Showing posts with label Agama & Nasihat. Show all posts
Showing posts with label Agama & Nasihat. Show all posts

Wednesday, 30 April 2014

.: Puasa Rejab : Bid'ah atau Tuntutan? :.

TANGGAL 1 Mei 2014, maka bermulalah bulan ke - 7 dalam Islam iaitu bulan Rejab.  Tarikh yang sama padanannya dengan tarikh Masihi, namun berbeza dari segi penghayatan dan keutamaannya. Pada zaman dahulu, bulan Rejab dianggap mulia dan agung oleh bangsa Arab Jahiliyyah. Mereka menyambut bulan Rejab dengan pelbagai perayaan dan acara peribadatan seperti menyembelih unta pada tanggal 1 dan 10 Rejab, mengharamkan sebarang bentuk peperangan dan membuka pintu Kaabah sepanjang hari dengan tujuan untuk memberi peluang kepada pengunjung-pengunjung kaabah ketika itu untuk beribadat sepuas-puasnya. Namun, lahirnya 'bulan purnama' buat seluruh umat Islam, Nabi Muhammad SAW telah menghazafkan sepenuhnya segala bentuk amalan jahiliyyah sehingga tidak ada yang khusus pun untuk diamalkan di bulan Rejab.

Bulan Rejab merupakan salah satu dari bulan-bulan haram (bulan-bulan suci) yang diharamkan perang oleh Allah SWT selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah.

Allah SWT berfirman,

" Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah ialah dua belas bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam (bulan yang empat) itu…” (Surah At-Taubah: 36)

Bulan-bulan tersebut dinamakan bulan haram kerana :


 1. Diharamkan berperang di dalamnya, kecuali jika musuh mula menyerang terlebih dahulu.
 2. Larangan melakukan perkara-perkara yang diharamkan pada bulan-bulan tersebut lebih ditekankan berbanding bulan-bulan yang lain.


Larangan Allah SWT mengenai peperangan didalam bulan-bulan haram,

"(Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati, katakanlah "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah,dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidil Haram (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ,(semuanya itu) adalah lebih besar dosanya di sisi Allah SWT " 
(Surah Al-Baqarah : 217)

Terdapat banyak lagi ayat-ayat Allah SWT mengenai kemuliaan dan keutamaan 4 bulan-bulan haram didalam Al-Quran.

Peristiwa-peristiwa di bulan Rejab

Umum mengetahui, terdapat banyak peristiwa-peristiwa yang disandarkan dan terjadi di bulan Rejab. Antara kisah-kisah masyhur yang terjadi di bulan Rejab adalah berlakunya hijrah pertama dalam Islam (hijrah ke Habsyah), peristiwa Israk Mikraj, peperangan Tabuk (peperangan terakhir Rasulullah SAW), pembebasan kedua Baitul Maqdis oleh panglima legenda penyembelih tentera Salib, Sultan Salahuddin Al-Ayyubi (pembebasan pertama di zaman Khalifah Umar Al-Khattab), dan lahirnya Imam 4, Imam Shafie. Peristiwa-peristiwa ini menjadi simbolik kebesaran Islam yang berlaku dalam bulan Rejab. Umat Islam seharusnya mengambil ibrah melalui peristiwa-peristiwa tersebut terutamanya peristiwa besar yang terjadi kepada Nabi kita, iaitu Israk Mikraj.

Tidak perlu diceritakan secara terperinci mengenai peristiwa-peristiwa ini kerana ia sudah biasa didengari ramai orang hatta kanak-kanak sekolah rendah pun mampu menceritakan semula apa yang berlaku secara mendalam.

Amalan Khusus di Bulan Rejab

Mengenai amalan-amalan khusus di dalam bulan Rejab, perlu ditekankan bahawa tiada satu pun hadis-hadis sahih dari Rasulullah SAW yang menyarankan untuk melakukan apa-apa amalan khusus di bulan Rejab seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab, umrah bersempena Rejab dan apa-apa amalan yang disandarkan dengan bulan Rejab. Terdapat banyak hadis-hadis lemah dan palsu diwar-warkan kepada masyarakat umum mengenai fadilat dan kelebihan bulan Rejab dan dan dikongsikan secara meluas melalui laman sosial Facebook, Twitter, Blog dan sebagainya. Perkara ini perlu dibendung lebih awal agar ia tidak menjadi viral kepada seluruh umat Islam. Umat Islam masih berpegang kuat dengan hadis-hadis Nabi SAW namun tindakan mengamalkan hadis-hadis tanpa menyemak latar belakang dan status hadis boleh membawa kepada kecelaruan amalan.

Nabi SAW pernah memberi amaran,

“ Sesiapa yang berdusta ke atasku (namaku) dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

Jika diteliti hadis-hadis (palsu) yang menyatakan ganjaran dan kelebihan bulan Rejab, betapa banyak maklumat yang bertentangan dengan fikiran manusia yang waras di mana ganjaran yang ditawarkan sangat berlebihan berbanding dengan amalan yang dibuat malah lebih besar dari amalan-amalan wajib dan keutamaan yang lain. Adapun perkara sedemikian adalah tidak munasabah dan tidak mudah diterima oleh akal yang sihat. Sesungguhnya Islam mengharamkan merujuk kepada hadis palsu dalam apa jua bentuk ibadat kerana ia hanya mencemarkan kesucian Islam.

Jumhur ulama berpendapat bahawa kebanyakan hadis-hadis mengenai kelebihan Rejab adalah hadis yang lemah dan tertolak. Umat Islam hendaklah meneliti semula apa-apa hadis yang menceritakan mengenai kelebihan bulan Rejab dan tidak menyandarkan hadis tersebut dengan Nabi SAW.

Adapun kebanyakan para ulama menceritakan mengenai galakan berpuasa di semua bulan-bulan haram sebagai pilihan terakhir ketika seseorang itu mahu memperbanyakkan puasa sunat. Para ulama terdahulu memperbanyakkan puasa sunat dibulan-bulan haram , tetapi tidak diniatkan atau dikhususkan untuk bulan Rejab atau mana-mana bulan di dalam bulan haram.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullaahu berkata di dalam Majmu’ Fataawaa (25/290):

“Adapun puasa di bulan Rejab dengan mengkhususkannya, hadis-hadis mengenai hal ini seluruhnya lemah, bahkan palsu. Para ulama tidaklah bersandar pada salah satu darinya. Dan hadis-hadis tersebut bukanlah hadis lemah yang diriwayatkan dalam keutamaan amal. Namun seluruhnya adalah hadis-hadis palsu lagi dusta. Dalam Musnad dan selainnya terdapat hadis dari Nabi SAW bahawasanya baginda menganjurkan untuk berpuasa di bulan-bulan haram, yakni bulan Rejab, Dzulqa’dah, Dzulhijjah, dan Muharram. Anjuran ini untuk puasa di seluruh bulan yang empat tersebut, dan bukan mengkhususkan bulan Rejab semata-mata.”

