatu ketetapan yang wajib dilaksanakan.


perkara kedua, perlu diketahui bahawa didalam konteks umat dan keperluan mengikut aulawiyyat masa kini, perlaksanaan hukum hudud perlu dijalankan secara berperingkat2,bukanlah secara mendadak terus. Dr Yusof Al-Qaradhawi sendiri ada menegaskan bahawa terdapat beberapa perkara yang membawa kemaslahatan umum perlu diutamakan sebelum menjalankan hukum hudud secara total. namun,ini tidak bermakna kita boleh memperkecil2kan hukum Allah s.w.t ini kerana ia seumpama memperkecil2kan Allah s.w.t, Tuhan Agung yang menciptakan kita semua, nauzubillah~

" sesungguhnya orang2 yang kufur ingkar kepada ayat2 keterangan Kami, Kami akan panggang mereka diatas api neraka. setiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

ulama' sepakat mengatakan, mempermainkan hukum Allah s.w.t samada secara sedar atau tidak, dengan memperkecilkan atau mengatakan hukum Allah s.w.t tidak relevan pada masa sekarang, boleh menggugurkan iman seseorang. semoga kita semua terhindar dari perkara2 yang boleh menghilangkan iman serta iktikad kita pada Allah s.w.t.


dan akhir sekali perkara ketiga yang dikemukakan GAMIS didalam artikelnya, perlu diketahui bahawa keadilan hukum Allah s.w.t bersifat sacral (maksum) tidak dapat disanggah dengan akal pemikiran manusia yang dangkal. keadilan itu bukanlah pada konsep samarata seperti yang di'sembang rakyat'kan didalam klip video tersebut kerana keadilan itu ialah meletakkan setiap perkara pada tempatnya. tambahan, setiap hukum itu merangkumi maqasid syariah yang disepakati jumhur fuqaha dahulu dan sekarang, iaitu menjaga 5 perkara asas :

1. agama : melalui undang2 murtad
2. nyawa : melalui undang2 qisas
3. aqal : melalui undang2 arak dan minuman yang memabukkan
4. keturunan : melalui undang2 zina
5. harta benda : melalui undang2 curi dan rompak.

maka tidak timbul isu hudud ini tidak menjaga kemaslahatan umum, bahkan hukum ini telah meliputi seluruh maqasid syariah yang telah disepakati 'ulama. tidak sewajarnya mereka2 yang bukan dari bidang agama boleh berbicara sewenang2nya dan mengatakan hukum hudud ini tidak menjaga maqasid sepertimana yang telah disebutlan didalam klip video itu. perkara2 yang melibatkan syariah serta hukum2 Allah s.w.t ini tidak sepatutnya menjadi bahan bualan di kedai2 kopi tetapi hanya orang yang ahli didalam bidang ini sahaja yang wajar berbicara soal hukum hakam ini. seperti contoh, kita yang tidak tahu apa2 tentang bidang kimia, justeru kita membaca buku2 kimia tanpa memahami apa yang dibaca, lantas mengaku diri sudah boleh membuat sebiji bom! jika sahabat2 faham perumpamaan yang ana gunakan ini, maka inilah jua situasi yang berlaku sekarang dan didalam klip video itu.

sukar memahami hikmah disebalik hukum Allah s.w.t apatah lagi jika memperlekehkan serta menyindir hukum Allah s.w.t, tidakkah merasa diri seolah2 sedang menghina Tuhan yang menciptakan kita? seumpama makhluk yang melupakan tuannya? sedarlah diri ini ciptaan terbaik olehNya. segala apa yang datang dariNya adalah untuk meninggikan darjat kita sebagai khalifatullah diatas muka bumi ini bermula dari turunnya kalamullah yang mulia, Al-Quran sehinggalah kepada turunnya hukum2 Allah s.w.t. semoga kita senantiasa dilindungi oleh Allah s.w.t dari perkara2 yang menunjukkan kejahilan kita pada agama dan ubatilah kejahilan itu dengan menimba seberapa banyak ilmu2 agama biarpun kita berada dibidang yang bukan major agama. inisiatif mempelajari serta memahami agama dengan lebih teliti menjamin kehidupan yang tenang. wallahu'alam~

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~ be a pro for ad-deen~

Labels