Ibnul Qayyim rahimahullahu dalam Al Manaarul Muniif  (hal, 96) berkata:

“Seluruh hadis tentang penyebutan puasa di bulan Rejab dan solat di sebahagian malam bulan tersebut, adalah hadis yang dusta dan dibuat-dibuat.”


Al Hafiz Ibnu Hajar rahimahullahu dalam Tabyiinul ‘Ujb (hal.11) berkata:

“Tidak terdapat riwayat mengenai keutamaan bulan Rejab. Tidak juga mengenai puasa di bulan tersebut, begitu juga puasa apapun di dalamnya secara khusus. Juga tidak ada hadis sahih yang dapat dijadikan sebagai hujjah mengenai solat malam yang dikhususkan di dalamnya.”


Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullahu berkata dalam Fiqhu As Sunan (1/383):

Puasa di bulan Rejab tidak ada padanya keutamaan tambahan melebihi bulan-bulan selainnya. Kecuali kerana ia adalah bulan haram. Dan tidaklah ada di dalam sunnah yang sahihah bahawasanya puasa tersebut memiliki keutamaan dengan mengkhususkan pada bulan tersebut. Sesungguhnya apa yang datang dalam perkara-perkara tersebut tidaklah dapat digunakan untuk berhujjah dengannya.”


Syaikhul Islam juga mengatakan:

Sesungguhnya mengagungkan bulan Rejab (dengan memperbanyak amal) termasuk perbuatan bid’ah yang selayaknya dihindari. Demikian pula menjadikan bulan Rejab sebagai waktu khusus untuk melaksanakan puasa, termasuk perbuatan makruh (dibenci), menurut Imam Ahmad dan beberapa ulama lainnya. 
(Iqtidha’ Shirathal Mustaqim, 2/624 – 625)

Banyak amalan sunat yang umum lain boleh kita lakukan untuk mengambil ibrah dan keberkatan bulan Rejab tanpa menyandarkan kepada mana-mana hadis Nabi SAW yang lemah dan palsu. Amalan-amalan sunat ini dilakukan sebagai satu bentuk persediaan awal sebelum menghadapi bulan Ramadhan yang mulia seperti qiamullail, puasa sunat Isnin dan Khamis, tadarus Al-Quran dan lain-lain. Memperbanyakkan puasa sunat ( tidak dikhususkan untuk bulan Rejab) adalah amat digalakkan agar kita tidak mengalami 'culture shock' apabila berada di bulan Ramadhan dimana tuntutan berpuasa adalah wajib didalamnya.

Kesimpulannya,
1.    Tidak dijumpai dalil dan hadis khusus yang menyebutkan keutamaan bulan Rejab.
2.    Tidak dijumpai dalil dan hadis yang menyebutkan keutamaan puasa Rejab atau solat sunat khusus di bulan Rejab.
3.    Dalil yang menyebutkan keutamaan khusus bagi orang yang melakukan puasa Rejab adalah hadis dhaif, dan tidak boleh dijadikan dalil.
4.    Bagi orang yang rajin berpuasa, digalakkan untuk memperbanyak puasa di bulan-bulan haram ( tidak dikhususkan salah satu darinya).

Rujukan :
Jabatan Agama Islam Selangor
Jabatan Mufti Melaka
Dewan Pembina Konsultasi Syariah
Yayasan Pendidikan Islam Al-Atsary
Himpunan Hadis Dha'if dan Maudhu', Jilid 1
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi



:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

Wednesday, 30 January 2013

.: waffle yang lazat :.

ramai yang meminati makanan ini, terbukti ia mendapat pasaran yang meluas di Kolej Kediaman 1 USIM. ana luncurkan entri ini khusus buat semua penghuni KK1 yang suka makan waffle, dan am buat yang berada diluar kampus USIM. =)

waffle memang lazat! apa resepinya?


maaf, resepi sebenar kita akan bincang ditempat lain ya. rahsia yang ana ingin kongsikan berkenaan kelazatan waffle adalah mengenai jenis-jenis elemen yang diperlukan bagi menjadikan sekeping waffle itu menjadi sedap dan lazat. kombinasi telur ayam, tepung khas cap Bagus, minyak masak dan air yang dicampur sedikit ais secara umumnya menjadikan waffle itu lazat, tapi adakah dengan mencampurkan kesemua elemen ini tanpa mengikut isipadu atau jumlah tertentu sudah memadai untuk menjadikan waffle itu lazat?

tidak sama sekali. =)

kelazatan waffle bergantung kepada jumlah tertentu elemen-elemen ini dimasukkan kedalam bancuhan. jika terlebih sedikit sahaja mana-mana elemen dalam sesuatu bancuhan, waffle jadi tak lazat. andai kata terkurang mana-mana, juga akan jadi tak sedap. bancuhan yang betul dan mengikut kuantiti yang sebenar adalah rahsia kelazatan waffle, plus zikir dan selawat, putaran lawan arah jam ketika bancuhan dibuat. lebih berkat, dengan izin Allah SWT.

ana pernah rasa waffle di pelbagai tempat dan rasa di kesemua tempat ana pergi ini berbeza-beza. juga perlu yakin, kelazatan sesuatu makanan itu juga atas izin Allah SWT. Allah SWT sahaja yang bagi sedap. =) bancuhan yang betul, namun tanpa izin Allah SWT, tetap tidak sedap! hakikat tetap hakikat. yakin dengan sebenar-benar yakin.

baik, sudah faham kan analogi waffle yang lazat? sekarang tukar analogi tersebut di tempat kita, sebagai manusia yang punya akal dan dimartabatkan kemuliaan kita oleh Allah SWT sebagai khalifah diatas muka bumi ini. elemen-elemen dalam diri ini , jika dikombinasi dengan cara yang betul, aplikasi pada tempat yang betul, penggunaan akal yang sewajarnya, maka akan terhasillah manusia yang digelar Ulul Albab ! penyatuan akal, hati dan jiwa pada kadar yang betul akan menjadikan seseorang manusia itu kuat dan penuh keyakinan kepada Allah SWT, dan apa-apa yang berlaku didepan mata, refleksinya tetap kepada Allah SWT. andai kurang dari segi pengaplikasian akal yang sewajarnya, maka akan terlihatlah kelemahan seseorang manusia itu walaupun hati dan jiwanya kental. jika kuat pada akal tetap hati dan jiwa pula lemah, maka manusia itu juga akan kelihatan lemah!

Allah SWT telah berfirman dengan maksud memberi semangat kepada kekuatan daya fikir manusia melalui akal :

“Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu. Dan bintang-bintang itu ditundukkan (untukmu) dengn perintah-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berakal.” (QS. An-Nahl: 12).
“Dan di bumi ini terdapat bagian-bagian yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanaman-tanaman dan pohon kurma yang bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yangdemikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berakal.” (QS. Ar-Ra’du: 4)
dan Allah SWT berfirman mengenai kesan bagi golongan yang tidak menggunakan akal sewajarnya :
“Dan mereka berkata: ‘Sekiranya kami mendengarkan atau menggunakan akal untuk memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala. (QS. Al-Mulk: 10)
namun, dalam kita menggunakan akal dengan sebaiknya itu,ada batas-batas yang Allah SWT gariskan didalam firmanNya :

“Dan mereka bertanya tentang ruh. Katakanlah: “Ruh itu termasuk urusan Rabb-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” (QS. Al-Isra: 85)
Nabi SAW juga pernah bersabda :
“Berfikirlah tentang makhluk-makhluk Allah dan jangan berfikir tentang Dzat Allah.” (HR.Ath-Thabarani, Al-lalikai dan Al-Baihaqi dari Ibnu Umar).
maka, apakah kurniaan akal ini sia-sia? Allah SWT tidak menjadikan akal ini sebagai alat untuk kita membezakan yang mana baik dan yang mana buruk sahaja, bahkan Allah SWT menyeru manusia agar menggunakan akal ditahap terbaik dan tertinggi sebagaimana terciptanya akal untuk makhluk bernama manusia ini. guna akal untuk melihat ciptaan Allah SWT serta mendalami hikmah dan hakikat kejadian. tetapi bukan untuk menimbulkan persoalan kenapa dan mengapa dijadikan, bahkan untuk melahirkan rasa takjub kita pada pentadbiran Allah SWT keatas seluruh alam ini. segala-galanya adalah sempurna, dari permulaan awal kehidupan sehingga saatnya kehancuran alam ini, semuanya dibawah bidang tadbir Allah Yang Maha Agung.
apabila akal digunakan sewajarnya, maka hati dan jiwa akan turut rancak mengikut rentak. semakin kita menyedari nikmat yang dikecapi bukan perkara yang sia-sia, menyedari hikmah setiap kejadian Allah SWT, menyedari kehidupan manusia adalah fana', maka secara automatik hati akan turut kecut dan gementar. gementar dengan kuasa Allah SWT yang begitu teliti dari sehalus zarah sehingga sebesar-besar alam semesta ini. pernahkah kita berfikir sebab musabab kejadian kuman-kuman kecil didalam setiap benda hidup? pernahkah kita berfikir kenapa lubang hidung manusia dijadikan menghadap kebawah, kepala manusia boleh dipusing kiri dan kanan, telinga yang menegak di kiri dan kanan kepala kita? guna akal, fikirlah. 
ingatlah, Allah SWT tidak kurniakan akal untuk mempersoalkan kejadiannya atau sekadar membezakan baik dan buruk, tetapi untuk difikirkan bagi melahirkan rasa takjub ,' ohh, ini rupanya hikmah kejadian itu dan ini'. supaya manusia menyedari, hakikat dunia adalah fana' dan kehidupan manusia seluruhnya akan berakhir di padang perhitungan di Mahsyar kelak.
jadi, kisah waffle mudah dibicarakan sebagai satu analogi yang dekat dengan manusia. hari-hari kita makan waffle, tapi adakah kita pernah terfikir bagaimana ia boleh menjadi sedap, pernahkah bertanya pada diri apa rahsia dan resepinya? atau kita hanya beli dan makan sahaja, sebagai alas perut. kalau sedap, sedaplah kalau tak sedap, sebaliknya? =) 
berfikirlah cara orang berakal dan jadilah manusia Ulul Albab! 

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

Sunday, 27 January 2013

.:wanita melamar lelaki amalan terpuji:.


ADA si teruna yang lambat menyatakan hasrat menyunting pilihan hati lalu jatuh ke pihak lain. Begitu juga halnya dengan seorang wanita yang tertarik dengan lelaki yang dirasakan calon sesuai untuk dijadikan suami namun disebabkan dia hanya menunggu akhirnya turut terlepas peluang.

Tiada larangan dalam Islam jika wanita membuat lamaran terhadap lelaki yang layak menjadi pasangan hidupnya. Apa yang berlaku itu berkait rapat dengan soal lambat menzahirkan lamaran.

Perigi mencari timba pula merujuk kepada wanita yang berusaha mencari lelaki untuk dijadikan teman hidup. Namun dalam masyarakat kita perkara berkenaan dianggap lari daripada adat dan budaya. Mungkin ‘tugas’ itu sukar dan mustahil kerana ia tidak pernah dilakukan dalam masyarakat kita.

Lihat saja sejarah Siti Khadijah yang bertindak ‘berani’ melamar Nabi Muhammad s.a.w. Beliau tidak berasa rendah diri walaupun jarak usianya dengan Rasulullah agak jauh. Bagaimana dengan wanita moden yang mahu mencontohi tindakan Siti Khadijah? Kita semua tahu, Siti Khadijah berketurunan bangsawan yang kaya-raya.

Bukan saja mempunyai perniagaan besar, tetapi beliau juga disegani kerana mempunyai kebijaksanaan dan sopan-santun tinggi.

Bagaimana jika wanita datang menyunting lelaki pilihannya dengan menggunakan orang perantaraan bagi menyampaikan hasratnya? Mungkin kaum wanita menganggap usaha mereka itu sebagai ‘terhegeh-hegeh’ dan sebab itulah ia gagal dilaksanakan. Diharap selepas ini kaum wanita terbuka hatinya untuk merubah budaya.

Wanita meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah. Selain Siti Khadijah meminang Rasulullah dan Saidina Umar juga pernah meminang Saidina Abu Bakar untuk puterinya Siti Habsah.

Jika mereka bertemu dengan lelaki yang layak menjadi pasangan maka ambillah peluang untuk memulakan lamaran. Jangan takut untuk mencuba dan berasa malu kerana jika ditolak sekalipun Allah pasti menjanjikan insan yang lebih baik untuk mereka.

Pernah pinangan Umar ditolak Saidina Abu Bakar tetapi penolakan itu dilakukan dengan cara paling terhormat. Namun selepas itu Umar mendapat calon yang lebih baik apabila Rasulullah memperisterikan Siti Habsah. Jelas Allah tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh melaksanakan syariat-Nya. Sayang sekali, malu kita tidak merujuk kepada syariat.



Sebuah hadis yang diriwayatkan Anas berkata:“Ada seorang wanita yang datang menawarkan diri kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah! Apakah kau memerlukan aku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar perkataan wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri dan rasa malu. “Sungguh memalukan dan betapa buruknya…!” Anas berkata kepada puterinya itu: “Dia lebih baik daripadamu! Wanita itu senang kepada Nabi dan menawarkan dirinya!” (Riwayat Bukhari)

Pendakwah dan Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn Bhd, Pahrol Mohamad Juoi, berkata malu dalam Islam mesti diukur atas dasar iman.

“Tidak seharusnya seorang wanita berasa malu untuk memulakan langkah untuk melamar lelaki yang dirasakan layak untuknya.“Malah, tiada tentangan dari sudut akidah, syariah dan akhlak Islamiah terhadap perkara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan yang digunakan perlu selaras dengan prinsip dan matlamat yang bertepatan dengan nilai agama.“Umpamanya, wanita perlu menggunakan orang tengah iaitu keluarga, sahabat dan orang yang boleh dipercayainya untuk tujuan melamar.

“Jika diterima, alhamdulillah dan jika ditolak sekalipun tidak mengapa. Allah tetap menilai percubaan itu sebagai amal soleh kerana mereka sudah melakukan sesuatu yang halal dan harus di sisi Islam,” katanya.

Pahrol berkata tidak timbul soal perigi mencari timba kerana dalam sejarah Islam ada pihak wanita yang meminang lelaki dan begitulah sebaliknya.“Kedua-dua cara berkenaan boleh dilaksanakan. Apabila ada wanita melamar lelaki yang dirasakan baik untuk dijadikan pasangan hidup ia adalah usaha yang sangat terpuji.


“Berjaya atau tidak, bukan soalnya kerana Allah menilai usaha berkenaan. Jangan sesekali berasa diri direndahkan. Mereka perlu berasa malu jika terbabit dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat dan tindakan haram lain untuk mendapatkan pasangan hidup,” katanya.

Beliau berkata pasangan hidup adalah teman yang akan bersama-sama membentuk keluarga dalam menjalani ibadat sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini.

“Ini misi besar dan berat. Bermula dari keluarga barulah terbentuknya sebuah masyarakat, negara dan ummah. Untuk membentuk keluarga ini perlu kepada lelaki kepada wanita.

“Wanita tidak seharusnya rasa ‘terhegeh-hegeh’ atau tidak laku. Wanita yang dikatakan tidak laku dan terhegeh-hegeh ialah mereka yang mendedah aurat, berkelakuan tidak senonoh dan bergaul bebas sehingga ke tahap hilang rasa malu, menggadai iman serta akhlak Islamiah.

“Bagaimana umpan begitulah ikan yang akan kita dapat. Jangan terkejut jika wanita yang mendedah aurat (seksi) akan mendapat lelaki hidung belang sebagai pasangannya,” katanya.

Berdasarkan sejarah yang masyhur, Pahrol berkata Siti Khadijah tertarik dengan keperibadian Nabi Muhammad yang mempunyai sifat jujur dan bijak ketika menjalankan perniagaan.

“Semua maklumat itu diperoleh daripada hambanya, Maisarah yang ditugaskan membantu serta mengiringi Rasulullah ketika berniaga.“Sepanjang bermusafir Maisarah melihat, merasai dan meyakini bahawa Nabi Muhammad memang seorang yang baik kemudian menyampaikan laporan kepada tuannya Siti Khadijah.

“Khadijah mempunyai ketajaman menilai sumber maklumat. Apabila maklumat yang diterima diyakini benar, Siti Khadijah bertindak memanggil bapa saudaranya dan saudaranya yang lain untuk menyatakan hasrat melamar Nabi Muhammad.

“Allah mengkabulkan hajatnya dan lamarannya diterima,” katanya.

Beliau menasihatkan perkara utama untuk mencari pasangan ialah menjaga akhlak dan keperibadian selain memastikan maklumat pasangan itu benar.

“Carilah saudara, rakan, ustaz atau sesiapa yang terdekat dengan lelaki pilihan kita. Setelah ada maklumat yang benar, dirikan solat istikharah untuk meminta Allah perteguhkan keputusan yang sudah ada atau meminta petunjuk membuat keputusan yang belum ada.

“Orang yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi turut juga meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.

“Selepas menetapkan keputusan, teguhkan azam dan terus bertawakal. Kemudian segerakan urusan lamaran dengan memilih wakil yang baik bagi urusan meminang dan seterusnya segerakan perkahwinan,” katanya.

Pahrol berkata bagi mereka yang sudah berusaha mencari pasangan, tetapi masih belum berjaya perlu bersangka baik kepada Allah.“Penangguhan itu satu ujian yang pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah hendak selamatkan mereka daripada mendapat suami yang jahat, pendera dan tidak bertanggungjawab.

“Jadi, berusahalah sambil menunggu ketentuan daripada Allah. Jangan membuat keputusan untuk tidak berkahwin sampai akhir hayat kerana ia bertentangan dengan syariat dan fitrah.“Golongan yang menentang peraturan Allah akan menderita jiwanya dan hidup dalam kesepian. Dalam apa saja keadaan, beribadatlah sehingga kita berasa letih untuk melakukan maksiat,” katanya.

Beliau berkata gelaran seperti ‘andartu’ dan ‘andalusia’ tidak sewajarnya dilemparkan kerana hakikatnya mereka sedang diuji Allah.“Orang yang diuji sepatutnya dibantu, dikasihi dan didoakan. Masyarakat Islam sepatutnya memikirkan bagaimana kaedah untuk mencarikan jodoh buat mereka,” katanya.

Wallahualam..

Sumber : ikhwanmencarinurillahi.blogspot.com

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~


.: group discussion : antara keberkatan dan kemurkaan:.


 sesi pengajian di USIM kini sudah menjangkau pertengahan semester. dan sekarang, kebanyakan pelajar sedang menikmati waktu cuti midsem di kampung halaman masing-masing. hanya sebilangan daripada mereka masih di  kampus, terlibat dengan pelbagai program yang akan diadakan pada waktu cuti ini. beberapa minggu sebelum itu, para lecturer mula mengagihkan assignment kepada para pelajar, dan sudah tentu lambakan assignment tersebut, kebanyakannya diselesaikan secara grouping.

         maka, group-group mula dibentuk. lecturer cakap,' ok, saya nak mix grouping ye..', maka fahamlah para pelajar, greenlight kekal sudah diberikan untuk buat group bercampur muslimin dan muslimat. justeru, terpancar riak 'kegembiraan' diwajah kedua-dua belah pihak. mana tidaknya, apabila bercampur, nanti boleh la sembang-sembang, buat kerja sambil gelak-gelak, jumpa selalu, makan sama-sama, pergi librarycari bahan sama-sama, naik kereta sama-sama, pergi tempat nak shooting sama-sama.  huh! semua secara 'bersama-sama'. sangat 'seronok' kan ?!

        fenomena group discussion adalah perkara biasa bagi pelajar di IPT seluruh negara. kalau tidak ada assignment yang diselesaikan secara grouping , maka bukan 'standard ' pelajar universiti lah! ( oo. macam tu ya? ) . ok, mungkin betul di satu sudut, tetapi mari kita pandang dari sudut perspektif yang lain, dari segi keberkatan ilmu melalui cara group discussion. oh ya, saya tidak menyatakan bahawa group discussion ini tak boleh dilakukan, tetapi sejauh mana group discussion kita itu boleh membawa rahmat dan keberkatan ilmu dari Allah s.w.t, itulah yang perlu kita titikberatkan.

      pada pengamatan ana dan melalui sedikit pengalaman ana terdahulu, group discussion bercampur adalah yang terbaik. kerana apa? kerana melalui percampuran antara muslimin dan muslimat ini, idea-idea atau pandangan dari kedua-dua belah pihak boleh dikongsi bersama, skil komunikasi dan interaksi kita akan lebih berkesan dan efektif, tumpuan untuk menyiapkan tugasan akan lebih tersasar, dan of course, tugasan kita akan tampak lebih kemas kerana kebiasaannya pihak muslimat yang akan finalize tugasan tersebut sebelum dihantar ( upss! ). ya, ini antara kebaikan yang kita akan perolehi. tetapi, kini, kebaikan-kebaikan ini langsung lenyap sama sekali. group discussion yang boleh mendatangkan kemaslahatan buat semua pelajar,namun bertukar menjadi group discussion yang dimurkai oleh Allah s.w.t dan juga hilang keberkatan ilmu disitu. kerana, group discussion itu dipenuhi dengan cacar merba ikhtilat yang gagal dikawal dengan baik dan secara syar'ie, yang mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t. sebagai natijahnya. nauzubillahimin zaalik~


ana lebih mudah untuk menyenaraikan beberapa cara bagaimana group discussion itu boleh mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t dan hilang punca keberkatan ilmu,mungkin terkena salah satu kepada kita dan ana akan menyediakan solusinya selepas ini. antaranya :

1. group discussion tetapi hanya berDUA ?? seorang muslimin seorang muslimat? ini ' DATING ' namanya.
2. bilangan yang tidak sesuai  seperti seorang muslimat dengan dua atau tiga orang muslimin. not nice maatry this, nisbah sekurang-kurangnya, muslimat 3 : muslimin 1. bukan muslimin melebihi muslimat!
3. group discussion yang 80% daripada isi diskusi hanya sembang kosong dan gelak ketawa. kerjanya tak juga siap!
4. group discussion yang pada ketika itu, aurat si muslimatnya tidak tertutup dengan SEMPURNA. dengan S.E.M.P.U.R.N.A! aurat muslimin juga tidak terkecuali.
5. berlaku sentuhan antara muslimin dan muslimat ,secara sengaja nak tersentuh!
6. duduk bersebelahan muslimin muslimat terlalu rapat! kira, kalau condong sikit ke kiri atau ke kanan, kepala dah boleh sandar pada bahu orang sebelah. haish!
7. niat group discussion hanyalah untuk menatap wajah 'pasangan', yang mungkin ada sekali dalam groupitu!
8. waktu azan, masih meneruskan discussion [ yang muslimin buat muka tak tahu, muslimat tahu tapi tak tegur]
9. terlalu lama ber'group discussion ', meleret-leret, padahal kerja tak juga dapat disiapkan, nak kena sambung juga nanti.
10. selalu sangat keluar untuk makan angin,muslimin dan muslimat. katanya nak release tension lepasgroup discussion.

ini hanya sebahagian daripadanya sahaja, cukuplah sebagai tatapan sahabat-sahabat sebagai pengajaran. maka, inilah solusinya untuk membuatkan group discussion kita lebih efektif, diberkati ilmunya serta dirahmati oleh Allah s.w.t : 

1. lebih indah andai diniatkan group discussion itu kerana Allah s.w.t dan untuk kejayaan kita dunia akhirat.
2. nisbah bilangan muslimat dan muslimin yang ideal, 3 : 1 atau 5 : 2. pokoknya, muslimat melebihi muslimin.
3. jarak discussion muslimin muslimat yang lebih terjaga dan mengikut landasan syara'.
4. waktu azan, segera tamatkan segala discussion dan bersegera mengambil wudhu' dan bersolat. dan kemudian, sambung semula.
5. elakkan selalu keluar makan angin bersama melainkan sesama jantina, khuatir akan berlaku perkara yang lain. ( maksiat, khalwat, pergaulan bebas dsb).
6. aurat ditutup dengan SEMPURNA untuk menjaga keberkatan ilmu ketika group discussion.
7. ketua group ambil peranan untuk menghadkan masa berdiskusi supaya tidak meleret-leret sehingga berlaku sembang kosong.
8. tingkatkan prestasi kerja ketika discussion, 90 % kerja akan siap tanpa sebarang perbualan kosong!
9. afdhal, memulakan dengan doa dan diakhiri dengan doa Rabithah.


nah, solusi yang insyaallah akan membuatkan group discussion kita lebih telus, lancar, dan efektif. =) kita sangat memerlukan keberkatan sesuatu ilmu untuk membantu kita mencapai kejayaan hakiki bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat sana yang kekal abadi. sama-sama kita berjuang memburu redha Allah s.w.t dalam perjuangan kita menimba ilmu ini. akhir kalam, sesungguhnya ana luncurkan penulisan ini bukanlah ingin menyatakan bahawa ana lah yang terbaik, tetapi luncuran tinta ini buat peringatan bersama termasuk diri ini . wallahu'alam.

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~


.: melakar dunia milik Tuhan :.



dunia. rupanya yang sfera cukup unik. satu-satunya alam yang boleh dihuni oleh makhluk bernyawa. indah jika dilihat dari luar angkasa. gambar satelit cukup mengujakan. namun, ketahuilah umur dunia sudah lama, dunia sudah tua. dan semakin menuju ke penghujung hayatnya. manusia pula giat men'cantik'kan dunia dengan 'perhiasan-perhiasan' yang sementara. mereka anggap dunia adalah alam yang kekal abadi. terus menafikan hak alam akhirat disana. manusia bercita-cita untuk mencipta dunia mereka sendiri, tetapi di dunia ciptaan Tuhan. mereka cuba untuk mengubah struktur fatamorgana bumi mengikut acuan rasa hati mereka. sesuka hati, tanpa berbelas. rakusnya mereka, apabila al-Wahn menguasai diri. Allah..

terdahulu,orientalis dan sarjana barat menafikan hak dan zat Allah dengan mengatakan dunia ini terjadi secara kebetulan. tiada pencipta dan tiada yang menciptakannya. makhluk-makhluk pula berevolusi dari spesies yang lain kepada spesies yang lain. aneh benar tanggapan mereka. atheis kepercayaan mereka. bagi mereka, siapa Tuhan? wujudkah Tuhan? jika wujud, dimana Tuhan? soalan-soalan dari iman yang salah. iman yang jauh mengkufuri nikmat Tuhan.berlaku zalim terhadap jiwa dan hati mereka. ilmu yang dicapai pula, tidak nampak akar umbinya. terus menerus menafikan milikan Tuhan, dengan mengatakan 'semua adalah atas usaha aku', tanpa kuwujudan Tuhan Agung, Allah Azza Wajalla.

orang beriman nampak Tuhan. apa-apa yang dilakukan akan terus kembali kepada Tuhan. tetapi lihat pula iman yang mana. iman dengan Islam, akan terus kepada Allah Yang Esa. iman dengan Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya, terus kepada tuhan-tuhan buatan mereka sendiri.  asas kepercayaan pada tuhan sudah betul, tetapi keimanan yang salah dan jauh menyimpang. agama yang benar disisi Allah adalah agama Islam. maka, seharusnya orang yang beriman dengan agama ini percaya dan yakin dunia ini kehidupan sementara. lakarlah seberapa banyak lakaran di dunia ini, pasti akan hancur luluh dan musnah akhirnya. bukti bahawa alam dunia bukanlah alam kekal abadi. dunia hanya destinasi singgah bagi umat manusia keseluruhannya. singgah itu bersifat sementara. tidak kekal, kerana kita akan bergerak ke destinasi seterusnya yang kekal abadi. dunia akhirat. destinasi perhitungan amal manusia. saatnya manusia dihisab melalui amalan mereka di dunia. 

Islam. nama yang indah, tetapi isi penghayatan yang lompong oleh umat Islam sendiri. penghayatan pada nilai-nilai agama kurang.kadang langsung tiada. lantas mereka terjebak dengan mehnah barat. terpengaruh dengan budaya mereka. terpengaruh dengan pakaian dan penampilan mereka. terpengaruh dengan kehidupan tidak beragama mereka.ditanya nama, muhammad XXXX, wah, nama cukup indah, nama Muhammad, nama Nabi mulia, tapi sayang, jasad tidak Islam. roh dan jiwa tidak Islam. hanya manis di titipan bibir. dimana Islam di zaman khulafa' ur rasyidin? dimana Islam di zaman Salahuddin al-Ayyubi, Sultan Muhammad Al-Fateh? dimana pemuda-pemuda di zaman as-Syahid Imam Hasan Al-Banna? yang mana dalam jiwa dan hati mereka penuh dengan roh perjuangan Islam. roh Islam.  ditanya apakah roh Islam itu? roh Islam adalah ISLAM itu sendiri. ISLAM dari segi nama dan penghayatan nilai-nilai yang ada didalamnya berlandaskan Al-Quran As-Sunnah. Allah...

dunia ini sementara. tidak kekal. jangan kalian tertipu dengan muslihat dunia. nampak luaran cantik, tetapi dalaman yang poros dan rapuh. percayalah pada kedatangan hari kiamat, hari akhirat yang kekal. burulah syurga Allah, dapatkan tempias bauan syurga ketika di dunia lagi. jangan takuti mati, tetapi takutilah andai kalian termasuk dikalangan golongan awal yang memasuki neraka Allah. jangan cintai dunia, tetapi cintailah alam akhirat yang lebih abadi. Allah Allah. semoga Allah mengampuni segala dosa-dosaku. amin.

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

Saturday, 10 December 2011

:: gerhana bulan tanda kekuasaan Allah s.w.t ::


gerhana bulan kini berlaku lagi buat kesekian kalinya. sebentar tadi di surau utama Kolej Kediaman 1 telah diadakan solat sunat gerhana disusuli dengan 2 khutbah seusai mendirikan solat Isya' secara berjemaah. alhamdulillah, peluang keemasan yang jarang2 berlaku ini diambil sebaiknya oleh muslimin dan muslimat Kolej Kediaman 1. 10 Disember 2011. gerhana bulan telah berlaku, jangkaan tempoh dari jam 10.06 malam hingga jam 12.18 tengah malam ini. sungguh, peristiwa ini patut dijadikan sebagai satu renungan buat seluruh umat Islam  supaya senantiasa mengungguli kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t. pohon doa dan bermunajatlah pada hari berlaku gerhana, semoga doa yang dipinta dimakbulkan oleh Allah s.w.t. aminn.

kejadian gerhana ada dua ; gerhana matahari dan gerhana bulan. fokus utama entri ana kali ini adalah tentang gerhana bulan. gerhana bulan berlaku apabila bulan melalui sebahagian daripada bayang2 bumi dan fenomena ini hanya boleh berlaku ketika bulan purnama dan ketika kedudukan matahari,bumi dan bulan berada pada satu garisan ufuk yang sejajar seperti yang dapat dilihat pada gambar diatas. lebih mudah, gerhana bulan berlaku ketika bulan berada bertentangan dengan bumi dan terlindung daripada matahari, dan ini bermakna bulan boleh termasuk kedalam bayang bumi dan menghilang.berbeza dengan gerhana matahari, gerhana bulan berlaku pada waktu malam. begitulah kehebatan kekuasaan Allah s.w.t yang mampu mengubah segala apa yang ada dilangit dan dibumi pada bila2 masa. setiap peredaran cakerawala,bumi, bulan, matahari dan seumpamanya berlaku diatas keizinan Allah s.w.t.

 jelas, tanpa 'Kun Fayakun' Allah s.w.t , tidaklah berlaku peristiwa ini dan manusia pasti tidak akan menyedari akan kekuasaan serta kebesaran Allah s.w.t ini. ana mungkin tidak akan menjelaskan bagaimana peristiwa ini berlaku secara saintifik, sekadar membicarakannya secara umum agar mudah dipahami oleh sahabat2 sekalian =)



Rasulullah s.a.w pernah bersabda," Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua2nya disebabkan kematian seseorang dari kalangan manusia. maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu ( gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu" ( Riwayat Bukhari)

berdasarkan hadis diatas, tuntutan menunaikan solat sunat gerhana adalah muakkad iaitu solat sunat yang digalakkan,samalah hukumnya dengan solat sunat 2 hari raya, bermakna setiap umat Islam patut mendirikan solat sunat ini bagi menunjukkan rasa syukur dan untuk meninggikan kebesaran serta kekuasaan Allah s.w.t dimata manusia. menurut penceritaan Ustaz Adil Mufti,felo Kolej Kediaman 1, peristiwa bermulanya solat sunat gerhana adalah bermula sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w lagi. kisah ini baru sahaja ana dengar dan ana akan cuba untuk menelaah kisahnya yang lengkap sedikit masa lagi. menurut Ustaz Adil, ketika berlaku fenomena gerhana bulan ini, salah seorang anak Rasulullah s.a.w telah meninggal dunia. kaum Musyrikin mengandaikan bahawa peristiwa gerhana ini merupakan hari yang celaka, namun Rasulullah s.a.w menafikan andaian rambang kaum Musyrikin itu dengan menunaikan solat sunat gerhana ini, sebagai tanda mengagumi kebesaran dan kehebatan ciptaan Allah s.w.t.

dalil pensyariatan solat sunat gerhana pula terlakar didalam firman Allah s.w.t yang mafhumnya, " Dan diantara tanda2 kekuasaanNya ialah malam, siang, matahari dan bulan. janganlah sembah matahari mahupun bulan tetapi sembahlah Allah yang menciptakannya, jika kamu hendak sembah". sebagai tambahan,solat sunat gerhana ini dilakukan ditempat berlaku gerhana sahaja. andai berlaku ditempat lain dan tidak nampak di Malaysia sebagai contoh, maka umat Islam tidak disunatkan untuk menunaikan solat sunat gerhana.



setiap perubahan yang  berlaku terhadap cakerawala mengandungi hikmah yang tersendiri. begitu juga perubahan yang  berlaku kepada matahari dan bulan, sudah pastinya mengandungi hikmah tertentu, antaranya sebagai memberi peringatan agar hambaNya tidak melampaui batas dan senantiasa bermuhasabah merenung kekurangan diri sebagai hamba kerdil disisi Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w sendiri menganjurkan kita agar segera  melakukan perkara2 yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan sebagainya ketika berlaku gerhana bulan ini bagi menghindari diri dari terus dililit dosa dan dilemaskan oleh debu2 kejahilan yang pasti2nya sentiasa memburu golongan manusia yang kehausan noda.

pengalaman pertama ana mendirikan solat sunat gerhana ini merupakan satu anugerah dan nikmat pemberian Allah s.w.t untuk tunduk meratapi diri yang kadang alpa untuk mengingati Allah s.w.t. , biarpun agak janggal saat Ustaz Adil menerangkan kaifiat untuk mendirikan solat sunat gerhana kerana solat sunat ini perlu pada 4 rukuk dan 4 sujud didalam dua rakaat solat. subhanallah. rasa bersyukur menyelubungi diri kerana Allah s.w.t memberi peluang pada diri ini untuk menunaikan solat sunat gerhana serta mendengar pula khutbah yang mengandungi ayat2 penegasan Allah s.w.t tentang hikmah peristiwa gerhana ini. semoga dengan peristiwa ini dapat membuka hati ana serta sahabat2 sekalian untuk lebih menginsafi diri serta sedar akan tahap diri yang cukup lemah dan dhoif berbanding para sahabat Baginda Nabi Muhammad s.a.w. wallahu'alam~

:: Laa haulawala quuwataillah billahil 'aliyyil 'aziim :;
~ be a pro for ad-deen~

:: sains & teknologi dalam Al-Quran ::



bidang sains dan teknologi sebenarnya bukanlah satu bidang yang baru di zaman moden ini. bidang ini telah wujud dan berkembang sejak dari zaman kegemilangan Islam lagi. jika ditelusuri kembali rentetan sejarah pada zaman itu,sebenarnya ramai ilmuwan2 Islam yg masyhur dan terkemuka seperti Ibn Sina,Al-Bujairami,Ibn Khaldun, Ibn Batutta dan sebagainya, telah pun memulakan sejarah perkembangan bidang sains dan teknologi ini.

berkisar pada ilmu2 sains n teknologi ini,jika dikaji dan diteliti kandungan Al-Quran Karim,kita akan mendapati bahawa jumlah ayat2 Al-Quran yang membicarakan berkenaan sains dan teknologi secara tersirat amat banyak dan melebihi 750 ayat,manakala ayat2 yang berkaitan hukum hakam tidak melebihi 150 ayat.tetapi alangkah ruginya kita sebagai umat akhir zaman ini,kebanyakan daripada kita tidak langsung memandang sains dan teknologi dari sudut perspektif Al-Quran sedangkan ayat2 Al-Quran sendiri adalah 'sains dan teknologi' dan tanda kebesaran Allah s.w.t , itupun jika kita meluangkan sedikit masa untuk mentelaah serta mengkaji ayat2 Al-Quran ini sebagai satu kefardhuan seperti yg disarankan dalam Al-Quran. ana pernah mengkaji beberapa ayat Allah s.w.t yang menceritakan tentang sains dan teknologi, mungkin di entri lain ana akan cuba berkongsi dengan sahabat2 sekalian =)




jika kita mengimbau kembali perjuangan para ulama' Islam yang menjadi tokoh2 terbilang dalam bidang sains dan teknologi. Al-Asma'i,Al-Aahid dan Al-Jawakili , nama2 yang jarang sekali kedengaran di halwa telinga ini merupakan pakar dalam bidang zoologi. bidang botani pula dipelopori oleh Al-Nabati. Selain itu, Muhamad Zakariya Al-Rozi pula pakar dalam bidang mineralogi. bagi bidang kimia pula,iaitu bidang ana kini, tokohnya adalah Kholid Ibnu Yazid dan Jabir Ibnu Hayyan.bidang perubatan dipelopori oleh Ibn Sina atau Barat memanggilnya dengan Avicenna, yang mana bukunya berkenaan ilmu perubatan digunapakai Barat hingga kini dan menjadi sumber rujukan utama dalam bidang perubatan. beberapa nama yang gah ini ana sebut sebagai bukti bahawa bidang ini sebenarnya telah berkembang pesat sejak zaman kegemilangan Islam lagi, jauh sebelum Barat mempergiat usaha pemodenan negaranya. jauh sebelum Barat memperkenal produknya, yang sebenarnya diplagiat dari usaha murni titik peluh para ilmuwan Islam terdahulu.

andai kita menyedari,umat Islam kini sudah jauh ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi ini. saban hari, Barat senantiasa meng'update' hasil teknologinya terutama alat komunikasi terkini, handphone.macam2 jenis handphone mudah didapati dipasaran kini terutama handphone abad moden,smart phone yang menggunakan aplikasi android. kita lihat sendiri perkembangan teknologi di negara maju seperti Jepun, jika hendak dibandingkan taraf kecanggihan memang seperti langit dan bumi. bidang sains dan teknologi yang dahulunya dipelopori oleh orang Islam kini berpindah tangan kepada orang bukan Islam. mengapa? sahabat2 perlu mencari sendiri jawapannya.

marilah kita sama2 mencuba dan mempergiat usaha untuk menguasai kembali segala ilmu2 bidang ini.ilmu sains dan teknologi yang telah diciplak Barat ketika keruntuhan zaman kegemilangan Islam dahulu dan kemudiannya mengakui bahawa ilmu2 itu datangnya dari hasil usaha mereka.merekalah yang sebenarnya mempelopori ilmu itu dan mewar2kan kepada masyarakat dunia kehebatan mereka dalam bidang ini.sedangkan ramai tidak menyedari  bahawa segala ilmu itu adalah dari dunia Islam, dan tentu sekali ilmu2 itu datangnya dari ilham Allah s.w.t kepada ilmuwan2 Islam dahulu.



hal ini bersesuaianlah dengan kata2 pujangga Muslim yg bermaksud," Kebijaksanaan (hikmah) itu,adalah barang kehilangan kaum Muslim.Justeru dimana sahaja kamu, berusahalah untuk mengambilnya kembali". melihat sains dari sudut perspektif Al-Quran dan Islam adalah satu bidang yang sangat penting demi memburu kejayaan didunia dan juga akhirat.kita pasti merasa kagum dan takjub dengan ciptaan2 Barat,"wah!hebatnya ciptaan mereka..". dalam tidak sedar kita telah menafikan kehebatan ciptaan orang2 Islam terdahulu yang datangnya dari Allah s.w.t. bidang sains dan teknologi ini jika kemajuannya berpihak kepada Islam pasti lebih mengujakan selaras dengan pengaplikasian ayat2 Al-quran didalam penciptaannya.tidak ada masalah untuk kita menggunakan hasil teknologi Barat, namun beringatlah dan senantiasa mengembalikan rasa syukur dan kerendahan hati kita kepada Allah s.w.t. moga Allah s.w.t memberikan kita ilham yang istimewa yang boleh mengatasi kehebatan ciptaan Barat serta mengembalikan semula kegemilangan orang2 Islam khususnya. wallahu'alam~

:: Laa haulawala quuwataillah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~ be a pro for ad-deen~

Sunday, 21 August 2011

Ramadhan Kareem bakal berakhir~

Ramadhan Kareem bakal berakhir sedikit masa lagi,namun keriangan sudah terpancar diwajah2 umat Islam yang lebih mendambakan kehadiran Syawal berbanding pemergian Ramadhan. sahabat2,sayu rasa hati tatkala telah masuk fatrah terakhir Ramadhan kali ini,cepat sungguh rasanya kerana seperti baru semalam masuk 1 Ramadhan. lebih menyedihkan disaat Ramadhan berakhir ini lagi2 telah masuk 10 malam terakhir , masjid n surau semakin lengang. kemanakah mereka semua yang sebelum ini memenuhkan ruangan saf ? adakah ramainya jemaah terawih sekadar di awal Ramadhan sahaja? apakah tafsiran sebenar mereka2 ini kepada perkataan ' Ramadhan ' ? sudah cukup layakkah mereka untuk bergelar graduan cemerlang keluaran akademi Ramadhan jika 'semester 3' ini yakni fasa terakhir Ramadhan gagal?



akademi Ramadhan adalah pusat tarbiyyah terbaik buat diri kita semua n objektifnya adalah untuk melahirkan graduan2 yang cemerlang ketika konvokesyen pada 1 Syawal nanti. 1 semester mempunyai 10 hari,namun kita telah melepasi 2 semester n kini masuk semester terakhir di akademi Ramadhan dimana ketika semester 3 inilah kita perlu pulun melipatgandakan amalan2 sepertimana junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w melipatgandakan amalan Baginda ketika masuk 10 malam terakhir Ramadhan. walaupun Baginda Nabi tidak punyai dosa n ma'sum namun Baginda tetap melaksanakan ibadat2 malam, berqiamullail, memperbanyak bacaan Al-Quran serta memperhebat sedekah jariah menjelang pengakhiran Ramadhan. namun, perkara seperti inilah yang jauh ditinggalkan oleh umat Islam kini. mereka tidak nampak natijah dari tarbiyyah Ramadhan apatah lagi kesan ibadat di bulan Ramadhan di hati mereka.

10 malam terakhir lazim dikaitkan dengan satu malam yang telah Allah s.w.t muliakan n  lebih baik dari seribu bulan iaitu Lailatul Qadr. ketibaan malam ini menjadi buruan ketika zaman para sahabat Nabi s.a.w. n kini menjadi buruan n penantian bagi orang2 yang beriman yang menyedari keberkatan malam Qadr ini. beberapa petanda Lailatul Qadr telah disebutkan dalam banyak riwayat hadis yang ana rasa sahabat2 pun sedia maklum. namun sejauh manakah pemahaman kita tentang keberkatan serta kelebihan beribadat pada Lailatul Qadr? sehinggakan pada 10 malam terakhir inilah kita sibuk untuk memenuhi ruangan 'saf ' di kaunter2 bayaran untuk membayar baju2 raya yang dibeli. nampak sangat tazkirah2 Ramadhan diantara terawih tidak memberi apa2 input buat golongan seperti ini. pengisian Ramadhan hanya sebagai adat orang berpuasa. orang puasa,kita pun puasalah, begitu pula gamaknya masyarakat Melayu sekarang.

memetik kata2 seorang ustaz ketika kuliah subuh di Masjid Al-Hidayah,Kuantan pagi 22 Ramadhan, kebanyakan umat Islam berpuasa secara adat sahaja bukan pada syariat kewajipan berpuasa dalam Islam. maksud ana disini,rata2 umat Islam berpuasa sekadar menahan diri dari makan n minum sahaja namun tetap berbuat dosa serta menambahkan dosa. pertingkat amal langsung tidak ada malah sama dengan bulan2 yang lain bezanya cuma tidak makan n minum. beginikah maksud puasa yang sebenar? dalam erti kata syariat berpuasa seharusnya penahanan nafsu itu seiring dengan pemantapan jiwa seseorang muslim itu  iaitu memperbanyak amalan2 sunat seperti membaca Al-Quran, bangun Qiam, sedekah jariah, memberi orang yang berpuasa berbuka n sebagainya. barulah Ramadhan itu sendiri terisi dengan pengisian2 yang ruhaniyyah n penghayatan pada Ramadhan akan menjadi lebih bermakna n sesuailah bilamana kita mengatakan, ' semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelum ini..' .



jaminan bertemu Ramadhan pada tahun hadapan hanya Allah s.w.t mengetahui. kita tidak boleh mengharap n meyakini bahawa kita akan bertemu Ramadhan lagi tahun depan kerana ajal maut ketentuan Allah s.w.t sebab itulah kita seharusnya menambahkan amal ibadat kita seolah2 inilah Ramadhan terakhir dalam hidup kita. keberkatan bulan Ramadhan sentiasa dinanti2 oleh umat Islam namun disaat perginya Ramadhan,sambutan kepada Syawal lebih mencengkam jiwa2 umat Islam kerana merasa seronoknya menyambut Aidilfitri berbanding pemergian Ramadhan yang entah sempat atau tidak bertemu Ramadhan akan datang. natijah Ramadhan kali ini sepatutnya lebih memberi kesan pada hati2 kita biarpun nama Ramadhan setiap tahun akan berputar kembali . seperti ungkapan ana ketika memberi tazkirah Ramadhan di Masjid Pekan Labu baru2 ini, 'nama yang sama,Ramadhan, namun natijah atau kesan yang berbeza n kalau boleh Ramadhan kali ini lebih hebat lagi kesannya berbanding Ramadhan lepas..'.




sesungguhnya,kedatangan Ramadhan dinanti namun pemergiannya perlu ditangisi kerana tiada jaminan kita akan bertemu Ramadhan akan datang. sambutlah Aidilfitri mengikut syariat n tidak melepasi batas2 syarak ketika menyambut hari raya ini. 1 Syawal merupakan hari kesyukuran kita setelah berpuasa selama 30 hari jadi ucapkan kata syukur kepada Allah s.w.t sebanyak2nya n laungkan takbir sebanyak2nya ketika hari raya ini. Allah s.w.t telah mengurniakan 1 Syawal sebagai hari mensyukuri n melafazkan takbir n tahmid kepadaNya tanda syukur telah selesai melaksanakan ibadat puasa yang merupakan salah satu tunjang rukun Islam. semoga puasa kita di bulan Ramadhan ini diterima Allah s.w.t ditambah pula dengan value-added amalan2 sunat kita,insyaallah. wallahu'alam~

:: Laa haulawala quuwataillah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen~

Labels